Hanya satu masalah yang disering membelenggu mereka iaitu bagaimana menjualnya untuk kegunaan umum kerana penyelidik atau pereka cipta bukan pakar pemasaran dan pengkomersialan.

Justeru, apabila kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperkenal Tahun Pengkomersialan sejak 2010 sehinggalah kepada Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2016, ada cabaran besar menanti iaitu sejauh mana pengguna atau rakyat Malaysia secara keseluruhannya menerima produk berkenaan.

Stigma telah lama bersarang dalam kalangan pengguna kita antaranya termasuklah produk import lebih berkualiti berbanding tempatan dan mengagungkan jenama luar negara.

Penyelidik di universiti pula tidak melihat sejauh mana hasil penyelidikan tersebut perlu dijual atau sebaliknya kerana bagi mereka, menerbitkan jurnal dan melahirkan pelajar sarjana dan doktor falsafah lebih penting, sekurang-kurangnya sebagai penanda aras untuk kenaikan pangkat.

Namun bagi MOSTI, tidak ada yang lebih membanggakan apabila duit rakyat yang digunakan untuk penyelidikan menerusi pelbagai dana menghasilkan dua kejayaan iaitu usahawan dan produk untuk kegunaan orang ramai.

Pengumuman telah dibuat beberapa kali sebelum ini, bahawa kementerian berkenaan menjangkakan 145 lagi produk hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) dikomersialkan tahun ini.

Sehingga April lalu, sebanyak 132 daripada 360 produk inovasi yang disasarkan pada 2020, dihasilkan oleh institusi penyelidikan, universiti dan agensi pembangunan teknologi, telah memasuki pasaran.

Ia sejajar dengan matlamat MCY 2016, untuk mengkomersialkan 147 produk sehingga hujung tahun ini. Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, kejayaan hasil R&D bukan dapat dinikmati dalam tempoh masa yang singkat, sebaliknya mengharungi beberapa fasa dan memerlukan dana tertentu mengikut peringkat pengkomersialan.

“Tidak ada saat yang paling menggembirakan (apabila) melihat wang yang kita belanjakan (dana R&D) menghasilkan produk untuk dimanfaatkan,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar sempena pelancaran tujuh produk syarikat BioNexus sempena persidangan dan pameran BioMalaysia dan Bioekonomi Asia Pasifik edisi ke-14 di ibu negara baru-baru ini.

Beliau berkata, kerja-kerja penyelidikan produk yang dilancarkan itu berkemungkinan dimulakan pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) atau RMK-10 menunjukkan ia mengambil masa panjang untuk dihasilkan sebelum menjadi satu hasil yang boleh dikomersialkan.

Terdahulu dalam ucapannya beliau meminta usahawan yang berhasrat mengkomersialkan produk mereka supaya bermula dari peringkat yang mudah dan perlu belajar dari bawah.

“Mungkin kita perlu merendah diri dahulu atau mula jual di pasar malam, ujarnya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, penganjuran program tersebut adalah sejajar dengan matlamat kementeriannya mengembangkan industri bioteknologi yang dterajui Malaysia Biotechnology Corporation (BiotechCorp) atau nama baharunya BioEconomy dengan pelancaran produk syarikat BioNexus membuktikan kejayaan syarikat industri kecil dan sederhana (IKS).

Penganjuran progam kali ini yang dihadiri kira-kira 10,000 pelawat dan 200 pempamer yang bertemakan Memberi Nilai Tambah Ekonomi Menerusi Teknologi Berasaskan Bio adalah bertujuan membantu industri bioteknologi berkembang di rantau Asia Pasifik dan sebagai platform berkongsi perkembangan terkini bidang sains dan perniagaan daripada pemain industri.

Pengerusi BiotechCorp, Prof. Tan Sri Zakri Abdul Hamid pula berkata, produk yang dihasilkan oleh syarikat yang diberi taraf BioNexus boleh membantu meningkatkan keyakinan pengguna dan mempromosikan aktiviti ekonomi domestik.

“Produk yang dilancarkan hari ini dapat menyumbangkan hasil dan merangsang pertumbuhan ekonomi. Janaan hasil daripada syarikat berstatus BioNexus telah meningkat sebanyak 50 peratus dari 2012 hingga 2015 dengan jumlah RM1.53 bilion dicatatkan pada tahun lalu,’’ kata beliau.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif BioEconomy Corp, Datuk Dr. Mohd. Nazlee Kamal berkata, pelancaran produk BioNexus dapat mempercepat agenda bioekonomi dengan memfokuskan komoditi perniagaan kepada produk bernilai tinggi dengan diberi nilai tambah dengan memanfaatkan bioteknologi.

“Oleh kerana kita telah memasuki Revolusi Industri Keempat, kita mahu pemain industri berasasakan bio dalam rakyat Malaysia memanfaatkan gabungan teknologi utama seperti bioteknologi, teknologi nano, teknologi digital atau biologi sintetik untuk menjana produk baharu yang inovatif dan pasaran baharu dan yang sedia ada,’’ujarnya.

Kesemua produk hasil keluaran syarikat BioNexus boleh didapati di kedai-kedai BioShoppe selain mendapatkan secara atas talian menerusi lazada.com.my