Para penyelidik menemui tulang-tulang daripada dua rangka yang tidak lengkap milik seekor spesies dewasa dan anak dinosaur itu di sebuah kuari di Utah, barat AS.

Saintis mendapati, spesies yang juga dikenali sebagai Brontomerus mcintoshi dalam bahasa Latin itu mempunyai bentuk tulang pinggul yang unik dan luar biasa besarnya jika dibandingkan dengan dinasour berleher panjang sauropod seperti Diplodocus dan Brachiosaurus.

Struktur tulang itu memberikan Thunder Thighs satu keseimbangan pada bahagian sambungan ototnya, seterusnya membuatkan saintis melabelkan paha haiwan itu sebagai 'dinosaur pacuan empat roda'.

"Brontomerus mcintoshi merupakan seekor dinosaur yang menarik dan satu penemuan menakjubkan.

"Semasa kami menyusun semula bentuk tulang pinggul yang aneh itu, kami tertanya-tanya apakah bentuknya, tetapi kami menyimpulkan ia mampu menendang dengan kuat," kata seorang penyelidik, Mike Taylor di Jabatan Sains Bumi Kolej Universiti London.

Katanya, tendangan itu mungkin digunakan ketika dua ekor Brontomerus jantan berebutkan seekor spesies betina.

Pakar paleontologi percaya, spesimen dewasa Brontomerus itu yang dianggarkan seberat enam tan dan berukuran 14 meter panjang merupakan ibu kepada spesimen lebih kecil yang dianggarkan seberat 200 kilogram.

Penyelidik mengenal pasti genus haiwan gergasi itu melalui tulang daripada bahagian bahu, pinggul, tulang rusuk, vertebra dan beberapa bahagian lain.

Bentuk tulang pinggul dinosaur itu menunjukkan ia mungkin mempunyai kaki berotot terbesar dalam keluarga dinosaur sauropod. - AFP