Walau bagaimanapun, di sebalik kerancakan itu terselit pelbagai cabaran antaranya adalah kos pembinaan yang semakin meningkat. Kerajaan amat sedar akan situasi tersebut dan telah menubuhkan Pusat MyBIM yang bergerak di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) khas untuk membantu industri bagi mengatasi cabaran utama tersebut.

Menurut Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid, MyBIM berperanan sebagai pusat latihan sehenti bagi pelaksanaan Model Bangunan Bermaklumat (BIM) yang mengetengahkan teknologi yang dapat meningkatkan keberkesanan khususnya produktiviti industri pembinaan.

“Kelebihan penggunaan perisian BIM adalah dapat menjimatkan kos dan masa pembinaan oleh pihak industri,” katanya.

BIM pada asasnya adalah merupakan sebuah sistem simulasi permodelan bangunan atau apa jua struktur yang hendak dibina.

Sistem tersebut memaparkan lakaran 3D berbentuk digital mengandungi maklumat dan paparan yang terperinci rekaan sesebuah bangunan memudahkan projek pembinaan dilaksanakan.

Segala bahan, struktur, rekaan malah perabot berserta harga dan pembekalnya juga boleh dimasukkan ke dalam sistem maklumat dan boleh dipaparkan sekiranya perlu untuk tujuan penilaian dan kemas kini.

Selain itu, rekaan di dalam bentuk 3D juga memudahkan jurutera dan pereka bentuk dalaman memeriksa kecacatan rekaan, kelemahan serta kesalahan struktur binaan bermula seawal pada paparan lakaran digital itu sebelum sesebuah bangunan dibina.

Kelebihan tersebut membolehkan segala kesalahan atau kecacatan binaan dapat dikenal pasti dari peringkat awal, malah segala bahan binaan juga boleh disediakan secara secukupnya.

Tiada lagi pembaziran akibat terlebih membeli bahan binaan, membaiki kesalahan binaan serta menjimatkan masa.

Kelebihan menggunakan BIM termasuk penyediaan visualisasi reka bentuk dan meningkatkan kecekapan reka bentuk seni bina, membantu industri dalam mengintegrasikan reka bentuk grafik kepada tiga dimensi (3D)untuk menganggarkan keadaan bangunan sebenar, sekali gus mengurangkan konflik reka bentuk serta peningkatan risiko membina rangka semakan (variation order).

Rangka semakan bermakna projek yang dibina tidak memenuhi syarat akan menyebabkan sebahagian daripada pembinaan terpaksa dirobohkan dan dibina semula.

Secara umum, rangka semakan boleh menyumbang kepada kerugian sekitar 10 hingga 30 peratus daripada kos bangunan.

Dalam erti kata lain, sistem tersebut membantu dalam membina bangunan dengan lebih tepat, efisyen dari segi kos, masa dan tenaga buruh.

Turut dikenali sebagai Pusat BIM Negara, infrastruktur tersebut menelan belanja sebanyak RM2.5 juta dan bakal menyediakan pelbagai kemudahan untuk pelanggannya.

“MyBIM menyediakan kemudahan perkhidmatan perisian BIM pada kadar bayaran yang berpatutan dan turut menjadi tempat rujukan dan latihan berteknologi bagi pemaju, kontraktor, perundingan dan pembekal industri pembinaan negara,” katanya.

Inisiatif penubuhan pusat itu tidak lain adalah bagi mempromosikan BIM secara lebih meluas kerana pengoperasian program tersebut pada asasnya memerlukan kos one off yang agak mahal.

“Jika dikira kos asas untuk menyediakan keseluruhan sistem BIM adalah sekitar RM9,000 untuk perisian dan RM50,000 perkakasannya.

“Walau bagaimanapun, jika pemain utama industri ini merasakan kos pembangunan sistem tersebut mahal anda boleh menggunakan perisian BIM di pusat itu dengan kadar sewa yang berpatutan apabila siap kelak,” katanya.

Dibangunkan oleh E-Construct Sdn. Bhd, pusat itu sedang dalam proses pemasangan perabot dalam rekaan dalaman.

Ketua Pegawai Eksekutif E-Construct Sdn. Bhd., Rofizlan Ahmad berkata, pembinaan pusat berkenaan berada pada peringkat akhir dan akan lengkap sepenuhnya pada pertengahan April.

“Kita berharap apabila pusat ini siap sepenuhnya dan beroperasi akan memainkan peranan penting dalam menggalakkan penggunaan BIM secara menyeluruh dalam sektor pembinaan,” katanya.

MyBIM juga selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020 iaitu satu agenda kebangsaan.

Objektif utama inisiatif tersebut adalah untuk mengubah industri pembinaan menjadi lebih produktif, memiliki alam sekitar yang mampan dengan pemain industri yang berdaya saing di peringkat global serta memberi tumpuan kepada standard keselamatan dan kualiti.