Ekosistem hutan yang luas juga memainkan peranan yang penting dalam pengawalan cuaca untuk mengatur dan menstabilkan iklim, sekali gus memberikan keselesaan kepada manusia untuk melakukan aktiviti seharian seperti bekerja, bercucuk tanam dan beriadah.

Di Malaysia, ada beberapa hutan yang setia menjalankan fungsi sedemikian antaranya Hutan Belum-Temenggor yang terletak di utara Perak dan mempunyai keluasan 300,000 hektar (ha), juga dinobatkan sebagai antara kawasan hutan yang memiliki kepelbagaian biodiversiti tertinggi di dunia.

Menariknya, ‘paru-paru dunia’ itu juga dikenal pasti sebagai lebih tua berbanding Hutan Hujan Amzon di Brazil dan Congo, yang sejumlah besar khazanah masih belum diterokai oleh penyelidik.

Namun, ketika dunia pesat dengan pembangunan dan urbanisasi, masyarakat telah berubah ke arah pemodenan dan semakin jauh dengan alam semula jadi menyebabkan tidak ramai lagi yang mahu mengambil tahu dan spesies unik diambang kepupusan.

Sehubungan itu, satu langkah proaktif harus diambil untuk menyedarkan orang ramai mengenai kepentingan hutan dan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pemuliharaan.

Inilah yang dilakukan oleh Konservasi Belum Malaysia yang mengorak langkah dengan melancarkan program Sahabat Hutan Belum (BFF) untuk menggalakkan orang ramai menjadi sebahagian daripada ekosistem hutan, sekali gus menjaga kelestarian hutan untuk generasi akan datang.

Program ini bertujuan untuk membuka peluang kepada orang ramai yang mahu melibatkan diri dalam penjagaan hutan semula jadi dan sebagai platform yang menyambungkan manusia dengan hutan.

Pada peringkat permulaan terdapat dua aktiviti yang boleh dilakukan oleh BFF sama ada memilih untuk menyokong program menanam pokok di hutan yang diuruskan oleh Yayasan Pulau Banding (BPF) atau menderma uniform sekolah kepada etnik Orang Asli di kawasan hutan Belum-Temenggor bawah seliaan Yayasan Emkay.

Menurut Ahli Lembaga Eksekutif Konservasi Belum Malaysia, Datuk Fazwinna Mustapha Kamal, untuk mengembalikan tanaman-tanaman yang berharga di tempat semula jadinya, Hutan Belum-Temenggor merupakan hutan hujan kompleks yang telah wujud sejak 130 juta tahun lalu yang menjadi tempat perlindungan fauna seperti harimau Malaya dan juga gajah Asia dan ‘rumah’ kepada pokok gaharu atau damar.

Tumbuhan gaharu seperti yang diketahui umum mempunyai banyak kelebihan dan khasiat yang terkandung di dalamnya tetapi dalam masa sama menyebabkan ia makin terancam kerana mempunyai nilai komersial yang tinggi dalam pasaran kosmetik dan farmaseutikal.

Katanya, disebabkan itu, program tersebut juga menyasarkan untuk menanam sekitar 1,000 pokok gaharu di hutan hujan berkenaan sepanjang tahun ini.

“Oleh demikian fokus utama program ini adalah untuk mengembalikan tumbuhan yang semakin terancam di tempat asalnya dan BFF juga boleh membantu dengan menanam sendiri pokok itu sekiranya berada di hutan Belum nanti.

“Kami percaya ada sesetengah pihak yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada alam semula jadi, namun mereka tidak mengetahui bagaimana caranya untuk melibatkan diri secara khusus. Jadi kami buka peluang ini kepada mereka,” katanya ketika pelancaran program BFF di Menara Mustapha Kamal, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, Fazwinna menekankan bahawa usaha pemuliharaan hutan ini bukan sahaja tanggungjawab yang patut digalas oleh saintis atau kerajaan sahaja sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak.

Ia memerlukan usaha berterusan untuk terus mengekalkan khazanah alam yang ada di negara ini selain memelihara keunikan yang ada.

“Kita sangat terhutang budi dengan alam semula jadi, terutama sekali hutan hujan. Mungkin usaha untuk menanam semula pokok di hutan atau menderma pakaian sekolah kepada Orang Asli dilihat kecil, tetapi kesannya amat besar.

“Terutama sekali jika lebih ramai yang menghulurkan tangan membantu dan tidak hanya menyokong pemuliharaan tetapi turut bertindak melakukan sesuatu,” ujarnya.

Bagi program menderma pakaian sekolah bagi orang asli pula, pihaknya menyasarkan untuk memberikan bantuan sebanyak 600 set pakaian sekolah kepada mereka yang hidup dalam kemiskinan dan tidak dapat menampung keperluan itu.

Selain tumbuhan-tumbuhan, binatang liar yang terdapat di dalam hutan hujan itu juga berdepan krisis kepupusan akibat sikap sambil lewa manusia.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pulau Banding, Dr. Daniel Baskaran, menjelaskan sehingga kini, dianggarkan hanya 34 ekor harimau Malaya masih wujud di Hutan Hujan Belum-Temengor, manakala populasi gajah Asia juga menurun.

Katanya, faktor pengurangan itu adalah disebabkan oleh perburuan haram terhadap spesies terancam itu yang mempunyai nilai yang lumayan serta permintaan yang tinggi.

“Permintaan komersial terhadap spesies itu seperti kulit dan tulang harimau menyebabkan pemburu haram makin ghairah memburu tanpa memikirkan kesan yang bakal dihadapi sekiranya spesies itu pupus secara keseluruhannya.

“Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan untuk membanteras gejala tersebut dengan menghapuskan permintaan terhadap organ spesies terancam ini agar tiada lagi pihak yang cuba mengaut keuntungan dengan cara mengorbankan mereka,” katanya.

Selain itu, program yang dilancarkan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-10 Konservasi Belum Malaysia dalam usaha pemuliharaan ini juga melibatkan 18 personaliti yang terdiri daripada artis, pereka fesyen, aktivis pemuliharaan dan juga usahawan sebagai peneraju BFF yang pertama.

Antara mereka yang terlibat ialah artis Datuk Sheila Majid, Datuk Acis, Datuk Yasmin Yusuff, Jaclyn Victor, Maya Karin, Sean Ghazi, Deanna Yusoff, Aziz Harun, Bella Nazari, Andi Bernadee, Cassidy La Creme, Aizat Amdan, Mizz Nina dan Nini Marini; usahawan Habib Jewels, Marisa Meer Habib; serta aktivis, Yasmin Rashid dan Andrew Sebastian.

Sebagai BFF, mereka ini akan melibatkan diri dalam aktiviti pemuliharaan hutan Belum-Temenggor selain mempromosikan aktiviti berkenaan kepada masyarakat untuk menarik lebih ramai penyertaan dalam program melindungi alam semulajadi ini.

Bagi yang berminat untuk menjadi BFF boleh mendaftar di laman web www.brainsfeed.org sekali gus menjadi sebahagian daripada komuniti sahabat hutan dan alam semula jadi.