Feynman membentangkan kertas kerja bertajuk Plenty of Room at the Bottom manakala K. Eric Drexler menulis sebuah buku bertajuk, Engines of Creation yang juga menyentuh tetang teknologi nano.

Dalam tahun 1974 pula saintis Jepun, Norio Taniguchi, yang telah mencipta Nanotechnology bagi proses menggunakan alat dengan had kurang daripada mikrometer (satu per juta meter manakala dalam tahun 1981 Gerd Binnig dan Heinruch Rohrer dari IBM (Zurich) mencipta mikroskop terowong imbasan, yang mampu merealisasikan nanoteknologi.

Teknologi nano ialah teknologi abad ke-21 yang dijangka memberi impak yang ketara kepada kehidupan manusia.

Malaysia tidak ketinggalan dan terlibat dalam bidang penyelidikan teknologi nano yang dijalankan dipelbagai institusi penyelidikan tempatan dan universiti.

Malah teknologi nano dikatakan mula disebut di negara ini sejak Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) tetapi mulai serius tahun 2006.

Penyelidikan tersebut telah bermula sekurang-kurangnya sedekad yang lepas, melibatkan universiti yang mula mengkaji beberapa kepentingan dan kegunaan teknologi tersebut. Sebagai langkah permulaan, kajian tersebut boleh dianggap sesuatu yang baik.

Masalahnya adalah apabila penyelidikan yang tidak menjuruskan kepada penghasilkan komersial, maka timbul kesangsian bagaimana ia akan memberi pulangan.

Sebab itu, apabila banyak penyelidikan berkaitan teknologi nano ketika ia sedang melonjak isu yang timbul adalah bagaimana hendak mengkomersialkannya. Namun bagaimana hendak mengkomersialkannya sekiranya dijalankan di universiti yang bukan menjadi tanggungjawab mereka.

Isu menjadi lebih serius sekiranya tidak ada pihak menyedari hasil penyelidikan universiti dan institusi pengajian tinggi, apatah lagi untuk membawanya ke pasaran.

Seperkara lagi, penyelidikan itu dijalankan dengan terselaras yang boleh mengakibatkan ada hasil yang dikeluarkan lebih kurang sama dengan yang lain.

Menyedari akan kepentingan bidang teknologi nano itu, universiti bukan sahaja telah dilengkapi dengan kemudaha penyelidilkan teknologi nano, malah lima kemudahan telah diktiraf sebagai pusat kecemerlangan nano.

Lima pusat tersebut terletak Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), MIMOS Berhad, Universiti Teknologi Malaysia(UTM),Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kerajaan telah mengenal pasti pembangunan teknologi nano sebagai salah satu sumber model ekonomi baharu dan bahawa kelewatan menglibatkan diri akan mengakibatkan kita ketinggalan.

Selain pengiktirafan lima pusat tersebut kerajaan telah mengambil inisitaf menubuhkan syarikat NanoMalaysia Berhad (NanoMalaysia) pada 2011 dalam usaha mengkomersialkan produk yang dihasilkan daripada teknologi tersebut.

NanoMalaysia dinaungi oleh Perdana Menteri dan usaha penubuhannya dicadangkan semasa mesyuarat Majlis Inovasi Kebangsaan (NIC) pada tahun tersebut.

Menghurai lebih lanjut mengenai peranan dan tangungjawab NanoMalaysia, Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr. Rezal Khairi Ahmad berkata, fungsi utama NanoMalaysia Berhad adalah jelas iaitu mengenal pasti produk teknolgi nano tempatan dan membawanya ke pasaran.

Menurut beliau, kerajaan telah lama menubuhkan Direktorat NanoTeknologi Kebangsaan (NND) sebagai badan regulator yang mengawal selia aktiviti bidang berkenaan tetapi tidak ada agensi pengkomersialan

“Kita dapati, banyak institusi penyelidikan dan universiti telah menghasilkan banyak produk. Kita diberi mandat untuk mengenal pasti produk yang berpotensi untuk dikomersialkan berdasarkan kepada kriteria tertentu’’ ujar beliau.

Malah katanya, beberapa produk utama dari beberapa institusi penyeldikan tempatan telah dikenal pasti dan berpotensi untuk dikomersialkan antaranya produk kuprum tiub nano (NNC) karbon dan komposit nano yang melibatkan UTP.

Teknologi tersebut menurut Dr. Rezal Khairi, melibatkan pemindahan teknologi nano yang boleh memainkan peranan penting dalam pembangunan pengurusan haba untuk industri pembuatan lampu diod pemancar cahaya (LED) bagi mengelakkan pembaziran tenaga. NanoMalaysia telah menandanganai memorandum persefahaman dengan universiti berkenaan.

