Hutan ini dilaporkan lebih tua daripada hutan hujan Amazon dan Congo. Kawasan ini juga diiktiraf kerajaan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 bawah Rancangan Fizikal Negara (RFN) sebagai Kawasan Penting Burung (IBA).

RFN menerusi Subseksyen 6B(2) Akta 172 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 yang merumuskan dasar-dasar strategik bagi maksud menentukan haluan dan arah aliran am pemajuan fizikal bagi negara.

KSAS merupakan kawasan khas yang sangat sensitif kepada sebarang aktiviti atau pembangunan dan perlu dipulihara untuk nilai warisannya, memelihara nilai sokongan hidupnya dan meminimumkan risiko bencana akibat penukaran guna tanah.

Tiada pembangunan guna tanah, pertanian atau pembalakan dibenarkan kecuali untuk pelancongan semula jadi berimpak rendah, penyelidikan, dan pembelajaran. Hutan Simpan Kekal (HSK) yang mempunyai ketinggian 1,000 meter (m) dari paras laut dan ke atas hendaklah dikekalkan sebagai Hutan Perlindungan Tanah dan Hutan Tadahan Air.

Peraturan yang kerajaan tetapkan itu mestilah dikuatkuasakan dan dihormati semua orang.

Birdlife International juga turut mengiktiraf Kompleks Hutan Belum-Temenggor sebagai IBA yang penting kerana kawasan ini terdapat 10 spesies burung enggang yang tidak dijumpai di tempat lain di dunia. Selain itu, Kompleks Hutan Belum-Temenggor juga dilaporkan habitat bagi lebih 300 spesies burung.

Berasaskan kepada keistimewaan kepelbagaian biologi seperti yang disebutkan, Kerajaan Negeri Perak mewartakan 117,500 ha sebahagian daripada Hutan Simpan Belum sebagai Taman Negeri pada 3 Mei 2007. Ini adalah satu pengiktirafan daripada kerajaan negeri dalam melindungi dan memulihara kepelbagaian biologi negara. Kerajaan negeri konsisten dan komited dalam pengurusan hutan secara mampan dan diyakini masyarakat antarabangsa.

Kejayaan pematuhan piawaian Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) membuktikan HSK di negeri ini diurus dengan cemerlang.

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menyasarkan lima juta hektar kawasan HSK menjelang tahun 2020. Setakat tahun 2017, sebanyak 4.9 juta ha kawasan berstatus HSK dicapai di Semenanjung.

Namun penyelidikan patut diteruskan bagi memastikan kawasan hutan yang cukup untuk menjamin bekalan air, kestabilan alam sekitar dan habitat haiwan liar. Peruntukan penyelidikan berkaitan kepelbagaian biologi di kawasan yang dilindungi perlu disediakan oleh kerajaan dan sumbangan swasta. Mungkin satu tabung penyelidikan kepelbagaian biologi yang diurus tadbir satu badan yang ditentukan perlu diadakan.

Keistimewaan Kompleks Hutan Belum-Temenggor ini boleh menjadi tarikan pelancong antarabangsa untuk rekreasi, memerhati burung, pemyelidikan dan pendidikan. Dalam usaha menarik pelancong kajian terperinci tentang hutan ini perlu dijalankan segera.

Antaranya ialah menggalakkan kajian tentang Hutan Belum-Temenggor dan menganjurkan seminar atau simposium bagi penyelidik membentangkan pandangan, data penyelidikan dan berkongsi maklumat agar melalui aktiviti simposium ini akan mengumpulkan maklumat saintifik dan sosioekonomi.

Maklumat saintifik dan sosioekonomi ini boleh membantu meningkatkan aktiviti pelancongan, menguruskan hutan dengan baik dan menafaatkan masyarakat seluruhnya.

Sehubungan itu, Sidang Kemuncak Hujan Belum 2018 (Brains 2018) dianjurkan di Pulau Banding, Gerik, Perak oleh Yayasan Pulau Banding dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Persatuan Pecinta Alam Malaysia (MNS), Dana Sedunia Alam Semula Jadi (WWF) dan Kerajaan Negeri Perak. Penganjuran simposium seperti ini bukanlah buat kali pertama, tetapi beberapa seminar dan simposium sudah dijalankan sebelum ini bagi berkongsi maklumat hasil daripada ekspedisi saintifik berkaitan Hutan Belum-Temenggor.

