Ini kerana, walaupun terdapat lebih kurang 15,000 spesies tumbuhan di negara ini, sebanyak 36.8 peratus daripada spesies tumbuhan bagi Semenanjung Malaysia dikategorikan sebagai spesies terancam.

Maka, sekiranya tiada usaha melindungi dan memulihara spesies tumbuhan tersebut, ia mungkin diancam kepupusan. Apakah tanggungjawab rakyat negara ini bagi membantu mengatasi masalah tersebut? Rakyat Malaysia perlu sedar, tanggungjawab tersebut bukan sepatutnya diletakkan di atas bahu pihak berkuasa atau jabatan tertentu sahaja.

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) serta jabatan perhutanan negeri diberi tanggungajawab untuk memulihara dan memelihara hutan di negara ini menerusi program konservasi dan kempen kesedaran. Sebagai contoh, FRIM telah menilai status konservasi 1,132 spesies daripada 80 famili yang merangkumi paku-pakis dan tumbuhan vaskular peringkat tinggi.

Dalam aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan spesies flora terancam, FRIM telah bekerjasama dengan JPSM dan jabatan hutan negeri dalam penubuhan kawasan High Conservation Value Forests (HCVF). Antaranya di Hutan Simpan Kanching, Selangor; Jerangau, Terengganu; dan Setul, Negeri Sembilan. Selain itu, FRIM juga bekerjasama dengan pihak luar seperti universiti dan syarikat seperti UiTM Kampus Perak, Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Felda Global Ventures dalam pemuliharaan spesies flora terancam.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (2016 – 2020), kementeriannnya telah merangka strategi untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang dipacu oleh aktiviti bernilai tambah tinggi dan berintensif pengetahuan. Salah satu bidang fokus yang telah dikenal pasti merupakan pemacu perubahan dalam tempoh RMK-11 adalah menjana kekayaan menerusi inovasi.

“Saya amat berharap FRIM dapat mempertingkat usaha untuk memacu bidang penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan.

“Hasilkan penyelidikan dalam sektor perhutanan pada peringkat huluan dan hiliran supaya dapat dibangunkan secara lebih meluas dan seterusnya menyumbang kepada pengurusan sumber asli secara mampan serta menjana pertumbuhan ekonomi negara menerusi kuasa yang diperuntukkan di dalam akta,” ujarnya semasa berucap pada sambutan hari ulang tahun ke -31 FRIM di Kepong baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, beliau turut melancarkan Akta FRIM yang diwartakan pada 30 September dan mula berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu dan menyerahkan salinannya kepada Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Azizan Ahmad, yang juga Pengerusi Anggota FRIM dan Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Abd. Latif Mahmod.

Yang turut hadir bekas Ketua Pengarah FRIM, Tan Sri Dr. Salleh Mohd Noor dan isteri Wan Junaidi, Datin Seri Feona Sim Abdullah.

Akta baharu tersebut kata Wan Junaidi akan membolehkan FRIM mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan menubuhkan syarikat bagi menjana pendapatan sendiri untuk memastikan kelangsungan perkhidmatan dan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan FRIM.

Hasil R&D FRIM seperti produk kecantikan kulit daripada tumbuhan herba, makanan serta minuman antidiabetes, bahan pencuci serba guna mesra alam, pepapan lantai dan panel daripada buluh, dan kapsul herba sudah dikenal pasti berpotensi untuk dikomersialkan.

Adalah diharapkan aktiviti pengkomersialan yang akan dilaksanakan ini membolehkan FRIM mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan pada masa akan datang, katanya.

Selain itu, FRIM juga mempunyai kuasa, antara lainnya, untuk menjalankan kursus atau latihan teknikal dan bukan teknikal dalam bidang perhutanan atau bidang lain. Akta tersebut membolehkan agensi berkenaan menyediakan aktiviti pengajian dan program latihan yang dilaksanakan secara usaha sama atau melalui gabungan bersama dengan mana-mana institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, dari dalam dan luar negara serta bertindak sebagai badan pengujian dan badan pensijilan hasil hutan.

“Berdasarkan kuasa-kuasa yang diperuntuk bawah Akta FRIM serta tanggungjawab baru yang perlu digalas, saya telah melantik anggota institut yang terdiri daripada individu yang berpengalaman yang telah dikenal pasti dapat memainkan peranan dalam memberikan pandangan serta cadangan untuk menyokong agenda pembangunan.

“Ini membolehkan FRIM meningkatkan mutu penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan inovasi (R&D&C&I), menjana kekayaan menerusi inovasi serta memartabatkan industri kayu kayan negara,” ujar Wan Junaidi lagi.