Malah bazar Ramadan sudah menjadi seperti pesta makanan di seluruh negara dan tidak terhad kepada masyarakat Islam semata-mata tetapi juga seluruh kaum di negara ini. Di sesetengah tempat, bazar Ramadan menampakkan kepelbagaian dan keharmonian rakyat merai serta menghormati budaya dan agama kepelbagaian kaum.

Selain pesta makanan, dua perkara penting yang menjadi perbincangan hangat setiap bulan Ramadan ialah pembaziran makanan dan sampah yang dihasilkan terutama bahan berasaskan plastik, bekas mengisi makanan, beg, tiub penyedut, cawan dan lain-lain.

Pelbagai-kaedah dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menangani isu sisa makanan dan sisa pepejal lain. Sempena Hari Bumi 2018 seluruh dunia telah mengetengahkan isu pencemaran plastik.

Malah sepanjang tahun 2018 ini seluruh dunia juga bercakap tentang menamatkan pencemaran plastik dan bahaya plastik kepada manusia, alam sekitar seluruhnya serta hidupan marin.

Justeru itu kempen pembaziran makanan dan penggunaan bahan plastik terutama beg plastik perlu diadakan dengan lebih agresif dan sistematik. Pendidikan berkesan perlu diberikan kepada penduduk dan kemudahan yang sesuai perlu disediakan, di samping peraturan dan penguatkuasaan undang-undang.

Memang sukar untuk menghapuskan penggunaan plastik secara menyeluruh kerana plastik sudah menjadi suatu keperluan dan memudahkan pengguna. Apa yang penting ialah masyarakat mampu menguruskan plastik, menukar gaya hidup dan memahami serta menghayati yang plastik boleh mencemar ekosistem dan membahayakan manusia serta kesihatan haiwan terutama hidupan laut.

Budaya mengurangkan penggunaan plastik, terutama beg plastik, perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat. Bekas makanan yang sesuai boleh dibawa dari rumah untuk mengisi makanan yang hendak dibeli. Dengan kaedah ini, PBT bolehah menjalankan kempen bagi mendidik pengunjung pasar Ramadan.

Sebagai contoh, seorang pengunjung membeli makanan untuk berbuka puasa dan bersahur menggunakan dua beg, dua botol air atau cawan, bekas untuk makanan, sudu, tali pengikat dan tiub penyedut yang diperbuat daripada plastik. Berat lapan hingga 10 barangan plastik ini dianggarkan hampir 100 gram (g). Sekiranya 1,000 orang pada satu bazar Ramadan menggunakan pakej yang sama kita akan mendapat 100 kilogram (kg) plastik. Bayangkan berapa pasar Ramadan dan pasar malam di Lembah Klang. Dengan pengiraan mudah ini, tidak hairanlah banyak plastik yang digunakan akhirnya masuk ke dalam laut.

Menurut Science 2015, dianggarkan 275 juta tan metrik sisa plastik dihasilkan di 192 negara berpantai pada 2010 dengan jumlah antara 4.8 hingga 12.7 juta tan metrik memasuki lautan. Tanpa pengurusan sisa pepejal yang baik pencemaran plastik dalam laut akan terus bertambah menjelang 2025.

Mengurangkan beg plastik akan mengurangkan sisa plastik dalam alam sekitar. Dalam pada itu, kajian SW Corp menunjukkan 40 peratus daripada sisa pepejal yang dihasilkan sehari adalah sisa makanan iaitu sebanyak 15,000 tan yang boleh memberi makan kepada 33 juta orang dengan purata 0.45 kg bagi setiap hidangan. Sebanyak 20 peratus daripada 15,000 tan sisa adalah makanan yang boleh dielakkan daripada dibuang seperti roti, nasi dan susu.

Sisa makanan atau makanan yang hilang adalah termasuk makanan yang dibuang dan tidak dimakan. Pembaziran dan kehilangan makanan berlaku di sepanjang proses. Lebih kurang 25 peratus makanan terbuang semasa penyediaan, pengeluaran dan penggunaan.

Penghasilan sisa makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa bulan Ramadan, Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah. Sisa makanan boleh meningkatkan gas metana dan karbon dioksida menyebabkan kesan rumah hijau, pemanasan global dan perubahan cuaca.

Rakyat Malaysia dikatakan tidak mengamalkan pemakanan sihat menjadikan punca kepada pembaziran makanan sepanjang bulan Ramadan. Amalan tidak baik telah menyumbang kepada pembaziran 8,000 tan atau lapan juta kg makanan sehari.

Jumlah tersebut mampu memberi makan kepada 5.3 juta orang untuk hidangan tiga kali sehari. Menurut Kementerian Kesihatan, dalam satu hari kita memerlukan lebih kurang 2,000 kalori untuk lelaki dan 1,800 untuk perempuan. Pembaziran makanan oleh rakyat Malaysia meningkat kepada 15,000 tan metrik makanan sehari termasuk 3,000 tan yang masih boleh dimakan dan tidak sepatutnya dibuang. Pada peringkat global, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2016 melaporkan kira-kira 1.3 bilion tan metrik makanan dibuang atau dibazirkan setiap tahun yang bernilai RM4.4 trilion. PBT dan pihak berkaitan perlu kenal pasti tempat berlaku pembaziran makanan dan cuba mengawal, melalui pendidikan dan kempen yang berkesan.

Laporan media tempatan pada tahun 2015, sepanjang bulan Ramadan dijangkakan lebih 270,000 tan makanan yang tidak diusik dibuang. SWCorp, menganggarkan jumlah makanan tersebut boleh dihidangkan kepada 180 juta orang, enam kali ganda melebihi populasi negara ini iaitu 27 juta. Kajian menunjukkan secara amnya masyarakat menganggap tanggungjawab hal-hal berkaitan persekitaran adalah bawah kuasa PBT. Sikap ini mesti diubah melalui pendidikan, kesedaran, penghayatan dan amalan menguruskan sisa plastik dalam kalangan masyarakat.