Teknologi tersebut bukan sahaja boleh dimanfaatkan bagi membantu rawatan, tetapi mengurangkan kos dan proses penyembuhan dapat berlaku dengan lebih pantas. Yang lebih menarik, ia berpotensi mengurangkan kos penghasilan inovasi menggunakan bahan tempatan.

Seorang penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Khairul Anuar Mat Amin sebagai contoh, menjalankan penyelidikan yang menghasilkan pelbagai inovasi penampal luka dengan pelbagai kaedah dan bahan asas.

Penyelidikan tersebut secara umumnya, dapat membantu mengurangkan pelbagai masalah dalam rawatan antaranya penggunaan bahan kimia, bahan tidak halal dan tidak serasi dengan kulit.

Dr. Khairul juga berkongsi cerita bahawa penggunaan bahan asas tertentu dan campuran dalam produk yang dihasilkannya antara lain memanfaatkan bahan mentah yang mudah diperoleh di negara ini, sekali gus mampu memberi keyakinan kepada mana-mana syarikat untuk mengkomersialkanya tanpa halangan yang terlalu besar.

Satu daripada projek penyelidikan awal beliau adalah Chitogel iaitu penyelidikan penghasilan penampal luka dua lapisan menggunakan chitosan dan dan bahan hidrogel gellan gum.

Gellan gum ialah bahan yang dihasilkan dari sejenis bakteria iaitu Pseudomonas elodea yang diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan, Amerika Syarikat (FDA) dan Kesatuan Eropah untuk digunakan dalam industri makanan. Oleh kerana bahan tersebut selamat untuk dimakan dan tidak beracun kepada sel, ia menarik minat saintis menggunakannya dalam bidang kejuruteraan tisu atau bahan perubatan.

Menurut beliau, penggunaan chitogel yang mempunyai dua lapisan berbeza, iaitu chitosan filem di lapisan atas dan gellan gum hidrogel di lapisan bawah dapat memberi pengalaman yang unik kepada pesakit dan mempercepatkan proses penyembuhan.

Pesakit tidak lagi mengalami trauma ketika ingin membuka pembalut luka yang kebiasaanya melekat pada bahagian luka.

Penambahan ubat-ubatan dalam chitogel membolehkan pembebasan ubat secara perlahan ke kawasan luka dan seterusnya menyembuhkan luka tersebut.

“Bila kita tampal kepada luka, chitosan yang telah ditambah antibiotik mengelakkan serangan bakteria, manakala lapisan bawah mengandungi ubat tahan sakit boleh menggalakkan pertumbuhan sel pada luka berkenaan,’’ ujarnya yang menjalankan penyelidikan tersebut bersama seorang lagi penyelidik, Nur Jannah Mohd Sabri.

Katanya, penyelidikan tersebut bermula pada 2012 dan selesai pada 2014 menggunakan geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebanyak RM60,000.

Berkongsi lebih lanjut Khairul Anuar yang juga pensyarah kanan Sekolah Sains Asas UMT berkata, beliau mendapat inspirasi menjalankan penyelidikan selepas mendapati kebanyakan bahan penampal luka mempunyai satu lapisan sahaja.

Penambahan tanah liat ke dalam hidrogel juga memberi kesan yang positif dalam menggalakkan perkembangan sel dan membantu mempercepatkan proses penyembuhan.

Di samping itu, kumpulan penyelidik juga membangunkan penghasilan gellan gum scaffold yang sangat ringan disebabkan strukturnya yang sangat poros dan akan menyerap air luka (exudate) dan mengekalkan kelembapan pada kawasan luka.

Scaffold merupakan bahan yang mempunyai keporosan yang tinggi. Disebabkan struktur porosnya yang tinggi, bahan ini sangat ringan dan mempunyai banyak ruang-ruang kosong di dalamnya.

“Dengan itu, bahan ini sangat pantas menyerap sebarang larutan ataupun air luka dan menyebabkan struktur scaffold bertukar daripada bahan poros kepada hidrogel,” ujar beliau.

Kata Dr. Khairul Anuar, pertukaran bahan poros kepada hidrogel memberi kelebihan kepada luka kerana ia dapat memastikan kelembapan kepada kawasan luka dan menyerap air luka berlebihan.

Untuk memberi nilai tambah kepada scaffold yang dihasilkan, tanah liat ditambah ke dalam bahan ini.

Tanah liat digunakan secara meluas dalam penghasilan bahan polimer kerana sifatnya yang terbiodegradasi (mudah reput), keserasian dengan sel dan dapat memberi nilai tambah kepada komposit. Antara nilai tambah adalah meningkatkan kekuatan fizikal dan kestabilan hababahan yang dihasilkan.

Kesemua hasil penyelidikan tersebut bagaimanapun belum memasuki fasa ujian klinikal tetapi penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) sedia mencuba produk berkenaan untuk digunakan terhadap pesakit mereka.

