Ini kerana transformasi negara yang menuju ke arah pemodenan dan pembangunan yang pesat semakin menenggelamkan belantara dan penghuninya bagi memberi laluan kepada bangunan konkrit yang gah.

Namun, syukur kerana masih ada segelintir insan yang sedar tentang kepentingan biodiversiti dan menjalankan inisiatif sendiri dalam usaha memulihara dan memelihara khazanah alam dan hidupan liar yang kian terancam.

Itulah yang dilakukan oleh Arif Ahmad, 48, yang mengasaskan Benus Bird Camp (BBC) yang merupakan pusat pemuliharaan untuk burung dan hidupan liar.

Menubuhkan pusat konservasi itu pada 2013 di atas tanah seluas 10.4 hektar di Kampung Gol Tembeling Tengah, Jerantut, Pahang, idea asalnya adalah untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai hentian rehat dan rawat (R&R) bagi burung dan hidupan liar.

Sebagai pencinta burung, dia mahu mengekalkan habitat semula jadi spesies berkenaan agar terus dapat melihat kecantikan dan kemerduan kicauan burung di persekitaran kampung pada masa akan datang.

Oleh itu, kawasan tersebut dijaga dan ditanam dengan pelbagai jenis pokok untuk dijadikan sebagai sumber makanan kepada pelbagai spesies burung yang singgah dan sebagai habitat kepada haiwan liar di dalamnya.

“Pada awalnya saya seorang yang minat memburung, tapi lama kelamaan saya sedar bahawa usaha untuk memulihara spesies ini lebih penting dan itu membuatkan saya mahu membuka tempat ini.

“Konsep yang saya buat adalah seperti R&R untuk burung iaitu kita menyediakan makanan dan tempat tinggal untuk mereka. Burung boleh singgah dan berteduh di sini pada bila-bila masa,” katanya.

Bukan sahaja menanam pelbagai jenis pokok untuk sumber makanan haiwan, pusat tersebut juga menyediakan beberapa fasiliti lain seperti membuat tagar dan sarang burung tiruan untuk burung murai batu dan burung hantu.

Sehingga kini, kawasan itu menjadi tempat persinggahan pelbagai jenis mergastua terutama burung-burung hutan hujan tanah rendah dan burung-burung taman.

“Sebahagian daripada beberapa kerja konservasi burung yang komuniti Kampung Gol jalankan adalah memeriksa setiap unit sarang burung tiruan kerana bimbang dihuni semut.

“Sebanyak 20 unit yang dipasang di Hutan Konservasi Burung BBC diperiksa secara berkala untuk mencapai sasaran BBC yang ingin menambah populasi murai batu,” jelasnya lagi.

Ia juga menjadi habitat bagi haiwan liar seperti gajah, harimau belang, tapir dan beruang yang berteduh di kawasan tersebut.

Menariknya, pihak BBC turut merekodkan kehadiran setiap spesies yang ada di tapak konservasi berkenaan menggunakan kepakaran yang dimiliki. Antara spesies burung yang direkodkan adalah Garnet pitta dan enggang.

Oleh itu, selain berfungsi sebagai tempat konservasi dan memburung, ia juga dimanfaatkan oleh pakar akademik untuk menjalankan penyelidikan berkaitan biodiversiti.

Ia sering dikunjungi pelbagai agensi universiti tempatan untuk menjalankan penyelidikan antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Berasaskan komuniti

BBC Kampung Gol pada asalnya adalah hutan yang sakit tenat dan berada dalam keadaan `nazak’ disebabkan tangan-tangan manusia sebelum dijadikan tapak konservasi.

Setelah hampir enam tahun penubuhannya, BBC kini berkonsepkan eko pelancongan berasaskan komuniti (CBET) iaitu komuniti turut memainkan peranan memastikan kelestarian pusat pemuliharaan tersebut.

Menurut Pengurusnya, Norfatihah Nordin, CBET diasaskan oleh Dr. Salleh Daim dari UiTM Shah Alam dan dibantu oleh Ady Putra Mohd Hanif dari Jabatan Perlindugan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Di samping menjaga habitat burung-burung, Persatuan Belia Kampung Gol juga telah bergotong-royong menanam pokok-pokok yang buahnya menjadi diet harian burung-burung seperti pokok ara, cery, kenidal, cenerai, sisat dan pokok cemomor.

Pelbagai jenis pokok bunga yang ada madu juga turut ditanam untuk dijadikan makanan kepada burung-burung pemadu seperti pokok dedak, jejarum, jambu air dan pokok bunga raya kembang tak jadi.

“Di BBC kami juga menjaga kulat-kulat yang tumbuh dengan amat rapi kerana kulat ialah pengurai terhebat yang mengitar semula kayu reput untuk menghasilkan nutrien demi menjamin kesuburan tanah yang amat diperlukan oleh tumbuhan.

“Matlamat utamanya adalah untuk menyelamatkan serta memulihkan semula habitat dan pemakanan kepada pelbagai spesies burung yang kian terancam untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu menurut Dr. Salleh, Kampung Gol adalah sebuah kampung yang membangunkan konsep CBET.

“Sebelum ini walaupun berdekatan dengan kawasan pelancongan Kuala Tahan, mereka tidak mendapat limpahan ekonomi.

“Mulai 2014 kami bersama menggerakkan inisiatif ini dan kini mereka mengurus sendiri satu kawasan hutan seluas 10.4 hektar untuk dikunjungi pelancong dengan tarikan aktiviti utama adalah pemerhatian burung selain usaha konservasi hutan,” katanya.

Daya tarikan lain adalah aktiviti menganyam tikar, menyirat jala, membuat gasing, memerah tebu cara tradisional dan gendang tradisi.

“Di sini juga ada aktiviti meredah sungai dan night river safari.

“Semua aktiviti tersebut dijalankan oleh masyarakat di sini dengan saya sebagai penasihat,’’ ujarnya sambil memberitahu terdapat dua pemandu pelancong berlesen di kampung berkenaan.