Terbaharu, Planetarium Negara buat pertama kalinya akan menganjurkan Konvensyen Astronomi National 2016 (ASTROcon2016) bagi meningkatkan kesedaran dan minat masyarakat dalam bidang tersebut dengan tema konvensyen pada kali ini ialah “Membawa Astronomi kepada Masyarakat”.

Menurut pengarahnya, Anita Bahari, ASTROcon2016 yang akan diadakan tersebut merupakan satu-satunya konvensyen berkaitan astronomi yang dianjurkan di negara ini. Melalui ASTROcon2016 ini, ia menjadi platform untuk saintis, jurutera, pendidik dan penggiat astronomi samada yang bertugas di balai cerap, planetarium, universiti, Jabatan Mufti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan duduk berbincang sebagai satu komuniti astronomi.

Jelas Anita, pihaknya juga agak teruja malah tidak menyangka mendapat perhatian yang amat menggalakkan daripada peserta yang akan menyertainya. ASTROcon2016 akan menghimpunkan pakar-pakar dari seluruh di bidang astronomi dan mereka membentangkan dan membahaskan segala aktiviti-aktiviti berkaitan bidang tersebut dari seluruh negara. Seramai 11 pembentang akan membentang, berbincang dan membahaskan aktiviti-aktiviti yang telah, sedang dan akan mereka lakukan,” katanya.

Tambah Anita, antara pembentang tersebut adalah Prof. Emeritus Datuk Dr. Mazlan Othman dari Akademi Sains Malaysia (ASM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Zambri Zainudin dari Universiti Malaya (UM), Mhd. Fairos Asillam dari Planetarium Negara dan ramai lagi. Pembentangan akan dipecahkan kepada enam topik utama iaitu Hubungan Antarabangsa, Penyelidikan Astronomi, Pendidikan dan Pembudayaan Astronomi serta Pencemaran Cahaya. Seterusnya adalah Pelancongan Astronomi (Astrotourism) dan Arkeoastronomi.

Program ini juga merupakan inisiatif Planetarium Negara dalam menyokong usaha kerajaan dalam membudayakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan Dan Matematik (STEM) kepada orang ramai,” katanya. Program tersebut akan berlangsung selama sehari pada 5 Disember ini bertempat di Pelanetarium Negara dan kini peserta telah mencecah 200 orang. Planetarium Negara juga akan menyiarkan konvensyen ini secara langsung melalui webcasting (sidang web) yang boleh dilayari melalui laman web dan Facebook Planetarium Negara.

Selain itu, ASTROcon2016 ini juga juga merupakan titik permulaan untuk menghasilkan satu resolusi yang menyeluruh dalam bidang tersebut.

Sebagai contoh, keperluan untuk Negara mempunyai pelan tindakan jangka panjang mengenai aktiviti R&D dan pembudayaan sains angkasa umumnya dan astronomi khususnya sebagai salah satu strategi yang mampu menyumbang kepada pembangunan ilmu pengetahuan baru serta kemajuan sosio-ekonomi Negara. Jika penganjuran ASTROcon2016 berjaya mencapai okjektifnya pada kali ini, Planetarium Negara mempunyai impian untuk ianya dikembangkan ke peringkat ASEAN dalam tiga tahun akan datang dengan kerjasama South East Asia Astronomical Network (SEAAN) dan Kesatuan Astronomi Antarabangsa(IAU).

Apa yang diharapkan segala inisiatif Planetarium Negara tersebut itu dapat meningkatkan lagi minat masyarakat negara ini di bidang astronomi yang kita ketahui memiliki peranan yang besar dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat saintifik yang akan mendorong pembangunan negara menjadi sebuah negara maju pada 2020.