Secara tradisi, sarang burung ibi dipercayai dapat membantu menyihatkan tubuh badan, mencantikkan kulit, mencegah penuaan dan penawar kepada pelbagai jenis penyakit.

Sehingga kini, permintaan terhadap produk sarang burung ini tidak pernah suram, malah makin meningkat dek khasiatnya yang meluas sehingga melahirkan ramai pengeluar produk sarang burung ini.

Di Malaysia, industri sarang burung walet bukan sesuatu yang baharu. Produk berkenaan diusahakan secara besar-besaran dan memberi pulangan yang menguntungkan dalam tempoh sedekad ini.

Industri sarang burung walet kini berkembang menjadi antara produk pertanian popular dalam kalangan usahawan Bumiputera dan menjadi antara komoditi yang mampu meraih harga tinggi di pasaran.

Statistik pembangunan industri juga menganggarkan bilangan premis burung walet diunjurkan meningkat daripada 50,000 buah premis kepada 63,000 buah dalam tempoh Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011-2020.

Tidak mahu ketinggalan, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) yang merupakan pemegang cap dagangan jenama Peladang tidak melepaskan peluang untuk turut memeriahkan industri sarang burung walet melalui syarikat subsidiarinya, Nafas Sialin (M) Sdn. Bhd.

Kilang yang terletak di Tangkak, Johor itu beroperasi sejak tahun 2015 terlibat dalam aktiviti memproses sarang burung walet mentah dan membekalkannya ke pasaran dalam dan luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Nafas Sialin, Datuk Sia Swee Seng berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggalakkan Bumiputera menceburi bidang berkenaan memandangkan ia hanya memerlukan modal yang rendah tetapi memberikan pulangan yang lumayan.

Katanya, kos yang diperlukan hanya sekitar RM25,000 sahaja bagi penyediaan premis bersaiz kecil dan hasil dapat dipungut hanya dalam jangka masa setahun.

“Hanya perlukan modal untuk menyediakan rumah untuk burung sahaja kerana dari segi pemakanan, burung hanya makan sumber alam semula jadi seperti unggas.

“Jadi, ramai petani menceburkan diri dalam bidang ini kerana ia dapat menjana pendapatan dengan nilai yang tinggi dengan pelaburan yang rendah,” katanya ketika di temui pemberita selepas program lawatan media ke kilang Nafas Sialin baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Swee Seng berkata, produk hiliran sarang burung walet yang sebelum ini tertumpu di pasaran tradisi, iaitu China kini telah berubah trend permintaan dari pasaran luar Tanah Besar itu.

Katanya, produk hiliran seperti makanan kesihatan itu berpotensi besar di pasaran Asia Barat serta mampu menjana pendapatan lumayan bernilai jutaan ringgit kepada usahawan tempatan.

Walau bagaimanapun, menurutnya, strategi pemasaran bagi negara Asia Barat lebih menumpukan kepada produk hiliran seperti sup sarang burung segera yang dibotolkan dan kopi segera sarang burung walet.

“Berbeza dengan China, masyarakat Asia Barat kurang mahir dalam cara penyediaan sup sarang burung yang betul kerana makanan ini merupakan sesuatu yang baru buat mereka.

“Oleh itu, kami menyediakan sup sarang burung segera yang boleh terus diminum daripada botol dan kopi segera yang mudah disediakan,” ujarnya.

Bird Nest Sialin Premium Coffee menggunakan kaedah bioteknologi iaitu setiap bungkus kopi mengandungi pati sarang burung yang dikekalkan dalam molekul seberat 3,000 Dalton yang lebih senang diserap oleh badan manusia selain menggunakan ekstrak stevia.

Setakat ini, pihaknya mempunyai empat variasi produk sarang burung walet iaitu pati, kopi, sup segera dan sarang burung mentah.

Mengulas mengenai pasaran di China, Swee Seng berkata, Nafas Sialin ketika ini mengeksport sebanyak 500 kilogram sebulan dengan harga pasaran RM10,000 sekilogram ke negara itu.