Atas pelbagai faktor yang menekan kehidupannya, tuntung sungai kini di ambang kepupusan secara kritikal.

Haiwan tersebut kini dikatogerikan sebagai sangat terancam bawah Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Bagi Konservasi Alam Semula Jadi (IUCN).

Bagi meningkatkan kesedaran orang awam tentang ancaman kepupusan tuntung sungai, tiga penyelidik dari Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil inisiatif melakukan kajian khas buat spesies tersebut.

Tiga penyelidik tersebut adalah Prof. Dr. Latifah Abdul Manaf, Dr. Nor Rohaizah Jamil dan Dr. Nurul Izza Abd. Ghani.

Menurut Dr. Nurul Izza, tuntung sungai merupakan spesies endemik kepada beberapa sistem sungai di Malaysia.

Antaranya Sungai Kemaman, Sungai Kerteh dan Sungai Setiu di Terengganu; Sungai Perak, Perak (sekitar Bota Kiri dan Bota Kanan); dan beberapa sungai di Kedah.

“Berdasarkan rekod dan pemantauan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), terdapat penurunan secara drastik dalam jumlah pendaratan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kita berjaya mengenal pasti beberapa faktor utama yang menyebabkan penurunan tersebut.

“Antaranya adalah permintaan yang tinggi dalam aktiviti jual beli telur tuntung sebagai makanan esotik,” katanya.

Jelas Dr. Nurul Izza lagi, aktiviti pembangunan sumber sungai seperti akuakultur, perikanan, perlombongan pasir sungai dan empangan turut menyebabkan kemerosotannya.

Di Vietnam, Thailand dan Singapura, tuntung sungai telah dikategorikan sebagai pupus di persekitaran liar.

Dahulunya di Sungai Perak, spesies tuntung sungai merupakan antara yang dominan.

Awal 1940-an sebanyak 10,000 ekor tuntung dicatatkan mendarat di tebing-tebing berpasir sekitar Sungai Perak.

Walau bagaimanapun, pemantauan daripada Jabatan Perhilitan mendapati kurang 40 sarang liar direkodkan di tebing berpasir Sungai Perak antara tahun 2005 hingga 2009.

Terbaharu, berdasarkan penyelidikan pada tahun lepas yang dijalankan di Sungai Perak oleh penyelidik UPM dengan bantuan Pusat Konservasi Tuntung Perhilitan, Bota Kanan, Perak hanya menemukan dua ekor tuntung betina mendarat untuk bertelur di lokasi yang dijangkakan sepanjang musim bertelur pada tahun tersebut.

“Kumpulan penyelidik kami sedang dalam usaha menjejaki laluan migrasi tuntung sungai semasa musim bertelur dan selepas bertelur.

“Walau bagaimanapun disebabkan kesukaran untuk mendapatkan sampel hidup di Sungai Perak, kami meluaskan usaha penyelidikan ke Sungai Kemaman dan spesies yang sama boleh ditemui,” katanya.

Di Sungai Kemaman, kumpulan penyelidik UPM tersebut bekerjasama dengan Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-Kura dan Penyu Malaysia (TCS).

Dikelola oleh Chen Pelf Nyok sebagai pengasas bersama TCS, mereka mendapati populasi tuntung di Sungai Kemaman turut mengalami penurunan yang drastik.

Sebanyak 12 ekor tuntung betina dewasa berjaya dipasang alat pemancar radio (radio-tracking transmitter) untuk tujuan pengesanan.

Dalam kajian tersebut, corak laluan migrasi reptilia itu berjaya dikenal pasti.

Corak laluan migrasi mengikut musim pada tahun 2016 adalah penting dalam mengenal pasti tahap kesesuaian habitat sungai seterusnya membolehkan pihaknya menentukan tahap pemuliharaan yang diperlu dilakukan.

Penyelidikan UPM tersebut dibiayai oleh Geran Putra bawah tajuk penyelidikan Integrated Assesment of Endangered River Terrapin In Perak River.

Seterusnya subprojek yang bertajuk Local Community Based Participation for Conservation of River Terrapin in Perak River, Malaysia’ diketuai oleh Dr. Latifah .

Matlamat utama penyelidikan tersebut adalah untuk mengetahui status populasi dan genetik tuntung sungai serta mengenal pasti faktor utama ancaman kepada populasinya.

Seterusnya adalah untuk pembangunan pangkalan data geospatial bagi tujuan pemantauan dan menilai tahap penglibatan komuniti dalam program konservasi tuntung sungai.

