Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Semarak anggur Saloma di Sitiawan

Tapak semaian Ladang Anggur Saloma Vineyard and Nursery di Batu 4
Tapak semaian Ladang Anggur Saloma Vineyard and Nursery di Batu 6, Lekir, dekat Sitiawan, Perak.

Langsung tidak pernah terfikir untuk memetik anggur segar dari ladang, lebih-lebih lagi di negara sendiri yang beriklim Khatulistiwa. Namun, selepas pertama kali mengunjungi Ladang Anggur Saloma Vineyard and Nursery di Lekir, Perak yang mempunyai dua ladang anggur milik seorang bumiputera, tanggapan tersebut berubah apabila mereka menawarkan pengalaman istimewa kepada pengunjung lain.

Pengalaman berjalan di bawah gugusan anggur bergayutan di atas kepala pasti membuatkan sesiapa sahaja yang pertama kali melangkah masuk termasuklah terpesona selain boleh merasai kemanisan dan kerangupan tekstur jenis anggur tempatan yang dianggap memiliki kelas tersendiri.

Berkonsepkan petik, timbang dan bayar, seperti yang dilakukan pengusaha tanaman strawberi di Cameron Highlands, pengunjung berpeluang memetik sendiri buah anggur yang telah matang bawah pengawasan pekerja ladang.

Jangan lupa abadikan kenangan sukar diperoleh itu dengan merakam gambar foto dan video sebelum pulang tanpa sebarang bayaran.

Begitulah hasil kemajuan teknologi hibrid membolehkan tumbuhan renek itu menyesuaikan diri dengan cuaca panas di Malaysia.

Bagi pemilik Ladang Anggur Saloma Vineyard and Nursery, Siti Saloma Saad, 52, memilih sesuatu yang unik bukanlah laluan mudah untuk ditempuhi. Namun bekas pelukis pelan di sebuah jabatan kerajaan itu bersama suaminya Shuhaimi Ishak, 53, yang telah lebih 10 tahun menceburi ladang pertanian anggur, mereka membuktikan bahawa setiap keazaman yang disulam usaha gigih pastinya membuahkan hasil.

Kini populariti dua ladang anggur yang setiap satunya seluas satu ekar, turut diusahakan bersama dua anak mereka, Muhammad Danial, 23, dan Farah Dalila, 20, kian dikenali, sekali gus kejayaan itu menjadikan keluarga berkenaan terutamanya Siti Saloma sebagai individu terpenting hingga ada menggelarkannya dengan panggilan master gardening bagi penanaman anggur.

Setakat ini terdapat kira-kira 2,000 pokok anggur di kedua-dua buah ladang itu yang dijaga oleh empat beranak itu dibantu beberapa pekerja termasuk lima pelajar praktikal dari universiti awam mahupun swasta ketika ini.

Menurut Siti Saloma, pihaknya menyediakan persekitaran semula jadi untuk dirasai sendiri pengunjung ladang berkenaan.

“Di ladang ini, semua pokok anggur ditanam di bawah rumah perlindungan hujan. Bila kita buat begini, ini sekali gus mendedahkan kepada orang ramai bahawa anggur boleh ditanam dan hidup subur di kawasan cuaca panas.

“Anggur yang hidup subur ini juga berdasarkan beberapa faktor seperti pemilihan jenis yang tahan dengan hujan dan cuaca yang lembap serta panas,” katanya.

Celoteh wanita yang berasal dari Seberang Prai, Pulau Pinang ini bagaikan satu ensiklopedia pertanian bergerak. Walaupun mengakui awal pembabitan, dia lebih banyak mempelajari ilmu pertanian menerusi Internet, namun hasilnya kini boleh dibanggakan.

Jelasnya, menanam pokok anggur di negara ini bukanlah suatu yang mustahil kerana kajian menunjukkan anggur juga berasal dari negara padang pasir dan mengikut maklumat diperoleh menerusi Internet, cuaca panas menjadikan buah anggur lebih manis.

“Pendedahan kepada cahaya matahari pada kadar 80 hingga 100 peratus dan peredaran udara yang baik faktor yang mempengaruhi pertumbuhan pokok anggur.