Produk lain adalah bateri berteknologi nano dan juga penapis air mudah alih sertan teknologi pengesanan DNA babi oleh UniMAP.

Kejayaan penyelidikan yang disebutkan itu sepatutnya membuka mata banyak pihak berhubung kemampuan penyelidikan bidang teknologi nano tempatan dan berpotensi untuk dikomersialkan.

Lebih menarik, seramai 23 saintis tempatan telah dihantar berkursus dengan pakar di Pusat Penyelidikan IBM di San Jose, Amerika Syarikat mengenai teknologi sistem penghantaran ubatan dalam darah sejak beberapa tahun 2013.

Inisiatif tersebut melibatkan sinergi antara beberapa universiti awam dan Kementerian Pendidikan Tinggi antara lain bertujuan meningkatkan kepakaran selain melonjakkan industri teknologi nano tempatan.

Beberapa produk lain yang berada dalam radar NanoMalaysia termasuk bahan salut atau pembalut berasaskan nano oleh penyelidik UTM, komposit nano oleh penyelidikan UKM .

Menurut Dr. Rezal Khairi, dengan pengenal pastian produk berpotensi itu, pihaknya akan mencari rakan strataegik sebagai langkah pengkomersialan menerusi kaedah pemindahan teknologi daripada pereka cipta kepada pelabur atau syarikat.

Berkongsi lebih lanjut, beliau berkata, terdapat tiga kaedah yang boleh digunakan dalam proses pemindahan teknologi tersebut iaitu universiti sebagai pemilik teknologi akan mengeluarkan lesen kepada syarikat berminat dan bayaran akan diberi kepada pemilik.

Cara kedua adalah memberi royalti kepada pemilik manakala cara ketiga yang diainggap lebih praktikal adalah member lesen kepada pemilik tetapi memberi ekuiti dalam syarikat terbitan yang bakal ditubuhkan untuk mengkomersialkan produk berkenaan dan melantik penyelidik sebagai sebahagian pasukan dengan jawatan sebagai ketua pegawai teknikal.

Sahkan produk nano

Mandat yang diberi oleh kerajaan kepada NanoMalaysia sebagai agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bukan mudah terutama bagi mengenal pasti produk teknologi nano yang berpotensi dikomersialkan.

Menurut Dr. Rezal Khairi Ahmad, pihaknya merealisasikan mandat tersebut dengan memperkenalkan dua program utama iaitu iNanovation dan National Graphene Action Plan 2020 (NGAP 2020) dan satu program sokongan iaitu, NANOVerify.

Empat pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan teknologi nano, pengindustrian teknologi nano, pemudahcara pelaburan teknologi nano dan pembangunan modal insan.

Menurutnya, saringan ketat perlu dilakukan sebelum membawa sesuatu produk berkenaan ke pasaran bagi memastikan usaha pengkomersialan mencapai matlamat.

Dalam pada itu beliau berkata, sejak penubuhannya, NanoMalaysia telah memperkenalkan dua atau tiga program bagi membantu usaha pengkomersialan dan membantu industri tersebut berkembang.

Dua program tersebut katanya adalah iNanovation dan disokong oleh program NANOVerify.

“iNanovation mempunyai lima peranan iaitu memberi perkhidmatan serta menyaring mana-mana produk dan penyelidikan yang tulen.

Kedua adalah menilai landskap teknologi nano dan peluang perniagaan manakala ketiga adalah perancangan strategik serta perundingan dalam pengkomersialan usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Peranan keempat pula adalah memudahcara pelaburan dalam teknologi nano dan kelima melibatkan pembangunan modal insan, ”ujar beliau.

Beliau berkata, usaha pengkomersialan akan melibatkan lebih banyak pelaburan swasta dan kerjasama dengan institusi penyelidikan serta ahli akademik.

Konsep yang diperkenalkan adalah penyelidik sebagai pemegang majoriti akan membangunkan produk sehingga penghasilan prototaip atau konsep dibuktikan (POC) dan kemudian pengeluaran. Industri pula sebagai pembangun produk dan membawanya ke pasaran.

Sebagai sokongan kepada program pengkomersialan tersebut, program NANOVerifytelah dibangunkan. NanoVerify adalah program pensijilan suka rela bagi produk dan pemprosesan yang menggunakan teknologi nano.

Program tersebut menjalankan proses pemeriksaan yang ketat dan akan mempamerkan logo verifikasi NANOVerified pada setiap produk sebagai penanda produk berkenaan diiktiraf kewujudan bahan nano dan menggunakan teknologi nano dalam pemprosesan.