Dengan kadar penggunaan 30 peratus itu, maka usaha-usaha penanaman semula boleh dilakukan dan dalam masa yang sama, penjanaan pendapatan daripada hasil hutan dalam dilakukan.

Malaysia pada masa ini mempunyai keluasan kawasan hutan 10 juta hektar (ha) dengan lapan juta ha di Semenanjung Malaysia dan proses pembalakan 30 peratus itu akan diturut dengan penanaman semula pokok bernilai tinggi seperti meranti, balau, cengal, mesawa dan keledang.

Cadangan tersebut diutarakan oleh Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr. Abdul Latif Mohmod bagi membolehkan kekayaan semula jadi yang dimiliki dapat dimanfaatkan.

Beliau berkongsi pandangan tersebut ketika ditemui merasmikan seminar Penebusgunaan Tanah Rehabilitasi dan Pemulihan Kawasan Terosot anjuran FRIM di ibu negara baru-baru ini.

Walau bagaimanapun beliau berkata, cadangan tersebut bergantung kepada persetujuan kerajaan negeri kerana sektor perhutanan terletak bawah bidang kuasa mereka.

Beliau berkata, kerja-kerja perhutanan semula wajar diteruskan bagi mengelakkan berlaku kepupusan terutama kepada spesies balak yang bernilai tinggi.

FRIM kata beliau, mempunyai pengalaman menyelamatkan 73 daripada 93 spesies pokok damar, sekali gus menjadikan spesies berkenaan terkeluar dari Senarai Merah dalam Kesatuan Antarabangsa Bagi untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) kepada senarai hijau atau tidak lagi terancam.

Beliau berkata, program perhutanan semula penting bagi menyelamatkan spesies komersial dan usaha tersebut telah lama dilakukan terutama di kawasan bekas lombong dengan kerjasama dan bantuan dana dari Korea Forest Service sejak 2012.

Dengan perkembangan ekonomi yang rancak, penebangan hutan tidak mungkin dapat dielakkan.

Pengurangan hutan dan penggunaan spesies tumbuhan untuk kayu dan resin boleh menyebabkan kepupusan spesies tertentu.

Usaha tersebut juga mendapat sokongan negara rantau ASEAN dengan matlamat memulihara spesies hutan terancam.

“Kita di FRIM ada program perhutanan semula dan kawasan kita memang bekas lombong dan menjadi contoh pemulihan hutan yang buatan manusia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abd. Latif berkata, FRIM terlibat dalam penebusgunaan tanah dan pemulihan tapak-tapak yang terganggu dan bermasalah termasuk hutan telah ditebang, bakau, tapak bekas perlombongan dan tapak pelupusan.

“Malah, kampus utama FRIM merupakan contoh bagi usaha penghijauan semula dan pemulihan hutan yang dimulakan pada tahun 1920-an.

“Hari ini, FRIM merupakan Hutan Hujan Tropika buatan manusia yang tertua dan terbesar di dunia dan ia menjadi model bagi penghijauan semula kawasan terosot.

Beliau berkata, menerusi sokongan agensi awam dan syarikat swasta dari institusi kebangsaan dan antarabangsa secara individu atau melalui kerjasama projek-projek, FRIM berjaya menghijaukan dan memperkaya kepelbagaian pokok di kawasan bermasalah dan terganggu,’’ ujarnya.

Program perhutanan semula akan membolehkan proses pengayaan semula spesies bernilai tinggi dan penambahan nutrien kepada tanah dan kembali semula kepada hutan yang membolehkan spesies flora dan fauna saling berinteraksi.

Usaha yang menunjukkan kejayaan di Bidor, Perak sebagai tanah bekas lombong yang berjaya dipulihkan dalam tempoh kurang 20 tahun dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains iaitu sebuah agensi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Sementara itu, menurut Pengawai Penyelidik Kanan FRIM, Dr. Ang Lai Hoe berkata, proses perhutanan semula penting sehingga ke tahap mencapai keseimbangan dalam ekosistem hutan tersebut.

“Kita tengok sama telah mencapai keseimbangan, komposisi hutan, berapa jumlah spesies hutan hilang yang berjaya kita ganti,’’ ujarnya yang mengetuai proses perhutanan semula jadi Bidor.

Katanya, proses pemulihan melibatkan beberapa fasa bergantung kepada sejauh mana spesies kembali kepada keadaan asal dan berlaku proses kestabilan dan adakah hubungan antara spesies dalam ekosistem hutan tersebut semakin kompleks.

Setakat ini, terdapat kawasan bekas lombong seluas 113,750 ha di negara ini.

Dalam pada itu, seminar dua hari yang bertemakan Penanaman Spesies Senarai Merah Kebangsaan dan IUCN mendapat sokongan dari Korea Forest Service dan Asia Pacific Association of Forestry Research Institutions (APAFRI).

Seminar serantau tersebut bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan peserta mengenai amalan penambakan, rehabilitasi dan pemulihan kawasan yang terosot, berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam bidang yang berkaitan dari seluruh rantau Asia serta menggalakkan kerjasama dan penubuhan rangkaian kerjasama yang lebih baik di rantau ASEAN dalam penjagaan dan pemuliharaan hutan.

Program Ia merupakan salah satu daripada aktiviti di bawah projek Asian Forest Cooperation Organisation (AFoCo) bertajuk Domestication of Endangered, Endemic and Threatened Plant Species in Disturbed Terrestrial Ecosystem in Malaysia and Thailand.

Yang turut hadir dua Timbalan Ketua Pengarah FRIM iaitu Dr. Ismail Harun dan Datuk Dr. Rahim Sudin; Pengarah Bahagian Bioteknologi Perhutanan, Datuk Dr. Marzalina Mansor serta wakil-wakil AFoCo dan APAFRI.