Perkara yang akan dibincangkan dalam Brains 2018 nanti adalah kepelbagaian biologi dan perkhidmatan ekosistem, Hutan Sosial dan Komuniti, Pemuliharaan Hidupan liar serta Penglibatan Pihak Berkepentingan dan Tadbir Urus dalam hal berkaitan Hutan Belum-Temenggor.

Usaha Yayasan Pulau Banding dengan kerjasama beberapa agensi lain merupakan satu langkah terbaik dalam menyokong kepelbagaian biologi negara dan memanfaatkan sumber semula jadi secara langsung atau tidak. Skop perbincangan ini sangat penting bagi memastikan kelestarian Kompleks Hutan Belum-Temenggor.

Banyak lagi yang belum difahami

Sangat banyak maklumat saintifik di Hutan Belum-Temenggor yang masih belum difahami dengan lengkap. Misalnya maklumat tentang bunga pakma. Setakat ini empat spesies (Rafflesia azlanii, Rafflesia cantleyi, Rafflesia sumeiae dan Rafflesia kerri) dilaporkan di Hutan Belum-Temenggor daripada 34 spesies di rantau ini dan tujuh spesies di Semenanjung Tanah Melayu.

Banyak kajian lagi perlu dijalankan, di samping ekologi, dan kepentingannya dalam hutan dan nilai perubatan.

Kajian ini mesti cepat diperkasa kerana bunga pakma yang popular ini menjadi tarikan ramai orang. Antara ancaman besar ke atas bunga pakma ialah selalu dikutip oleh Orang Asli dari Perak, Kelantan and Pahang. Bunga pakma berharga dalam kalangan masyarakat dipercayai berguna dalam perubatan tradisional.

Selalunya bunga pakma diambil semasa masih muda lagi dan ini akan mengganggu pertumbuhan populasinya.

Bunga jantan dan betina yang berasingan serta masa kembangnya yang tidak sama menjadikan pendebungaan tidak dapat berlaku dengan berkesan.

Kajian terperinci tentang inventori, taburannya dan pembiakannya serta populasi bunga pakma secara am sangat penting. Selain daripada dua faktor di atas, kesan popular ke atas kepelbagaian biologi ialah penebangan hutan.

Orang Asli yang penting dalam pemuliharaan bunga pakma ini perlu diberikan pendidikan.

Di Hutan Belum-Temenggor ini terdapat dua kumpulan orang asli iaitu Jahai dan Temiar. Jahai dari kumpulan yang masih ada yang berpindah-randah, manakala Temiar sudah menetap dan mengamalkan aktiviti pertanian. Mereka penting dalam membantu penyelidikan, pendidikan dan program pemuliharaan kepelbagaian biologi Hutan Belum-Temenggor.

Pengalaman asas mereka dalam kepelbagaian biologi dapat ditafsirkan secara saintifik untuk dimanfaatkan manusia dalam perubatan, pertanian dan pemuliharaan. Begitu juga dengan semua flora dan fauna yang sangat kurang maklumat.

Iklan yang agresif tentang keunikan Hutan Belum-Temenggor sebagai satu destinasi ekopelancongan bertaraf dunia akan menarik ramai pelancong antarabangsa dan tempatan. Pertambahan pelancong yang diatur oleh ejen atau datang sendiri sepatutnya mampu ditampung oleh Hutan Belum-Temenggor.

Maka dengan adanya aktiviti seperti Brains 2018 ini dapat menganalisis maklumat yang ada untuk memenuhi kehendak pelancong tanpa merosakkan alam sekitar, sekali gus melindungi dan memulihara Hutan Belum-Temenggor.

Ramai ahli sains, ahli sains sosial dan ahli ekonomi diperlukan untuk terlibat dalam kajian dan berkongsi pandangan dalam Brains 2018 nanti.