Dalam dalam konteks Malaysia, peningkatan taraf ekonomi bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan rakyat, tetapi ada harga yang harus kita bayar. Pembukaan dan penerokaan tanah sudah tentu memerlukan aktiviti penembangan hutan. Hutan tersebut adalah habitat haiwan atau tumbuh tumbuhan.

Bagi Pengarah Institut Penyelidikan Kenyir Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Datuk Dr. Tajuddin Abdullah, pembukaan tanah pada tahun 1970-an dan 1990-an mendorong kepada gangguan habitat haiwan.

“Ketika itu saya terlibat secara langsung dalam pemeliharaan hidupan liar dan waktu itu juga pembangunan ekonomi yang sangat hebat di negara ini.

“Kita boleh lihat tanah dibuka, dengan kawasan yang terbesar di Jengka, Pahang. Dalam tahun 1970-an, terdapat banyak haiwan di kawasan tersebut sedangkan ketika itu Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) belum cukup kakitangan dan kemahiran. Justeru mereka belum dapat tangani secara baik,” ujarnya.

Beliau berkata, pada 1982, adalah dianggarkan terdapat 700 ekor gajah di negara ini dan jumlahnya kini dianggarkan ada 300 ekor sahaja.

Jumlah harimau pada 1957 ada 3,500 ekor tetapi sekarang dianggarkan 250 ekor sahaja.

Dalam pada itu , pada 1980-an populasi badak Sumatera dianggarkan ada 82 ekor hari ini spesies tersebut sudah pupus.

“Malah pada 1990, saya masih lihat tapak kakinya di Sungai Cacing tetapi pada masa ini sudah tidak ada,’’ ujarnya.

Jumlah seladang liar pula pada 1980-an dikatakan 472 ekor, tetapi hari ini, mungkin hanya 200 sahaja.

Terdapat 22 spesies primate di negara ini. Pada 1957 dianggarkan ada dua juta ekor, tetapi kini jumlahnya separuh daripada itu.

“Hari ini kita sudah kehilangan (pupus) badak Jawa (Dicerorhinus sondicus), banteng dan badak Sumatera,’’ ujarnya.

Pembukaaan tanah dan perburuan antara puncanya.

Menurut Perhilitan, burung merak (Pavo muticus) juga sudah pupus, manakala empat spesies lagi dinilai sebagai terancam secara kritikal iaitu harimau bintang, harimau Malaya atau harimau belang, tenggiling dan seladang.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kepupusan hidupan lain tersebut merupakan satu kerugian kepada negara kerana ia merupakan khazanah yang tak ternilai.

“Bagi Perhilitan, sesuatu spesies itu dianggap pupus apabila ia didapati wujud selama 30 tahun daripada kesan terakhir ditemukan. Takrifan ini adalah berdasarkan kepada IUCN (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Konservasi Alam Semula Jadi),’’ ujarnya.