Namun, kegembiraan tidak bertahan lama oleh kerana suasana aman dinihari pagi dicemari beberapa bedilan meriam yang boleh didengari dari Israel yang terletak di seberang Laut Mati sahaja.

Dimaklumkan oleh kakitangan hotel bahawa Israel kadangkala melakukan ujian senjata. Tentera Jordan juga didapati kerap melakukan rondaan bot di sekitar Laut Mati.

Selain itu, Jordan sekarang mengalami krisis air yang meruncing, tidak mempunyai sumber semula jadi seperti minyak berbanding negara-negara di benua Arab yang lain dan kemasukkan pendatang Syria menambahkan krisis yang sedia ada.

Menurut Putera El Hassan bin Talal, selaku Pengerusi, Majlis Tertinggi Bagi Sains dan Teknologi Jordan dan pengasas Royal Scientific Society of Jordan, negara itu memerlukan sains untuk menyelesaikan krisis-krisis tersebut.

Ini merupakan sebab utama kenapa Jordan dipilih sebagai tuan rumah untuk World Science Forum (WSF) 2017. Buat pertama kalinya, WSF membuat penampilan di Asia.

Penganjuran melibatkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO), The Hungarian Academy of Sciences bersama beberapa organisasi antarabangsa lain berkaitan sains, seperti Royal Scientific Society Jordan, selaku tuan rumah dan International Council for Science (ICSU), manakala Akademi Sains Malaysia (ASM) merupakan organisasi bersekutu bawah ICSU.

Kira-kira 3,900 delegasi hadir ke forum tersebut, dan majoriti mereka terdiri daripada pemenang Anugerah Nobel, pembuat dasar berkaitan sains dan teknologi, tokoh industri dan juga komuniti penyelidik, termasuklah saya yang mewakili Malaysia melalui Young Scientists Network (YSN)-Akademi Sains (ASM).

Hari pertama forum menyaksikan ucap tama oleh tokoh yang tidak asing dalam dunia sains, Prof. Dr. Michio Kaku, seorang ahli fizik teori yang terkenal dalam mempopularkan sains dan teknologi menerusi penulisan dan penampilan dalam media massa.

Salah satu buku beliau yang saya minati ialah Physics of The Future. Michio Kaku mengetengahkan idea beliau bagaimana kemajuan dalam sains dan teknologi mampu mencapai keamanan.

Sebagai contoh, lebih mudah untuk memulakan peperangan dengan mereka yang kita tidak kenali, namun dengan perkembangan Internet Kebendaan (Internet of Things), maklumat di hujung jari membantu kita untuk memahami sesuatu budaya asing dan bertoleransi sesama sendiri.

Malaysia turut dijemput untuk berkongsi pengalaman dalam forum berkaitan kesepaduan menerusi pendidikan sains.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Madius Tangau, hasil kajian Malaysia Outlook yang dijalankan oleh ASM mendapati punca kemerosotan minat sains teknologi, kejuruteraan, matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sekolah berpunca daripada penyampaian pengajaran yang begitu tradisional.

Beliau turut berkongsi usaha dilakukan untuk memperbaiki kaedah pengajaran STEM melalui pendekatan Inquiry-Based Science Education (IBSE) yang sedang dilaksanakan di negara ini.

Forum juga membincangkan isu berkaitan hijrah bijak pandai (brain drain). Salah seorang wakil Malaysia, Prof. Dr. Cheong Sok Ching dari Cancer Research Malaysia berkata, dana penyelidikan yang semakin terhad, tempoh projek penyelidikan yang singkat dan tugasan pentadbiran merupakan cabaran utama kepada penyelidik.

Ia bukan sahaja menyumbang kepada hijrah bijak pandai, malah boleh menyebabkan topik penyelidikan pupus, lantas mengurangkan bilangan pakar bidang di sesebuah negara ini untuk tempoh panjang.

Penghargaan perlu diberikan kepada penaja, Inter Academy Partnership (IAP), sebuah pertubuhan sains antarabangsa kerana memberi peluang kepada saya untuk menghadiri forum ini.

Banyak perkongsian ilmu dan amalan terbaik dipelajari sewaktu menghadiri forum ini.

Pengalaman berguna ini bakal dimanfaatkan dalam mempromosi sains di negara ini menerusi kerja sukarelawan di YSN-ASM, Majalah Sains dan juga Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik (IEEE) ComSoc Malaysia.

Sebagai penyelidik, masih banyak usaha perlu dilakukan supaya hasil penyelidikan komuniti saintis mampu menyentuh hati rakyat Malaysiia.

  • Prof. Madya, Ir. Dr. Rosdiadee Nordin ialah Ahli Young Scientists Network (YSN)-Akademi Sains Malaysia (ASM).