Sekadar menyebut beberapa contoh, program seperti Dana Nelayan, Insentif Hasil Tangkapan Ikan (IHTI), diesel bersubsidi dan pelbagai lagi fasiliti disediakan oleh kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi agensinya, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Dalam masa sama, kemudahan yang disediakan kerajaan juga datang dalam bentuk lain seperti pembangunan infrastruktur termasuk jeti dan kompleks pendaratan ikan.

Terbaharu, LKIM memperkenalkan program atau jenama Q’Fish, merupakan penjenamaan semula bagi Program Ikan Rakyat LKIM yang telah diperkenalkan bermula pada tahun 2013.

Program tersebut diadakan bagi menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup pengguna.

Pelaksanaan program juga sejajar dengan matlamat LKIM untuk memastikan bekalan ikan sentiasa mencukupi dan mewujudkan stok simpanan ikan segar beku.

Q’Fish telah dilancarkan pada 6 Disember tahun lalu sempena pelancaran Malaysia Seafood Exposition (MySE) 2016 oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong semasa Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro pelancongan Malaysia 2016 (MAHA 2016) yang telah diadakan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Menurut Ketua Pengarah LKIM, M. Saedon Ab. Majid, objektif utama program tersebut adalah untuk menawarkan ikan segar beku berkualiti sebagai pilihan dengan harga yang berpatutan kepada pengguna.

“Selain harganya yang murah, ia juga bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat menerusi pemakanan ikan sebagai sumber protein utama dalam diet pemakanan harian masyarakat,” katanya.

Program Q’Fish melibatkan penyertaan daripada Persatuan Nelayan (PN) yang terpilih dalam pembekalan dan pengedaran Q’Fish ke outlet yang dikenal pasti.

Pelantikan pembekal adalah bagi tujuan mengawal harga dan memastikan kualiti ikan mencapai standard yang ditetapkan dengan harga siling yang ditetapkan oleh LKIM.

Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) pula dilantik sebagai pembekal rasmi Q’Fish, selain Persatuan Nelayan Negeri Kedah (NEKAD) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut, Terengganu.

Sumber pembekalan ikan Q’Fish adalah daripada sumber tempatan dan jika perlu diimport. Kesemua ikan ini akan dibekukan menggunakan teknologi Individual Quick Freezing (IQF).

Diperluas ke seluruh negara 

LKIM akan menggalakkan pengguna untuk membeli ikan segar beku Q’Fish yang dibekalkan oleh NEKMAT sebagai pilihan sekiranya harga ikan naik di pasaran. Menurut LKIM, jualan ikan Q’Fish yang dibekal dan dipasarkan oleh Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) boleh diperoleh di MYFarm Outlet Putrajaya setiap hari pada harga RM8.50/kg dan pasar tani serta Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), D’MART, HeMART dan kedai-kedai yang terpilih dengan harga tidak melebihi RM10.00/kg.

Sehingga kini terdapat 118 lokasi yang menjual Q’Fish di seluruh negara (kecuali Sabah).

Penjualan Q’Fish telah diperluaskan ke negeri-negeri melalui Program Gelombang Jualan Terus Q’Fish Kepada Rakyat di lokasi atau pasar tani terpilih pada bulan Ramadan ini melalui penyertaan Persatuan Nelayan.

Beliau berkata, majlis perasmian Program Gelombang Jualan Terus Q’Fish Kepada Rakyat telah diadakan pada 4 Jun 2017 dan disempurnakan oleh YBhg Encik M.Saedon bin Ab Majid, Ketua Pengarah LKIM di Pasar Tani Stadium Shah Alam, Selangor.

Program Gelombang Jualan Terus Q’Fish kepada rakyat diharap akan dapat meningkatkan penerimaan dan kesedaran pengguna melalui nilai khasiat yang terkandung, kesesuaian mengikut cadangan hidangan dan aspek ekonomi di mana Q’Fish bersifat tahan lama, menawarkan kadar harga yang berpatutan serta tidak bergantung pada faktor cuaca atau musim.

Inisiatif ini diharap dapat membantu rakyat dan dalam masa yang sama menggalakkan pengambilan ikan segar beku.