Sebilangan besar sisa pepejal akan dihantar ke tapak pelupusan dan sebahagian kecil dikitar semula.

Pelaksanaan pelbagai kempen kesedaran dan promosi yang giat mengenai kepentingan amalan 3R dan penguatkuasaan pengasingan sisa di punca menyumbang kepada peningkatan kadar kitar semula kebangsaan daripada lima peratus pada 2005 kepada 24.6 peratus pada tahun ini.

Peningkatan sebanyak 19 peratus dalam tempoh 13 tahun memberi petunjuk yang baik dalam usaha kerajaan memenuhi aspirasi sasaran kitar semula kebangsaan sebanyak 30 peratus pada 2020.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Dr. Mohd. Pauze Mohamad Taha memberitahu, secara keseluruhannya rakyat di negara ini memahami tentang kepentingan membudayakan amalan 3R, namun masih terdapat situasi rakyat yang belum menghayati, menghargai dan bertanggungjawab terhadap amalan kebersihan serta 3R dalam kehidupan harian.

Malah, sikap tidak cakna dan kurang penghayatan sivik dalam kalangan rakyat juga menjadi punca utama mereka gagal membuang sampah dengan betul ke dalam tong sampah disediakan.

Walau bagaimanapun, seiring dengan pelaksanaan peraturan pengasingan sisa pepejal di punca, kerajaan akan terus komited meningkatkan kesedaran masyarakat berdasarkan pelaksanaan kempen 3R yang menyeluruh serta melibatkan setiap lapisan masyarakat secara berterusan sepanjang tahun.

Sehingga hari ini, sebanyak 4,767 kempen kesedaran dilaksanakan dengan penglibatan seramai 922,390 orang.

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 496 sesi ceramah dan 187 pameran mengenai pengurusan sisa pepejal dan 3R dijalankan.

“Usaha ini tidak sahaja terhenti di peringkat kebangsaan, sebaliknya diperluaskan di peringkat negeri yang menerima Akta 672 melalui pegawai 3R atau pendidik masyarakat di pejabat-pejabat negeri SWCorp.

“Mereka akan bertindak sebagai agen perubahan minda di lapangan dalam memberikan ceramah dan mengadakan pameran bertujuan mendidik dan memupuk amalan menjaga kebersihan dan kepentingan 3R,” katanya.

Sekalipun usaha berterusan dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan agensi-agensi terlibat, namun jika rakyat sendiri tidak mahu berubah usaha tersebut adalah sia-sia.

Tambah Mohd. Pauze, sikap rakyat menentukan kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih.

“Sayangnya sehingga saat ini pun masih terdapat segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah merata-rata walaupun tong sampah di depan mata.

“Lihat sahaja ketika memandu, pastinya masih ada yang membuang sampah sama ada ketika kenderaan meluncur laju atau ketika berhenti di lampu isyarat.

“Perkara ini menjadi amalan kerana kurangnya penguatkuasaan dalam hal berkenaan,” jelasnya.

Justeru, SWCorp ditubuhkan sebagai pelengkap bagi menjayakan Dasar Pengurusan Sisa Pepejal Negara dengan melaksanakan program berbentuk pendidikan kepada masyarakat merangkumi aspek pengetahuan mengenai perkara itu agar dilaksanakan dengan betul.

“Kesedaran diberi kepada masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sisa pepejal dan amalan 3R, kaedah yang betul bagi melaksanakan amalan tersebut dan pelaksanaan kitar semula menerusi inisiatif Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca.

Pendidikan diberi kepada kumpulan sasar berbeza mengikut kategori seperti prasekolah dan tadika, sekolah rendah dan menengah, institusi pengajian tinggi (IPT), sektor swasta atau industri, agensi kerajaan dan komuniti taman perumahan.

Di Malaysia dianggarkan janaan sisa pepejal adalah sebanyak 37,500 tan sehari bersamaan dengan 13.6 juta tan setahun.

Jumlah tersebut jelasnya, adalah 1.3 peratus lebih tinggi daripada anggaran janaan sisa pepejal di negara ini pada 2016 iaitu sebanyak 37,000 tan sehari.

Anggaran janaan sisa tersebut diperoleh berdasarkan maklumat populasi jumlah penduduk Malaysia pada 2017 dan faktor janaan sisa.

“Berdasarkan statistik yang diperoleh daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) pada 14 Julai 2017 menerusi Laporan Survey on Solid Waste Composition, Characteristic and Existing Practice of Solid Waste Recycling in Malaysia yang dijalankan pada 2012, jumlah populasi penduduk Malaysia sebanyak 32 juta orang manakala faktor janaan sisa bagi setiap penduduk adalah sebanyak 1.17 kilogram (kg)seorang sehari,” ujarnya.

Berdasarkan jumlah itu, SWCorp berharap rakyat di negara ini harus dibekalkan dengan didikan dan ilmu berkaitan kitar semula.