Kajian genetik populasi bagi menentukan tahap kepelbagaian genetik tuntung di Sungai Perak dan Sungai Kemaman juga sedang giat dijalankan.

Maklumat tersebut penting bagi merungkai kebarangkalian kurangnya genetik turut menjadi punca penurunan populasi haiwan tersebut.

Sebanyak 11 penanda mikrosatelit genetik molekular spesies tuntung sungai lain telah diuji keupayaannya untuk amplifikasi silang dengan spesies tuntung di Sungai Perak dan Sungai Kemaman.

Sementara itu, beberapa penanda mikrosatelit yang telah berjaya diamplifikasi silang akan digunakan dalam kajian lanjut genetik populasi bagi menentukan tahap kepelbagaian dan kestabilan genetik kedua-dua populasi tuntung tersebut.

Apa yang diharapkan menerusi kajian tersebut adalah tuntung sungai dapat terus ditatap oleh generasi akan datang.

Dalam proses konservasi hidupan liar, penglibatan komuniti setempat tidak boleh dipandang sebelah mata.

Untuk tujuan tersebut, satu program khas iaitu Program Kesedaran Konservasi Tuntung Sungai Siri Kedua (KKTS-II) telah dianjurkan oleh Fakulti Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Penganjuran program dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Pasir Gajah, Kemaman di Terengganu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-Kura dan Penyu Malaysia (TCS) dan Majlis Profesor Negara (Kluster Industri dan Inovasi).

Seterusnya sokongan secara langsung daripada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan TDM Berhad.

Menurut penyelaras program KKTS-II, Dr. Nor Rohaizah Jamil, program tersebut merupakan kesinambungan daripada kempen kesedaran terdahulu.

“Program ini merupakan kerjasama berterusan daripada UPM bersama masyarakat Kg. Pasir Gajah dan TCS dalam usaha untuk mempromosikan kesedaran penjagaan alam sekitar dan hidupan liar dalam kalangan penduduk tempatan.

“Pelajar UPM yang menyertai program ini bertindak sebagai fasilitator dalam semua pengisian slot progam yang diadakan,” katanya.

Selain pendekatan secara santai menerusi aktiviti dan permainan yang dianjurkan, terdapat juga pameran oleh beberapa agensi bagi meningkatkan kesedaran sebagai penjaga aset semula jadi dalam kalangan pengunjung dan penduduk setempat.

Bagi Pengasas TCS, Chen Pelf Nyok, pihaknya telah memulakan usaha menyedarkan orang ramai dalam program konservasi tuntung sungai sejak tahun 2012.

Ujarnya, usaha tersebut dilakukan setelah melihat populasi haiwan tersebut di Sungai Kemaman semakin menurun saban tahun.

“Kami bekerjasama dengan orang kampung untuk memungut telur tuntung di habitat liarnya untuk tujuan penetasan di pusat penetasan khas.

“Jika telur-telur tersebut dibiarkan menetas secara semula jadi, peratusan anak tuntung untuk hidup sehingga dewasa adalah amat rendah,” katanya.

Jelas beliau, usaha pihak TCS tersebut adalah sama seperti mana konservasi yang dilakukan ke atas penyu.

“Kami juga ada membeli telur tuntung yang dipungut oleh orang kampung untuk diselamatkan kerana masih ada sesetengah daripada mereka yang mengekalkan tradisi memakan telur reptilia tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Pengerusi JKKK, Kg. Pasir Gajah, Badrul Hisyam Jusoh, usaha pemuliharaan tuntung sungai disokong penuh oleh masyarakat kampung kerana mereka juga mulai menyedari akan kekurangan populasi haiwan berkenaan.

“Usaha pemuliharaan tuntung sungai ini dimulakan oleh pengerusi JKKK kampung sebelumnya iaitu Mohd. Nor Jusoh dan disambung oleh pihak saya sebagai wakil legasi pelapis kepada masyarakat kampung ini (Kg. Pasir Gajah).

“Tuntung sememangnya merupakan sebahagian daripada budaya tradisi masyarakat kampung ini sekiranya haiwan ini tidak dipulihara, sebahagian budaya tradisi kampung ini juga akan lenyap bersamanya,” ujar Mohd Nor.

Spesies tuntung sungai kini telah dikategorikan sebagai Spesies Sangat Terancam di dalam Senarai Merah IUCN.

Tuntung sungai kini berada di senarai 25 teratas dalam spesies tuntung paling terancam di dunia.