Namun, tidak ramai tahu beliau sebenarnya seorang yang obses kepada bidang pertanian dan telah menceburinya sejak sekian lama dan mengharungi jerih perih sebagai usahawan tani.

Sebagai seorang pelakon dan juga peladang berjaya, beliau diangkat menjadi ikon kepada golongan muda terutama bumiputera untuk lebih berjaya dalam bidang pertanian.

Rosyam sudah terlibat selama lima tahun dalam projek tanaman nangka dan durian belanda di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lanchang, Pahang.

Beliau yang ditemui pada majlis penyerahan sijil Amalan Perladangan Baik (myGap) sempena sambutan hari ulang tahun Jabatan Pertanian baru-baru ini berkongsi serba sedikit mengenai pengalamannya dalam bidang pertanian.

Pada majlis tersebut Rosyam menerima sijil myGap sebagai wakil kepada peladang-peladang negeri Pahang.

“Dengan adanya myGap, dapat membantu peladang mengeluarkan makanan yang lebih selamat mengikut standard yang telah digariskan oleh kerajaan selain dapat membantu pengusaha ladang mendapatkan insentif cukai dan buruh asing.

“Sudah tiba masa semua peladang memiliki sijil ini agar kita dapat mengeksport produk. Ini juga dapat membuktikan bahawa produk pertanian kita selaras dengan kualiti produk untuk dieksport,” katanya.

Tambah beliau, melihat kepada situasi pertanian negara pada masa kini, Malaysia sangat berpotensi untuk memasarkan produk ke luar negara lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang memerlukan kerajaan mengurangkan produk import yang mampu menjimatkan kos lebih kurang RM30 bilion.

“Oleh sebab itu, amat penting bagi pihak kerajaan dan jabatan yang berkaitan mengambil inisiatif membantu peladang terutama berkaitan kaedah untuk memasarkan produk ke luar negara.

“Dari segi teknologi pula, tidak dinafikan bahawa negara kita sedikit ketinggalan berbanding negara jiran seperti Thailand. Walau bagaimanapun , kita telah berusaha ke arah itu, dan diharapkan akan ada lebih banyak penelitian daripada pihak berkaitan dalam menjadikan negara kita sebuah negara pertanian moden,” ujarnya.

Menurutnya, pertanian adalah salah satu bidang yang menarik. Tambahan lagi dengan adanya pelbagai program dan kursus-kursus yang dianjurkan pihak kerajaan selain bantuan kewangan juga diberikan.

Seorang lagi penerima sijil myGap dan menjadi wakil penerima bagi negeri Sabah, Marciana Peter, 45, berkata, dia berasa bangga dan bertuah kerana segala usahanya bersama rakan-rakan lain selama ini membuahkan hasil dengan adanya sijil pengiktirafan tersebut.

Mengusahakan tanaman padi sejak tahun 1994 di bawah bimbingan Jabatan Pertanian dan beberapa institusi lain, telah banyak membantu meningkatkan pendapatan para petani di negeri bawah bayu itu.

“Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa kekurangan bagi peladang dan petani di Sabah kerana jentera seperti mesin menuai dan membajak tidak mencukupi.

“Oleh sebab itu, jumlah pengeluaran padi tidak dapat mencapai sasaran.

"Justeru, kami amat berharap pihak berkaitan dapat membantu memberikan kemudahan jentera supaya kami dapat meningkatkan jumlah pengeluaran produk yang secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan ekonomi negara melalui bidang pertanian,” katanya.

Sebagai salah sebuah jabatan kerajaan yang paling lama ditubuhkan iaitu pada tahun 1905, pelbagai transformasi dan pencapaian telah diraih oleh Jabatan Pertanian ini demi kemajuan ekonomi negara dan juga bidang pertanian di negara ini.