Seperti sedia maklum, sukan bola sepak merupakan antara sukan pilihan ramai di Malaysia mahupun serata dunia. Lihat sahaja bagaimana penyokong berpusu-pusu ke stadium atau sekadar menonton di kedai mamak.

Tidak hanya berbicara mengenai teknik tendangan, cara penangkapan bola oleh penjaga gol atau kelalaian menghantar bola, malah pada masa sama isu padang bola juga sering diperkata sama ada baik untuk sukan tersebut atau sebaliknya.

Apabila berbual mengenai stadium, tentunya antara topik utama adalah berkaitan penyelenggaraan padang.

Menyedari kepentingan tersebut, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bertujuan memajukan bidang pengurusan dan penganjuran sukan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur melalui pertukaran idea dan program.

Dekan Fakulti Pertanian UPM, Prof. Dr. Abdul Shukor Juraimi memberitahu, beliau terlibat dalam penyelenggaraan stadium tersebut sejak 10 tahun lalu dan pada ketika itu, padang di Stadium Nasional Bukit Jalil menggunakan rumput jenis Bermuda dan Paspalum.

Katanya yang juga merupakan penyelidik yang terlibat dalam pengurusan padang di Stadium Nasional itu, kedua-dua jenis rumput tersebut tidak sesuai bagi pertandingan atau latihan sukan seperti bola sepak atau ragbi ekoran tidak tahan lasak.

Malah jelasnya, rumput jenis Bermuda dan Paspalum yang digunakan sebelum ini tidak sesuai dari segi pencahayaan dalam stadium yang menyebabkan pertumbuhan rumput menjadi terbantut, rumput menjadi panjang tetapi kecil, batang kecil serta rapuh apabila dipijak.

“Stadium ini agak unik kerana pencahayannnya kurang disebabkan bahagian atas yang tertutup bagi menghalang penonton daripada terkena hujan. Rumput memerlukan pencahayaan antara 11 hingga 12 jam sehari bagi proses fotosintesis untuk membuat makanan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani MoU antara PSM dan UPM di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini. Pada majlis itu, PSM diwakili Pegawai Eksekutifnya, Azman Fahmi Osman, manakala UPM diwakili Naib Canselornya, Prof Datin Paduka Dr. Aini Ideris.

Abdul Shukor yang juga merupakan profesor Sains Rumpai dan Pengurusan Turf UPM memberitahu, beliau telah membuat kajian mengenai pemilihan rumput yang sesuai ditanam di stadium itu bagi sukan-sukan lasak sejak 2012 dan selepas beberapa kajian dilakukan, nyata rumput jenis Cow Grass merupakan pilihan yang tepat.

MUDAH DIJUMPAI

Tambahnya, banyak perbincangan juga dibuat selain mendapat kebenaran bagi menanam rumput Cow Grass itu.

“Rumput Cow Grass ini mudah dijumpai di negara ini kerana amat sesuai dengan cuaca di Malaysia selain tahan lasak,” jelasnya.

Cow grass ialah sejenis rumput tempatan yang kurang memerlukan baja dan air.

Namun, amat penting bagi rumput tersebut untuk mendapatkan makanan, cahaya, baja dan air bagi proses pertumbuhan dan memastikan ia dapat digunakan dalam tempoh yang panjang.

“Pemantauan dan penyelenggaraan dengan baik termasuk memastikan rumput menerima makanan yang cukup menerusi baja seperti baja nitrogen untuk pertumbuhan dan baja fosforus serta baja kalium untuk menguatkan rumput.

“Penggunaan baja yang betul dan dalam sukatan yang tepat membantu rumput membesar sihat dan tahan lasak.

“Sekiranya penggunaan baja nitrogen terlebih boleh menyebabkan rumput tumbuh secara gemuk (sihat) tetapi lemah. Rumput akan mudah pecah jika dipijak,” katanya lagi.

Beliau menambah, penjagaan rumput di stadium berkenaan akan dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik.

“Rumput Cow Grass tidak memerlukan penggunaan baja yang tinggi seperti jenis rumput lain, malah sekiranya mengalami kerosakan antara 20 hingga 30 peratus tidak perlu ditanam semula sebaliknya sekadar siram, dan baja semula sementara hanya perlu ditanam semula jika mengalami kerosakan melebihi 70 peratus.

“Jika dijaga dengan baik, rumput Cow Grass mampu bertahan sehingga 10 tahun namun, perlu sentiasa memantau keasidan tanah kerana penggunaan baja akan menyebabkan kehadiran ulat dan semburan menghalau ulat tersebut akan menyebabkan tanah menjadi masam,” ujarnya.

PSM, UPM jalin kerjasama pelbagai bidang penyelidikan

PSM dan UPM baru-baru ini menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang seperti penyelidikan, perkongsian kepakaran dan latihan merangkumi aspek pertanian, reka bentuk, perhutanan dan hortikultur yang bakal diterokai serta memberi manfaat.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Azman Fahmi Osman berkata, kerjasama strategik antara universiti dan agensi luar seperti PSM merupakan amalan yang banyak dilakukan oleh universiti di luar negara dalam mereka bentuk kemudahan sukan terancang dan sebagainya.

Tambahnya, PSM memilih untuk bekerjasama dengan UPM selepas mengambil kira latar belakang universiti berkenaan yang merupakan sebuah universiti tertua dalam bidang pertanian yang diperakui kredibiliti dan kepakaran dalam bidang pertanian serta hortikultur.

“Ini merupakan salah satu langkah bagi memastikan rumput, landskap dan perkara yang berkaitan hortikultur sentiasa dalam keadaan baik setaraf kemudahan antarabangsa yang disediakan di Kuala Lumpur Sport City.

“Usaha sama ini juga membolehkan kajian dibuat untuk meningkatkan kualiti, ketahanan dan pemulihan bagi rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil. Selain itu, PSM juga akan dijadikan lokasi untuk kajian akademik dan penempatan latihan industri untuk pelajar UPM,” jelasnya.

Kerjasama itu dilihat membolehkan perkongsian kepakaran bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan antara PSM dan UPM selain memantap dan memartabatkan pengurusan kemudahan sukan PSM.

Pada peringkat permulaan, kerjasama akan berjalan untuk tempoh lima tahun.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata, kerjasama yang dijalankan antara dua organisasi itu merupakan penggalak dan pendorong untuk meningkatkan kerjasama yang sedia terjalin sejak 10 tahun lalu.

Katanya, bidang teknologi inovasi dilihat mampu menyumbang kepakaran yang diperlukan negara, justeru mendorong UPM untuk terus komited memastikan kepakaran mereka dapat dikongsi bersama dengan berkesan serta memberi impak positif dalam membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh industri.

“Sebelum ini pakar-pakar UPM terlibat dalam memberi khidmat nasihat kepada PSM berkaitan kaedah mengendalikan rumput. Jika dilihat rumput di tengah padang itu merupakan hasil perbincangan bersama selepas beberapa penyelidikan dan kajian dibuat.

“Pencahayaan di stadium ini berbeza dan memerlukan spesies rumput yang sesuai dengan keadaan dan pakar kami telah menjumpai jenis rumput yang sesuai untuk keperluan pelbagai jenis sukan di stadium,” jelasnya.

Dalam pada itu, UPM akan terus menjalin kerjasama dengan pihak PSM dari segi pendidikan, pembelajaran kepada membolehkan pelajar menjalani latihan industri serta menjadi sukarela dalam sebaran aktiviti yang di adakan di stadium berkenaan.