RE pula ialah tenaga yang dijana daripada sumber semula jadi seperti sinar matahari, angin, hujan, ombak dan geoterma yang boleh diperbaharui secara semula jadi. Antara teknologi RE pula ialah kuasa suria, elektrik hidro, biojisim dan bahan bakar bio.

Sebagai sebuah organisasi yang menjalankan perniagaan berasaskan teknologi hijau, Cypark Resources Berhad (Cypark), tidak ketinggalan untuk sama-sama mengembangkan penggunaan RE di negara ini.

Menerusi aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), iaitu program Cypark CSR Green Initiative yang menelan belanja sebanyak RM400,000, Cypark telah memberi sumbangan pemasangan panel solar yang mengubah tenaga matahari kepada sumber tenaga elektrik dan dibangunkan menggunakan kepakaran anak-anak tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Cypark, Datuk Daud Ahmad berkata, projek komuniti amal bagi pemasangan sistem tersebut dilaksanakan di empat buah lokasi iaitu Masjid Pekan Kota Belud, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, Chinese Temple Pekan Kota Belud dan SIB Church Kampung Piasau.

Menurutnya, kesemua lokasi tersebut dipilih kerana memenuhi ciri yang diperlukan untuk pemasangan panel solar.

Pihaknya sangat berbangga kerana diberi peluang untuk berkongsi kejayaan serta kepakaran bersama-sama penduduk Kota Belud, Sabah.

“Bagi Masjid Pekan Kota Belud, kawasan seluas 35 meter persegi telah siap dipasang dengan panel solar, manakala SRJK (C) Chung Hwa adalah seluas 70 meter persegi, Chinese Temple Pekan Kota Belud dan SIB Church Kampung Piasau juga masing-masing dengan keluasan 35 meter persegi.

“Berdasarkan keluasan itu, Masjid Pekan Kota Belud mampu menghasilkan kira-kira 570 kilowatt sejam (kwh) yang bersamaan dengan nilai sumbangan kewangan lebih RM530 sebulan atau RM6,360 setahun untuk jangka hayat 21 tahun.

“Ini bermakna hampir RM133,000 mampu disumbangkan oleh sistem solar ini, sementara dengan penyelenggaraan berterusan oleh Cypark, panel ini mampu digunakan untuk tempoh 25 tahun akan datang,” katanya.

Tambah Daud lagi, selain membantu menjimatkan elektrik, teknologi sistem panel solar itu juga diharap dapat membuka mata masyarakat terutama pelajar sekolah untuk belajar bagaimana tenaga itu dihasilkan.

Katanya, penggunaan panel solar membantu mengurangkan kebergantungan manusia kepada penghasilan tenaga berasaskan fosil seperti petroleum atau arang batu, yang kurang bersih dan memberi kesan negatif kepada alam sekitar.

“Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab, Cypark bersedia untuk turun padang dan memberikan taklimat kepada pelajar di sekolah mengenai fungsi teknologi ini.

“Selain itu, kami turut menyampaikan ilmu tentang bagaimana menghasilkan tenaga menggunakan solar, biogas, biomas mahupun barang buangan kitar semula,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar Majlis Penyerahan Panel Solar di Masjid Pekan Kota Belud, Sabah baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengerusi Cypark, Tan Sri Razali Ismail dan Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Musbah Jamli.

Sementara itu, Razali berkata, selain membangunkan kemudahan di masjid, sekolah, dan sebagainya, panel solar itu juga digunakan dalam sektor pertanian apabila Cypark membangunkan ladang solar integrasi yang terletak di Perlis.

“Projek tersebut telah dijalankan selama dua tahun dengan tanaman utama iaitu buah rock melon. Panel solar digunakan bagi memudahkan kaedah fertigasi untuk pembajaan dan pengairan.

“Selain Sabah dan Perlis, kami juga telah membangunkan sistem panel solar di beberapa negeri lain, iaitu Johor Bahru dan Negeri Sembilan dengan jumlah keseluruhan lima lokasi projek CSR di Malaysia,” katanya.

Diharapkan program sistem solar amal komuniti yang dilaksanakan itu dapat membantu badan-badan atau pihak yang memerlukan untuk mengurangkan kos elektrik.

Selain itu, dapat memberi pendedahan mengenai teknologi RE bukan sahaja di kawasan bandar, malah untuk komuniti pedalaman.

“Bagi projek di Masjid Pekan Kota Belud ini pula, kami difahamkan bahawa mampu menghasilkan 541.45kwh sebulan dengan penjimatan RM506 daripada RM1,250 setiap bulan.

“Justeru, projek itu mampu menjimatkan penggunaan wang untuk membayar bil elektrik setiap bulan dan mungkin boleh digunakan bagi tujuan lain yang berguna untuk pembangunan umat Islam di kawasan ini,” katanya.

Dalam pada itu, pengerusi masjid berkenaan, Abdul Ghari Itam berkata, dengan adanya bentuk bantuan sebegini, kos bil elektrik dapat dijimatkan sehingga 50 peratus setiap bulan.

“Sebelum ini, sumber kewangan masjid banyak bergantung kepada derma orang ramai dan sumber itu digunakan untuk pelbagai aktiviti.

“Oleh itu, secara tidak langsung, dengan adanya sistem ini, pihak masjid dapat menggunakan wang tersebut untuk membuat pelbagai pengisian dan aktiviti yang berfaedah,” katanya.

Bagi Pengetua SJK (C) Chung Hwa, Tham Hung Chin, banyak manfaat diperoleh oleh pihak sekolah melalui kemudahan yang diberikan ini.

Menurutnya, sebagai sebuah sekolah yang memiliki ciri-ciri sekolah wawasan dengan jumlah pelajar seramai 542 orang, kemudahan ini boleh dianggap sebagai nilai tambah dalam pendidikan di sekolah.

“Peluang ini digunakan untuk mendidik pelajar supaya berjimat cermat selain dapat menampung perbelanjaan sekolah bagi membeli kelengkapan lain.

“Dalam masa yang, kami juga dapat menerapkan nilai-nilai murni dengan berkongsi kelebihan yang ada di sekolah ini bersama-sama sekolah lain dan juga komuniti setempat,” katanya.

mega sains dan teknologi

mega sains dan teknologi