“Namun pokok anggur ini ada pantangnya, jika kerap terkena air hujan, daun dan batang anggur mudah mereput atau berkulat, buahnya jadi berbintik-bintik hitam seolah-olah berkarat kerana sifat berasid anggur yang sensitif kepada air,” katanya.

Segala idea menceburi perusahaan itu datang daripada suaminya, yang ketika itu pulang dari Senegal, sebuah negara di Afrika Barat, atas urusan syarikat perkapalan yang berpusat di Pulau Pinang, kira-kira 11 tahun lepas .

Sewaktu suaminya, yang ketika itu adalah seorang pengurus projek dan juruukur bahan, dalam perjalanan pulang menaiki Air France, Shuhaimi telah menonton tayangan dokumentari mengenai industri tanaman anggur di Perancis. Ia sekali gus menarik minatnya untuk mencuba menanam pokok itu di Malaysia.

Siti Saloma berkata, idea untuk mencuba tanaman itu disampaikan kepadanya sekembali suami ke tanah air. Lantaran itu, mereka yang ketika itu menetap di Alor Setar, Kedah terus mencari benih anggur di Perlis selain beberapa tempat di Kuala Lumpur.

Menurutnya, bermodalkan lima pokok benih anggur berharga RM25 sepokok, beliau yang berhenti bekerja pada 2002 akhirnya berjaya menuai hasil selang empat bulan kemudian sebelum membiakkan pokok berkenaan sehinggalah 40 pasu.

“Masa itu, selain mempelajari daripada Internet, suami saya yang kadangkala ke luar negara atas urusan kerja pasti membeli buku cara-cara penanaman anggur,” katanya lagi.

Rentetan daripada menanam pada peringkat awalnya hanyalah secara suka-suka, ia kemudian bertukar menjadi serius apabila hasil tanamannya mula membuka mata jiran-jiran yang mahukan berkongsi tip penanaman.

Pada 2006, keluarganya berpindah ke Perak apabila suaminya ditukarkan bertugas di Lumut. Lantas mereka menyewa sebidang tanah seluas 0.4 hektar di Batu 6, Lekir dekat Sitiawan untuk mengusahakan tanaman itu sehingga sekarang.

“Apabila melihat kejayaan yang memberangsangkan, ia mendorong saya membeli sebidang tanah seluas 0.4 hektar pula di Batu 7, Lekir bagi meluaskan lagi ladang dan sehingga kini, kedua-dua ladang dipenuhi ratusan pokok anggur yang terdiri daripada pelbagai jenis,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut Siit Saloma berkata, kebanyakan pokok anggur yang ditanam di kedua-dua ladangnya ada yang telah berusia antara lima hingga 10 tahun dan mampu mengeluarkan hasil purata 15 kilogram bagi setiap satu pokok mengikut giliran.

Dalam usaha mempelbagaikan lagi koleksi jenis anggur, Ladang Anggur Saloma Vineyard and Nursery kini mula menanam varieti anggur jenis Red Globe yang berasal dari China.

Siti Saloma berkata, buah anggur Red Globe menjadi table grape iaitu hanya untuk makan segar yang hanya terdapat lebih 200 jenis itu di seluruh dunia.

Rasanya yang manis, dan buahnya banyak dan besar, menjadikan buah ini terkenal.

Sebidang tanah seluas 1.2ha di Ulu Dedap, Teluk Intan, Perak bakal menjadi ladang anggurnya yang ketiga. Siti Saloma berkata, ketika ini tanah berkenaan masih dalam proses kemasan dan dijangka beroperasi pertengahan tahun hadapan.

“Selain itu, Jabatan Pertanian Daerah Manjung baru-baru ini telah memberi 0.6ha dan kini tapak itu hampir siap pembersihan.

“Berkemungkinan dalam bulan Februari tahun hadapan ia akan beroperasi dan saya akan menjadi tenaga pengajar bagi kursus dalam bidang pokok anggur bawah anjuran pertanian,” katanya.

