Rakyat melihat suatu yang tidak logik mengeluarkan status Taman Negara ke atas Pulau Kukup yang sudah diiktiraf antarabangsa sebagai Tapak Ramsar. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan alam semula jadi seperti Persatuan Pencinta Alam (MNS) dan Pertubuhan Pelindung Alam Sekitar (Peka) turut terkejut dengan keputusan Kerajan Negeri Johor itu.

Sepatutnya kerajaan perlu menaik taraf status Taman Negara dan Tapak Ramsar kepada yang lebih tinggi seperti Tapak Ramsar Diraja Johor. Perkataan Diraja bukan suatu yang baharu tetapi sudah digunakan di banyak negara iaitu taman botani untuk tujuan perlindungan dan pemuliharaan berstatus Diraja. Di Semenanjung sudah ada Royal Belum yang merupakan komitmen tinggi kerajaan mewartakan Hutan Simpan Belum di Perak.

Baru-baru ini isu status Pulau Kukup sebagai Taman Negara telah dibincangkan dalam media massa . Dari segi ekosistem bakau, kawasan pasang surut berlumpur, habitat hidupan liar, warisan semula jadi dan kawasan penting burung (IBA), kompleks hutan bakau Pulau Kukup, Sungai Pulai dan Tanjung Piai mestilah dilihat secara bersama.

Ketiga-tiga kawasan ini adalah Tapak Ramsar yang penting. Pulau Kukup yang mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri sebagai pulau hutan bakau yang tidak berpenghuni kedua terbesar di dunia telah diiktiraf oleh kepentingan tanah lembab antarabangsa di bawah Ramsar 1971.

Kawasan ini juga sebagai IBA dan biodiversiti. Di sekitar Pulau Kukup juga terdapat keluang (Pteropus vampyrus), memerang licin (Lutra perspicillata), kera (Macaca fascicularis) dan burung botak kecil (Leptoptilos javanicus).

Di Semenanjung terdapat beberapa tempat penting berkaitan burung hijrah pantai. Kuala Gula sudah diiktiraf sebagai santuari burung laut yang mempunyai hampir 200 spesies yang menjadi tarikan pelancong dan pengkaji burung. Kawasan pantai berlumpur yang produktif dan hutan bakau yang sihat penting bagi lebih 60 spesies burung air

Kawasan 40,000 hektar di Kuala Gula ini perlu dijaga dengan baik oleh pihak kerajaan tempatan.

Kira-kira 28 spesies burung hijrah pantai juga singgah di Kuala Gula. Spesies yang singgah kebanyakannya terancam.

Kuala Selangor juga menjadi tumpuan utama dan tempat singgah burung berhijrah. Di Taman Alam Kuala Selangor yang diuruskan oleh Persatuan Pencinta Alam (MNS), dapat dilihat pelbagai spesies burung hijrah dan tempatan. Hutan bakau di Kuala Selangor habitat kepada burung pemangsa, burung berek-berek, bangau, belatok, pekaka, burung botak kecil dan burung air lain termasuk burung pantai berhijrah.

Pantai barat selatan Johor juga antara kawasan yang menarik bagi penggemar burung selain terkenal sebagai kawasan tanah Asia paling selatan. Kawasan dari muara Sungai Muar hingga Tanjung Piai kaya dengan hutan bakau dan pantai berlumpur yang produktif. Kawasan pantai Parit Jawa hingga selatan pernah terkenal sebagai kawasan burung botak upeh dan burung botak kecil. Namun burung botak upeh sudah tidak lagi kelihatan. Burung lain yang menarik perhatian adalah burung camar dan pelbagai jenis kedidi.

EAAFP ialah ringkasan kepada Rakan Kongsi Laluan Asian Australasian Timur yang bermatlamat memastikan burung pantai berhijrah dan habitat mereka diiktiraf dan dipulihara untuk manfaat penduduk dan kepelbagaian biologi.

Semua pemegang taruh daripada kerajaan, agensi kerajaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, swasta, industri, NGO dan komuniti tempatan perlu terlibat dalam dialog dan kerjasama untuk memulihara burung pantai berhijrah dan habitatnya. Malaysia sebagai rakan kongsi EAAFP sejak 2012 juga bertanggung jawab memastikan tapak penting burung air di Malaysia mendapat perlindungan sewajarnya dan mengambil strategi pemuliharaan seperti menjalankan pemantauan, mempromosi penggunaan kawasan tanah lembab berkenaan secara bijak, menjalankan aktiviti pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) di kawasan berkenaan.

Antara tapak penting laluan EAAFP di pantai barat Semenanjung ialah pantai Teluk Air Tawar, Kuala Gula, Kapar, Taman Alam Kuala Selangor (KSNP), sepanjang pantai Sekinchan-Sabak Bernam dan Muar hingga Tanjung Piai.

Masa terbaik melihat burung berhijrah ialah dari September hingga Februari setiap tahun. MNS selalu menjalankan pemantauan burung-burung ini pada Disember dan Januari setiap tahun.

Berdasarkan statistik Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) 2013, dari 2006 hingga 2011 jumlah hutan paya laut antara 0.08 hingga 0.10 juta hektar.

Jumlah hutan asli paya bakau perlu diberikan perhatian untuk kepentingan hakisan pantai, menapis pencemaran dari darat dan habitat kepelbagaian biologi. Pengurangan hutan bakau berlaku akibat hakisan pantai, penebangan hutan secara haram, penerokaan hutan bakau untuk kolam udang, pembangunan pesat di kawasan pantai dan perancangan pembangunan yang tidak terkawal. Pembangunan yang aktif di kawasan Selat Johor mungkin memberi kesan kepada kompleks Tapak Ramsar sedia ada.

JPSM mempunyai definisi yang jelas tentang hutan. Hutan Simpanan Kekal (HSK) mengikut Seksyen 7, 8 dan 9 Akta Perhutanan Negara 1984 ditadbir sepenuhnya oleh jabatan perhutanan negeri dan semua hasil hutan adalah milik kerajaan negeri.

Di bawah Seksyen 10 (1) Akta sama, HSK dikelaskan kepada hutan pengeluaran dan hutan perlindungan. Hutan paya laut pula bermaksud satu ekosistem hutan yang toleran terhadap air masin di kawasan air pasang surut sepanjang pantai tertentu.

Hutan paya laut merupakan ekosistem yang berfungsi sebagai benteng kepada kesan ombak bagi mengawal hakisan pantai dan menapis bahan-bahan pencemaran.

Keputusan Kerajaan Negeri Johor mengekalkan status Pulau Kukup perlu dilihat bersama dengan segala peraturan yang ada, kepentingan Tapak Ramsar dan pembangunan pesat yang sedang berlaku. Ini merupakan cabaran besar melibatkan jati diri, pengetahuan, kesedaran dan teknologi. Memandangkan kedudukan kompleks Tapak Ramsar ini bersempadan dengan kawasan yang pesat membangun, Selat Johor, perairan Selat Melaka yang sibuk, Singapura dan Indonesia maka kerjasama antarabangsa juga diperlukan.