Jabatan Pertanian merupakan agensi peneraju dalam pembangunan industri pertanian di negara ini terutama dalam memperkenal program dan pendekatan baharu.

Terdapat beberapa projek bantuan yang dilaksanakan oleh jabatan tersebut iaitu Projek Bantuan Peningkatan Hasil Sayur bagi membolehkan membantu petani dalam pembangunan kawasan dan penyediaan infrastruktur asas yang melibatkan dua jenis sayuran iaitu sayuran jenis berbuah dan sayuran jenis berdaun.

Projek kedua yang telah lama dilaksanakan adalah Tanaman Pengeluaran Kekal Makanan (TKPM) yang merupakan satu strategi bawah Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) untuk menggalakkan pelaksanaan projek pertanian secara berskala besar, komersial dan berteknologi tinggi oleh usahawan termasuk sektor swasta. Pembangunan TKPM melibatkan kerjasama antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pengusaha.

Projek TKPM melibatkan kerajaan Persekutuan yang menyediakan peruntukan untuk pembangunan infrastruktur ladang seperti jalan masuk dan jalan ladang, sistem perparitan dan saliran, sistem pengairan utama, pusat pengumpulan hasil, serta bekalan eletrik dan air.

Projek ketiga adalah Ladang Kontrak iaitu konsep memadankan pengeluaran hasil pertanian tanaman dengan permintaan di pasaran.

Pelaksanaan projek tersebut mengambil kira semua aktiviti yang berkaitan di sepanjang rantaian bekalan pengeluaran iaitu khidmat sokongan seperti kemudahan lepas tuai yang merangkumi pusat pengumpulan, pusat penggredan, kemudahan kredit, perkhidmatan bantuan teknikal, bantuan jentera, kemudahan input pembangunan dan pemasaran.

Satu lagi program adalah pembangunan tanah terbiar iaitu kerajaan membantu petani melaksanakan kerja-kerja pembangunan infrastruktur seperti pembersihan dan penyediaan kawasan, pemasangan sistem pengairan dan saliran, pembinaan jalan ladang serta bantuan input pertanian.

Kesemua program tersebut menyasarkan peserta terdiri daripada petani, usahawan tani dan belia tani sama ada secara individu atau berkelompok.

Usahawan tani juga telah diberikan pendedahan kepada Amalan Pertanian Baik (GAP) yang merupakan amalan pertanian yang menekankan aspek alam sekitar, ekonomi dan sosial untuk memastikan produk yang dihasilkan selamat dan berkualiti bagi kegunaan domestik dan pasaran eksport.

Program pelaksanaan projek tersebut perlu diteruskan demi kepentingan petani negara ini.

Usaha meningkatkan kadar sara diri (SSL) dengan penggunaan teknologi dan peningkatan produktiviti tanaman selain mengenal pasti kawasan baharu untuk tanaman yang memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri, jabatan, agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuklah tanah di bawah talian elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Salah sebuah projek di bawah talian elektrik yang boleh dianggap berjaya adalah Projek Usahawantani Bukit Damar Sepang, Selangor yang berkeluasan 15 hektar (60 ekar) melibatkan empat peserta dan dengan nilai jualan mencecah hampir RM0.5 juta.

Kejayaan keempat empat mereka, Mustafa Kamal Jamel, Goh Kong Meng, Akmaerwan Mustafa Kamal dan Datuk Razali Jantan mendapat perhatian Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub yang melawat projek tersebut baru-baru ini.

Salahuddin dalam reaksinya memuji dan bangga dengan usaha keempat-empat mereka yang mengusahakan tanaman sayur di bawah talian elektrik TNB dan wajar menjadi contoh kepada petani lain.

“Apabila berdialog dengan mereka saya dapati Kementerian (Pertanian dan Industri Asas Tani perlu memikirkan insentif yang boleh diberikan,” ujarnya.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Jamal Harizan Yang Razali.

Menurut Salahuddin, pengusaha memasarkan hasil tanaman mereka ke pasar tani, sekali gus dapat membantu mencapai maltamat asal penubuhan pasar tani.

