Pada tahun 2015, Malaysia mengimport sebanyak 3.2 juta mt jagung bijirin bernilai sekitar RM3.2 bilion dari beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Argentina dan China.

Sebagai sebuah organisasi apex kepada persatuan-persatuan peladang, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mengambil inisiatif dalam memfokuskan kepada pengukuhan rantaian nilai Pertubuhan Peladang (PP) melalui proses penanaman dan pengeluaran jagung bijian.

Dalam masa yang sama, Nafas turut menubuhkan kilang makanan ternakan ayam tempatan iaitu Nafas Feedmills Sdn. Bhd. di Mukim Sri Menanti, Parit Jawa, Muar, Johor bagi memperkuat lagi rantaian nilai berkenaan.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, perancangan pembangunan oleh Nafas itu seiring dalam merealisasikan saranan kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pengimportan jagung bijian untuk makanan ternakan.

“Rantaian ini secara tidak langsung dapat membantu kementerian dalam memastikan harga daging ayam yang relatif lebih rendah dan stabil, di samping mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata demikian pada program lawatan kerja ke Nafas Feedmills Sdn. Bhd. di Muar baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Nafas, Datuk Seri Saipolbahari Suib.

Dalam majlis yang sama, Nafas turut memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) dan syarikat dari Korea, Welmetra Sdn. Bhd. bersama-sama beberapa anak syarikat Nafas yang berkaitan.

Tanaman jagung bijian merupakan salah satu tanaman yang berpotensi untuk dikembangkan dan dijangka dapat mengurangkan kebergantungan bekalan import jagung bijian daripada luar negara.

Rantaian nilai tersebut melibatkan tiga peringkat utama iaitu Nafas, Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Menurut Saipolbahari, menerusi model itu, Nafas akan bertindak sebagai pengeluar dan pemasar makanan ternakan ayam melalui penubuhan kilang makanan ternakan yang akan memberikan jaminan pembelian hasil jagung bijian yang dikeluarkan oleh peserta mengikut spesifikasi yang dikeluarkan.

Sementara itu, PPN berperanan untuk menjalankan proses pengeringan jagung bijian, manakala PPK adalah terdiri daripada ahli peladang atau individu yang menjadi peserta atau penanam jagung bijian.

“Merujuk kepada konsep yang digunakan, penanaman jagung bijian akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat apabila peringkat pertama penanaman dijalankan oleh PPK Bakri di Mukim Labih, Muar dengan keluasan lapan hektar yang akan menghasilkan sekitar 48 tan jagung bijian.

“Peringkat seterusnya merupakan proses pengeringan yang akan dijalankan oleh pihak PPN Johor dan diteruskan oleh pihak Nafas dengan memproses jagung bijian sebagai makanan ternakan ayam dan memasarkannya melalui pasaran dalaman dan luaran,” katanya.

Dalam memastikan perancangan pembangunan masa hadapan bagi mengukuhkan rantaian nilai PP itu, beberapa lokasi penanaman jagung bijian telah dikenal pasti bagi memenuhi keperluan kapasiti pengeluaran kilang-kilang makanan ternakan ayam yang dibangunkan oleh Nafas.

Impak pelaksanaan ini dapat membantu dalam melengkapkan dan memperkasa rantaian nilai sedia ada PP, sekali gus dapat meningkatkan taraf sosioekonomi ahli peladang pada masa hadapan.