Dalam masa yang sama, beliau juga menjalankan penyelidikan dengan mencampurkan gellan gum dengan madu. Madu sangat terkenal dalam penyembuhan luka dan kelebihan yang ada pada madu boleh digunakan secara lebih efisien dengan penghasilan bahan pembalut luka yang lebih sistematik.

Penggunaan bahan semula jadi atau bebas bahan kimia semakin popular kerana pengguna semakin memilik apa yang terbaik untuk mereka gunakan ketika.

Kumpulan penyelidik ini juga menghasilkan poliuretana filem menggunakan bahan berasaskan sawit atau minyak isirung sawit (PKC) sebagai penampal luka.

Terdapat pelbagai jenis poliester dan poliether yang boleh diperoleh di pasaran daripada sumber petrokimia.

Namun begitu, banyak usaha telah dilakukan untuk menghasilkan poliester daripada minyak tumbuhan seperti minyak isirung kelapa sawit, soya dan minyak biji rami. “Dalam kajian kami, kami menggunakan poliester dari minyak isirung kelapa sawit untuk menghasilkan poliuretana filem,” ujar beliau.

Poliuretana yang dihasilkan diharapkan lebih serasi dengan sel dan mengurangkan ketoksikan kepada luka. Kumpulan penyelidikannya juga mencampurkan poliuretana filem yang dihasilkan dengan karbon bersaiz nanotubes (NNT).

Hasil kajian mendapati poliuretana dengan karbon bersaiz nano adalah tidak toksik kepada sel yang dikaji dan bersifat konduktif. Ini memberi ruang yang lebih besar bagi bahan tersebut digunakan dalam kegunaan perubatan yang lain seperti injap jantung dan sebagainya.

Dalam masa yang sama,penambahan nanotiub karbon yang boleh mengalirkan arus elektrik ditambah bagi membolehkan poliuretana filem ini digunakan sebagai bahan perentak jantung (heart pacemaker) dan pelbagai kegunaan lain.

Beliau juga menggunakan minyak kelapa dara (VCO) bagi menghasilkan satu lagi inovasi yang dinamakan, GevCO memandangkan minyak tersebut boleh berfungsi sebagai penyembuh luka.

“Dalam kajian ini, kami menghasilkan gum gellan filem yang mengandungi VCO yang sangat terkenal dalam kalangan penduduk kampung untuk digunakan sebagai bahan tambahan dan juga digunakan untuk tujuan penyembuhan,” ujarnya.

Menurut beliau terdapat sebuah syarikat yang berminat untuk mencuba penampal luka tersebut memandangkan potensinya untuk dikomersialkan.

Walau bagaimanapun setakat ini hanya Chitogel yang telah dipatenkan oleh beliau.

Beliau juga dalam proses menggunakan bahan asas yang diproses daripada rumpai laut iaitu carrageenan bagi menggantikan bahan kimia yang biasanya digunakan dalam rawatan ulser mulut.

Yakin dapat dikomersialkan

Dengan lima beberapa penyelidikan tersebut, ia menjadi cabaran bagi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk mengkomersialkkannya terutama untuk bersaing dengan produk sedia di pasaran.

Menurut Dr. Khairul Anuar Mat Amin, antara produk berkenaan, beliau yakin lapisan dua filem lebih mudah dikomersialkannya kerana cirinya yang unik.

Lapisan atas yang terdiri daripada filem chitosan dapat mencegah jangkitan kuman dan lapisan bawah iaitu gum gellan hidrogel dapat memberi keselesaan kepada pesakit.

“Antibiotik dapat ditambah dalam formulasi chitosan filem untuk mencegah jangkitan kuman dan ubat-ubatan boleh dimasukkan dalam gum gellan hidrogel untuk mempercepatkan proses penyembuhan luka,” ujar beliau.

Buat masa ini katanya, bahan dua lapisan yang terdapat dalam pasaran adalah gabungan dua filem dan masih tiada produk pembalut luka yang menggabungkan filem dan hidrogel dalam produk mereka.

Beliau juga tidak bimbang dengan persaingan dengan produk sedia ada memandangkan peluang untuk menghasilkan produk yang lebih baik terbuka luas kepada semua saintis.

Menurut beliau, produk pembalut luka yang sedia ada di pasaran kurang efisien kerana melekat pada kawasan luka dan memberi trauma kepada setiap pesakit.

Disebabkan itu, produk baru yang dihasilkan cuba untuk memberi keselasaan kepada pesakit dan ditambah dengan ubat-ubatan dalam formulasi bagi menyembuh luka dengan lebih pantas.

Bagaimana sokongan UMT dengan produk tersebut dan apakah bentuk sokongan yang diberikan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan perngkomersialan.

Banyak sokongan yang telahdiberikan oleh UMT bagi kami melakukan penyelidikan.

Sokongan dana dan infrastuktur sentiasa diutamakan bagi membolehkan produk yang dihasilkan dalam makmal dipasarkan untuk kegunaan awam.