Sementara itu, seorang pengusaha Akmaerwan Mustafa Kamal berkata, sejak mengusahakan tanah di kawasan tersebut, jelas membuktikan projek pertanian merupakan perniagaan yang menguntungkan.

“Dengan dibantu oleh Jabatan Pertanian Putrajaya, saya agak mudah mengusahakan projek di sini dan pendapatan pun mencukupi,” ujarnya.

Akmaerwan memberitahu, kawasan tersebut dibuka dengan kerja-kerja awal membersihkan kawasan dan meratakan tanah.

Ketika itu pihaknya tidak memohon sebarang bantuan daripada pihak berkaitan termasuklah Jabatan Pertanian, sebaliknya perlu berdikari dan bermula dengan modal sendiri.

Ketika itu dia membelanjakan antara RM150,000 hingga RM200,000 bagi persediaan membuka kawasan seluas empat hektar selain modal membeli biji benih untuk mengusahakan tanaman sawi bayam dan kangkung yang cepat dituai.

Sepanjang tempoh mengusaha projek tersebut dia sentiasa berdepan cabaran terutama masalah cuaca yang merosakkan tanaman.

“Saya pernah rugi hampir RM600,000 kerana masalah cuaca ini,” ujarnya.

Akmaerwan memasarkan hasil tanaman kira-kira 700 kilogram (kg) sehari ke Pasar Borong Selangor selain ke kedai- kedai runcit.

Mengenai sama ada projek pertanian boleh menguntungkan dan menarik lebih ramai golongan muda sepertinya, Akmaerwan berkata, mereka mesti mempunyai minat dan jika bersunggih-sungguh, mampu mendatangkan pulangan lumayan.

“Bagi menarik golongan muda ini, mereka perlu melihat hasilnya terlebih dahulu bagi memberi keyakinan, bidang pertanian memang menguntungkan.

“Jangan pandang pertanian kerja yang kotor, renyah dan panas tetapi inilah hasil titik peluh kita sebagai sumber rezeki,” ujarnya yang banyak menyertai kursus dan bimbingan bagi menambah kemahiran termasuk yang terbaharu berkaitan Amalan Pertanian Baik (myGAP)

Dia kini mengusahakan 16 hektar kawasan penanaman sayur-sayuran berharap satu hari nanti projek dapat dipertingkat dengan kemudahan lebih canggih termasuklah penggunaan greenhouse (rumah hijau) dengan persekitaran iklim yang terkawal.

Cari jalan atasi kekurangan benih

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyedari isu utama sektor pertanian negara ini adalah kekurangan biji benih bagi kebanyakan jenis tanaman termasuklah sayur-sayuran.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, masalah biji benih yang kebanyakannya diimport antara yang akan diberi perhatian oleh beliau bagi mengurangkan kebergantungan bahan tanaman tersebut.

“Masalah benih sayur yang diimport dan bagaimana usaha akan diambil bagi mengatasi masalah tersebut akan saya beri perhatian,” katanya.

Mengenai isu tersebut, beliau akan mendapatkan bantuan dan penglibatan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi mencari jalan menyelesaikan isu kekurangan biji benih tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import.

Dalam masa sama, beliau juga akan memberi perhatian kepada usaha menawarkan lebih banyak insentif kepada penanam sayur bagi meningkatkan produktiviti mereka.

Dalam pada itu, menurut Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Jamal Harizan Yang Razali, Malaysia pada masa ini mengimport kira-kira 90 peratus biji benih, manakala 10 peratus yang dikeluaran dalam negara adalah benih timun, kacang panjang kacang buncis tetapi bukan jenis hibrid.

Justeru teknologi penghasilan benih perlu dperkukuh.

Menurut Salahuddin lagi, antara yang akan diberi penekanan adalah meningkatkan latihan dan bimbingan terutama dalam penggunaan teknologi baharu dengan mengambil contoh di Taiwan dan Jepun.

“Kita juga mahu pegawai pengembangan sentiasa mempunyai latihan dan dibekalkan maklumat yang terkini dengan penglibatan Jabatan Pertanian,” tambahnya.