Pertandingan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang merupakan kerjasama antara Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dengan Jabatan Perkhidmatan Awam, iM4U dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), bakal menjadi platform untuk memberi inspirasi kepada generasi baru rakyat Malaysia yang inovatif untuk menjadi impak kepada pelbagai komuniti.

Pertandingan ini adalah sebahagian daripada pergerakan kreativiti dan inovasi di seluruh negara yang dipacu oleh NBOS.

Strategi ini juga menggariskan satu pendekatan bagi memasuki ruang pasaran yang belum diterokai. Melalui strategi ini, penyelesaian baru mempunyai potensi untuk dilaksanakan dengan pantas, berimpak tinggi dan kos yang rendah.

Naib Presiden Eksekutif AIM, Eddie Razak berkata, pertandingan NBOS ini merupakan satu peluang bagi peserta untuk keluar daripada pemikiran yang konvensional, mencetus idea-idea yang kreatif dan inovatif, menyelesaikan cabaran dengan kaedah dan pendekatan yang baru.

“Pada masa lalu, kita cenderung untuk melihat pemain lain dalam industri ini dan bersaing dengan mereka. “NBOS ini menawarkan pendekatan yang berbeza, beralih tumpuan kepada pasaran baru yang belum diterokai. Dengan memberi tumpuan melangkaui pasaran sedia ada, kita dapat mengenal pasti keperluan yang tidak dipenuhi dan kemudian, yang paling penting menjadikan penyelesaian-penyelesaian baru inovatif untuk mewujudkan lebih banyak peluang bagi rakyat,” katanya.

Pertandingan ini adalah dibentuk dengan hasrat untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk mencetuskan idea kreatif untuk Perkhidmatan Awam, Keusahawanan Sosial dan Keusahawanan Komersial.

“Ini adalah satu plaform untuk kita semua menyumbang dan menyokong idea-idea dari mereka yang akan menyemarakkan ekonomi kita pada masa hadapan dengan membentuk idea ini kepada penyelesaian yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat.”

Eddie berkata, pertandingan ini membuktikan bahawa terdapat semakin ramai rakyat Malaysia yang berbakat untuk menggunakan pendekatan NBOS itu. Ini merupakan peluang yang sihat untuk rakyat menyuarakan pendapat mereka dengan cara yang kreatif, serta menyumbang untuk kebaikan negara.

“Kita menjemput pelajar, usahawan dan individu-individu yang kreatif untuk memberikan idea, cadangan dan teknologi yang boleh membantu kita untuk membina hari esok yang lebih baik,” katanya.

Dalam usaha untuk mendapatkan idea-idea yang kreatif dan baru untuk pertandingan ini, AIM telah mengadakan satu siri sesi pertemuan dengan pelajar-pelajar dari universiti-universiti di Lembah Kelang.

Hadiah wang tunai dan dana permulaan berjumlah lebih dari RM350,000 menanti mereka yang mempunyai idea-idea yang boleh memberi inspirasi.

Idea yang terbaik dari setiap kategori akan memenangi wang tunai sebanyak RM30,000 dan RM50,000 dana permulaan. Pemenang hadiah kedua bagi setiap kategori akan menerima wang tunai sebanyak RM20,000 dan pemenang ketiga dari setiap kategori akan membawa pulang RM10,000.

Terdapat 17 hadiah sagu hati sebanyak RM500 bagi setiap satu kategori. Majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada 3 November, 2016.

Idea-idea yang dihantar akan dinilai berpandukan kepada kriteria NBOS iaitu mempunyai impak yang tinggi, pelaksanaan yang pantas, kemampanan dan kos yang rendah.

Pertandingan NBOS ini terbuka kepada rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas. Idea boleh dihantar secara individu atau berkumpulan sehingga lima orang bagi setiap kumpulan. Mereka boleh boleh menghantar lebih dari satu penyertaan.

Daripada jumlah penyertaan yang diterima sebanyak 20 penyertaan terbaik dari setiap kategori akan dipilih dan dijemput untuk menghadiri sesi pitching untuk memperbaiki idea mereka.

Pertandingan NBOS ini adalah untuk mencari idea-idea kreatif dari seluruh negara. Untuk keterangan lanjut tentang pertandingan atau bagaimana untuk menyertai, sila layari www.nboscompetition.my