Ia juga memainkan peranan utama menyerap dua kali ganda gas karbon dioksida yang dilepaskan oleh manusia saban hari dan mengandungi pelbagai hasil hutan.

Namun, selain sering menjadi ‘mangsa korban’ untuk tujuan pembangunan, hutan ini juga mempunyai sifat mudah terbakar yang membawa kepada kerugian kepada alam dan manusia.

Kesannya, sumber hutan dan kepelbagaian biologi semakin berkurang, malah kebakaran tanah gambut juga menghasilkan gas rumah hijau dan asap yang memudaratkan kesihatan masyarakat setempat dan mengakibatkan kehilangan punca pendapatan.

Peka dengan keadaan itu, Pusat Alam Sekitar Global (GEC) bekerjasama dengan BOH Plantation Sdn. Bhd., Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Gamuda Land serta komuniti setempat mengadakan program pencegahan kebakaran berasaskan komuniti di Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Menurut Pengarah GEC, Faizal Parish, objektif utamanya adalah untuk menggalakkan penglibatan komuniti setempat dalam usaha mencegah kebakaran hutan gambut, menjaga serta meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan hutan jenis itu kepada generasi muda.

Katanya, antara usaha yang dijalankan adalah pelaksanaan Pelan Pengurusan Kebakaran Hutan untuk HSKLU dan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS) 2017-2021.

“Ia merangkumi kawalan kawasan sekitar untuk mengurangkan risiko kebakaran selain memberikan kesedaran melalui beberapa siri kempen kepada komuniti setempat dan Orang Asli di sekitarnya.

“Ia juga melibatkan pemantauan air dan penyelenggaraan terusan yang tersumbat, penanaman di kawasan 10 hektar dan penyelenggaraan berkala,” ujarnya.

Tambahnya, lima unit Sistem Penilaian Bahaya Kebakaran (FDRS) dipasang sebagai sistem amaran awal dan memantau sama ada indeks kebakaran menunjukkan tahap sederhana, tinggi atau melampau.

Selain itu, pemetaan terusan dan penilaian tanah gambut turut dilakukan untuk mengenal pasti sebarang kebocoran yang boleh membawa kepada kebakaran.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boh Plantations, Caroline Russell berkata, program menanam pokok di HSKLU turut diadakan bagi menyelamatkan ekosistem sensitif tersebut.

Sebanyak 600 pokok telah ditanam dengan bantuan 200 sukarelawan termasuk 40 pelajar dari Sekolah Kebangsaan (Asli) Busut Baru dan Bukit Cheeding, masyarakat setempat, NGO serta wakil korporat.

Inisiatif penanaman pokok adalah sebahagian daripada Pengurusan Air Hutan dan Pemuliharaan Hutan yang sedang dijalankan di landskap HSKLU bertumpu kepada pengurusan hidrologi gambut dan pencegahan serta kawalan kebakaran.

“Mereka bersama-sama menanam 600 pokok tenggek burung, satu spesies perintis di sebidang tanah seluas satu hektar.

“Apabila rakyat Malaysia dan golongan belia menganggap alam sekitar sebagai milik dan tanggungjawab bersama, kita pasti dapat membantu menyelamatkan serta memeliharan hutan paya gambut yang indah ini,” katanya.