Penduduk di sepanjang Sungai Pahang dan Sungai Tembeling secara tradisinya menggunakan perahu sebagai bentuk pengangkutan utama, terutama untuk ke bandar Jerantut.

Terdapat sebuah reka bentuk perahu tradisional yang unik kepada kawasan ini tersebut yang dikenali sebagai bot panjang Pahang, atau perahu Tembeling. Berbanding dengan pembuatan perahu biasa, perahu Tembeling dibuat menggunakan kayu cengal yang mudah didapati di Hutan Hujan Tropika yang meliputi keseluruhan negeri Pahang.

Ini menjadikannya lebih tahan lama, kalis air, dan mampu menahan daya hentakan batu di jeram berbanding perahu biasa yang lain. Lunasnya juga lebih rendah dan panjang berbanding perahu atau sampan yang digunakan di laut. Ini kerana Sungai Pahang adalah cetek di kawasan berdekatan kampung, dan mempunyai banyak jeram berbatu.

Menurut pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanik, Universiti Malaya, Prof. Madya Ir. Dr. Nukman Yusoff, dengan bantuan geran jalinan masyarakat dari Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UMCares) sebanyak RM36,200 telah berjaya memulihara lapan buah perahu Tembeling dengan bantuan penduduk Kampung Pagi, Hulu Tembeling, Jerantut.

Proses pemuliharaan itu melibatkan teknik penyalutan terkini menggunakan gentian kaca atau woven fiberglass. Ada antara perahu yang dipulihara telah terbiar tidak digunakan untuk beberapa lama.

Katanya perahu berkenaan kini digunakan semula untuk tujuan pengangkutan, memancing, dan membawa pelancong asing di sepanjang Sungai Pahang, hingga ke Taman Negara.

Kata beliau, jangka hayat sesebuah perahu Tembeling kebiasaannya adalah sekitar dua hingga empat tahun.

Walau bagaimanapun, dengan adanya salutan gentian kaca itu, ia akan memungkinkan usianya dipanjangkan antara lapan hingga 10 tahun.

Secara tidak langsung katanya, kaedah tersebut dapat merendahkan kos penyenggaraan dan membenarkan pemilik perahu menggunakannya sebagai punca pendapatan sampingan.

“Kaedah penyalutan gentian kaca digunakan untuk keseluruhan permukaan perahu, dan menelan kos antara antara RM3,000 hingga RM5,000 untuk setiap perahu termasuklah kos pembaikan untuk perahu-perahu lama.

“Penyalutan ini menguatkan struktur keseluruhan perahu, bukan sahaja di bahagian lunas.

“Lapisan gentian kaca juga mengurangkan geseran perahu apabila meluncur di atas permukaan air, dan ini secara tidak langsung turut mengurangkan kadar penggunaan bahan api,” jelas Nukman.

Salah seorang penduduk Kampung Pagi yang mengambil bahagian, Mi Hamidi Nipah, 45, amat gembira kerana perahu Tembeling warisan keluarganya kini sudah boleh digunakan semula.

“Saya turut berasa bangga kerana Fakulti Kejuruteraan UM prihatin terhadap pemuliharaan perahu kami yang pastinya akan memberi kesan positif jangka panjang kepada komuniti di sini,” katanya lagi.

Mengenai perancangan jangka panjang teknik penyalutan ini sudah pun diterapkan kepada penduduk kampung.

Pada masa akan datang, bahan utama pembuatan perahu juga akan ditukar daripada menggunakan kayu cengal kepada bahan komposit asli yang lebih ringan dan tahan lama, selain mengurangkan kebergantungan kepada sumber hutan.

Projek tersebut mempunyai potensi besar sebagai sebuah program keusahawanan sosial yang memberi kesan secara langsung terhadap kemampanan ekonomi penduduk kampung sebagai sumber pendapatan sampingan.

Selain itu, ia juga membantu usaha melestarikan alam dengan mengurangkan penggunaan sumber hutan yang bernilai.

Maklumat lanjut mengenai pemuliharaan perahu Tembeling itu boleh didapati dengan menghubungi [email protected]