Ini kerana, untuk mencapai sasaran 30 peratus kadar kitar semula pada 2020 memerlukan kerja keras termasuk mendidik masyarakat untuk menguruskan sisa pepejal secara berhemah dan memastikan kebersihan persekitaran.

Dalam masa sama, apabila rakyat berubah ke arah amalan kitar semula, sudah pasti dapat mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dibawa ke tapak pelupusan.

“Langkah itu secara tidak langsung dapat meningkatkan kadar kitar semula negara selain menjimatkan perbelanjaan pengurusan sisa pepejal. Paling penting dapat memelihara sumber alam semula jadi sekali gus meningkatkan budaya amalan 3R dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Program pendidikan secara tahunan

SELAIN itu, kerajaan juga menjalankan program pendidikan dan promosi bersifat tahunan kepada masyarakat bagi meningkatkan penglibatan mereka terhadap amalan 3R seperti Waste to Art Competition. Ia merupakan pertandingan dengan tujuan meningkatkan kesedaran masyarakat umum berkenaan dengan potensi barangan terbuang sebagai hasil seni bernilai tinggi.

Program Konvensyen Kelestarian Kampus Hijau yang merupakan salah sebuah program berimpak tinggi dijalankan bagi mengiktiraf usaha IPT dalam memastikan kelestarian alam dan menjadi platform perkongsian maklumat serta kepakaran oleh para cendekiawan di Malaysia.

Malah, sambutan Hari Kitar Semula Peringkat Kebangsaan ditetapkan 11 November setiap tahun bermatlamat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mengitar semula sisa pepejal dan gaya hidup lestari.

Bukan itu sahaja, Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKiSS) diadakan setiap tahun bagi mengiktiraf dan menggalakkan usaha-usaha pelajar dan sekolah dalam melaksanakan amalan itu. Pertandingan ini juga berjaya memupuk semangat cintakan kebersihan dan kreatif bagi mengurangkan penjanaan sisa pepejal dalam kawasan sekolah.

Pada 2017, sebanyak 967 sekolah telah menyertai pertandingan berkenaan.

Pendidikan sepanjang hayat

DALAM pada itu, kerajaan turut memperkenalkan program bersifat community-driven menerusi pelaksanaan inisiatif Bank Kitar Semula di Komuniti ([email protected]) untuk mendidik dan menggalakkan persatuan atau kumpulan masyarakat menjana pendapatan sampingan.

Sepanjang Januari 2017 sehingga akhir Jun lalu, sebanyak 2,999 program Bank Kitar Semula berjaya dilaksanakan.

“Menerusi program ini sebanyak 502,034.01kg bahan kitar semula berjaya dikumpulkan bernilai RM164,443.11.

“Di samping itu, SWCorp menggalakkan penglibatan NGO dan persatuan penduduk dalam menyebarkan kesedaran penjagaan kebersihan dan amalan 3R sekali gus menggalakkan pembentukan amalan dan pembudayaan ke arah negara yang bersih, indah dan sejahtera,” ujarnya.

Pembentukan minda melalui pendidikan formal

TIDAK berhenti di situ, Mohd. Fauze Mohd Taha memberitahu, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC)menjalin kerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi merangka pendidikan yang lebih berstruktur berkaitan penjagaan kebersihan dan kepentingan 3R.

Pada tahun lalu, Modul Pengajaran dan Pembelajaran Pengurusan Sisa Pepejal dan Amalan 3R Merentas Kurikulum Prasekolah dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Modul itu diperkenalkan dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (Semakan 2017) dan mula diguna pakai di 5,228 buah prasekolah di seluruh negara bermula 2018.

Bagi tujuan pelaksanaan yang menyeluruh, kerajaan melantik dan melatih seramai 176 Jurulatih Utama Kebangsaan (JUK) bagi menyampaikan latihan berkenaan modul tersebut kepada guru-guru prasekolah, Tabika Kemas dan Tabika Perpaduan.

“Dianggarkan secara keseluruhannya sebanyak 15,676 prasekolah melibatkan 350,000 murid didedahkan secara berperingkat mengikut tahun perancangan,” jelasnya.

“Di peringkat sekolah rendah dan menengah pula, SWCorp memperkenalkan Modul Latihan Kelab Kitar Semula untuk diguna pakai oleh Kelab Kitar Semula atau Alam Sekitar yang sedia ada di sekolah sejak 2014.

“Mulai 2014 hingga 2017, sebanyak 2,576 buah sekolah mengguna pakai modul tersebut yang melibatkan penglibatan seramai 77,280 orang murid.

“Pada 7 September lalu, SWCorp memperkenalkan dan melancar Modul Latihan Kelab Kitar Semula Edisi Kemas Kini 2018 bagi memastikan kandungan modul tersebut sentiasa relevan dan mengikut perkembangan semasa,” jelasnya lagi.