Namun yang menjadikan penempatan tersebut sangat  berharga, penduduknya menerima manfaatkan langsung daripada khazanah yang dimiliki itu.

Kawasan tersebut sebenarnya sebuah perkampungan nelayan  dan aset sekitarnya menjadi nadi ekonomi penduduk beberapa perkampungan di situ.

Yang lebih istimewa, atas dasar memindahkan manfaat penyelidikan kepada masyarakat, sekumpulan penyelidik Universiti  Malaysia Terengganu (UMT) memilih kawasan tersebut sebagai projek belangkas dengan bantuan dana daripada Kementerian Pendidikan Tinggi.

Projek yang diletak bawah Penyelidikan Translasional (Translational) atau penyelidikan dampak mempunyai matlamat murni memindahkan hasil penyelidikan kepada masyarakat.

Projek diterajui Kumpulan Penyelidikan Belangkas (HCRG) Institut Bioteknologi Marin  (IMB) UMT itu dianggotai Prof. Madya Dr. Noraznawati Ismail selaku ketua projek dan ahlinya terdiri daripada Prof. Madya Dr. Faridah Mohamad, Prof. Madya Dr. Ahmad Shamsuddin Ahmad, Dr. Jarina Mohd. Jani dan Dr. Fisal Ahmad. 

Belangkas ialah sejenis haiwan eksotik yang dahulunya dilaporkan sering dilihat naik ke pantai-pantai Semenanjung untuk bertelur. Pemandangan ini kini amat jarang ditemui. Malah belangkas dewasa ini lebih dikenali dalam kalangan penggemar makanan eksotik khususnya di Johor dan Pulau Pinang. 

Menurut Noraznawati, pihaknya diperuntuk dana sebanyak RM1.9 juta oleh kementerian berkenaan bagi membangunkan kemudahan projek di kawasan tersebut. 

Pemilihan Setiu sebagai kawasan projek antaranya disebabkan kawasan tersebut merupakan habitat kepada belangkas. Dalam masa sama,  projek tersebut kata beliau, bukan sahaja membantu menjana pendapatan sampingan kepada nelayan terpilih tetapi kumpulan penyelidik memperoleh bekalan darah untuk penyelidikan selain membantu dalam pemuliharaan belangkas supaya tidak pupus. 

Dalam pada itu, menurut Dr. Faridah, kajian survival dalam tempoh 10 tahun menunjukkan 70 peratus belangkas hidup membuktikan ia boleh diternak. 

Katanya, nelayan terpilih menternak belangkas dan darahnya dijual kepada mereka untuk tujuan penyelidikan. 

“Dana  yang digunakan untuk membina kemudahan tempat penetasan untuk peneluran dan pusat santuari yang dikendalikan oleh pelajar dan nelayan terpilih,” ujarnya.

Salah seorang nelayan Che Zahari Othman, 62, berkata dia mendapat faedah daripada projek tersebut dengan menjual beberapa belangkas kepada UMT.

“Universiti memberi kemudahan termasuk sangkar,” ujarnya yang berasal dari Kampung Kuala Setiu dan  terbabit sebagai nelayan  dengan menangkap menggunakan bubu.

Dia yang terpilih sebagai peserta awal projek memberitahu, cara tersebut dapat membantunya memperoleh pendapatan sampingan.

Projek tersebut turut dibantu oleh kakitangan UMT, Mohd. Nazri Nawi dan pelajar, Anis Syahira Abdul Halim.