Dalam pada itu, minat Siti Saloma dan Shuhaimi telah diperturun kepada kedua-dua anaknya yang dipupuk sejak kecil. Ketika ini anak pertamanya Muhammad Danial, siswazah pengurusan pertanian dari Universiti Putra Malaysia cawangan Bintulu diberi tanggungjawab menjaga ladang pertama mereka di Batu 6, Lekir manakala Farah Dalila kini sedang mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar dan sering membantu di ladang jika mempunyai masa terluang.

Bagi individu yang berminat memiliki pokok anggur sendiri, Ladang Anggur Saloma Vineyard and Nursery turut menawarkan jualan anak pokok anggur pelbagai jenis serta baja dan tanah dengan harga yang berpatutan. Setiap pokok dijual purata serendah RM25 hingga mencecah ratusan ringgit, berdasarkan saiz dan jenis.

Anggur termasuk jenis tanaman yang selalu berbuah setiap tahun.

Menurut Siti Saloma Saad, anggur di ladangnya berbuah mengikut giliran dalam empat peringkat. Setiap peringkat melibatkan masa selama kira-kira empat bulan.

Menurut beliau, anggur 
boleh berbuah sebanyak dua 
atau tiga kali setahun tetapi ia boleh direhatkan selepas tuai berbuah dalam sebulan atau 
dua bulan.

Selepas itu barulah diulangi dengan cara pemangkasan dahan dan daunnya.

Tempoh rehat itu bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan daya rintangan pokok terhadap penyakit.

“Ketika pokok direhatkan, baja untuk kesuburan akan ditambah manakala ranting dan daun dipangkas untuk menghasilkan tunas baru bagi mendapatkan hasil tuaian yang banyak pada musim akan datang,” jelasnya.

Kata beliau lagi, tunas baharu pokok yang dipangkas akan berputik dalam tempoh tiga hingga empat minggu berserta bunga. Selepas 120 hari, buah anggur yang matang boleh dipetik mengikut kemanisan.

Berkongsi lebih lanjut Siti Saloma berkata, cabaran utama yang dihadapi sepanjang tempoh pokok anggur berbuah tentunya ancaman penyakit, serangan fungus (kulat) dan serangga ulat daun.

Namun, Siti Saloma cuba meminimum penggunaan racun kimia dengan menggunakan racun organik seperti campuran air lada dan bawang putih yang dibuat sendiri bagi menghalau serangga perosak seperti mealy bug dan ulat bulu.

Siti Saloma juga tidak menolak dakwaan bahawa anggur susah untuk dijaga, namun jika pemiliknya bijak mengendalikan tanaman tersebut, pastinya mudah sahaja.

“Tidak kiralah di atas batas mahupun dalam pasu, pokok anggur ini pantang tanah yang boleh menakung air kerana akar serabutnya mudah rosak dan tidak sekuat akar tunjang.

“Tanah yang sesuai untuk penanaman anggur adalah tanah berpasir yang neutral pH (nilai keasidan) antara 6 atau 7 dan senang untuk digemburkan.

Sebaiknya, sebelum membuat kerja penanaman, tanah itu perlulah dibuat rawatan tanah,” katanya dan menambah tanah itu juga dicampurkan tanah gambut dan baja kompos seperti bahan buangan daripada haiwan seperti kambing atau kelawar.

Penggunaan baja organik adalah yang paling baik kerana kandungan nutrien aslinya yang tinggi berbanding baja kimia.

Selain perlukan kadar matahari yang mencukupi, pokok anggur perlukan pengairan yang sempurna. Sehubungan itu, penyiraman dilakukan sebanyak dua kali sehari iaitu pada awal pagi dan lewat petang.

Bagi menambah bilangan 
anak pokok anggur pula, Siti Saloma berkata, proses tut atau kahwin adalah antara teknik pembiakan yang sering digunakannya untuk membolehkan pokok buah berbuah pada umur yang muda. Namun, beliau tidak mengguna teknik semaian biji kerana tempoh pertumbuhannya yang lambat. - BERNAMA

 

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain