Lambakan pengangguran dalam kalangan lulusan universiti menjadi antara faktor utama program bawah seliaan Prof. Madya Dr. Shamsul Bahri Abd. Razak diberi perhatian utama oleh pengurusan universiti dan menjadi pemangkin kepada usaha Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) membantu mencipta peluang kepada mahasiswa setelah bergelar siswazah kelak. Program tersebut mengumpulkan 50 mahasiswa yang berminat menjadi peserta program yang akan dijalankan selama satu tahun.

Antara keperluan asas dalam teras ilmu keusahawanan adalah pengkhususan bidang yang dipilih agar matlamat yang ditetapkan dapat dilaksanakan menjadi kenyataan. Antara bidang keusahawanan yang mendapat tempat adalah makanan, rekaan dan fesyen, solekan dan pertanian.

Dalam konteks kelulutpreneur, bidang keusahawanan berfokuskan pertanian dipilih berdasarkan beberapa faktor antaranya kebolehpasaran hasil keluaran pertanian, modal permulaan yang rendah dan sokongan dari agensi kerajaan dan swasta.

Industri kelulut merupakan satu daripada bidang yang tergolong dalam perusahaan produk makanan berasaskan pertanian. Hal ini kerana kelulut berupaya menghasilkan madu, propolis dan roti lebah yang berpotensi dijadikan sumber makanan tambahan bagi meningkatkan kualiti kehidupan manusia.

Produk yang baik sentiasa mendapat tempat di hati pelanggan. Madu kelulut mula menjadi buah mulut orang ramai setelah madu kelulut disenarai dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) pada tahun 2013 sehingga harganya kini mencecah RM300/kg. Madu kelulut mempunyai fizikal yang berbeza dengan madu lebah. Rasanya yang manis kemasaman serta pola warna yang berbeza mengikut musim menjadikan pengguna tertarik untuk mendapatkan madu kelulut.

Menerusi kajian yang dijalankan oleh institusi pengajian tinggi dan institut penyelidikan kerajaan telah mengesahkan bahawa madu kelulut mempunyai kadar antioksida dan laktik asid bakteria yang tinggi yang berupaya membantu kelancaran sistem enzim dalam tubuh manusia. Selain madu, roti lebah juga tidak kurang hebatnya.

Roti lebah merupakan debunga bunga bungaan yang diambil oleh kelulut lalu diolah sehingga menjadi struktur pepejal halus yang kemudianya diproses menjadi jeli raja khusus untuk makanan anak-anak kelulut yang belum menetas.

Saintis membuktikan bahawa roti lebah mempunyai kandungan protein yang tinggi dan boleh dijadikan sumber makanan tambahan selain ikan, ayam dan daging. Roti lebah boleh dijual di pasaran mencecah harga RM1,000 sekilogram.

Propolis kelulut pula mengandungi bahan aktif antibakteria dan antikulat yang berupaya merawat penyakit berkaitan dermatologi (kulit). Oleh itu, propolis menjadi salah satu bahan campuran untuk menghasilkan sabun propolis yang telah mendapat tempat dalam pasaran negara hari ini.

Cetusan idea kelulutpreneur juga berupaya melahirkan usahawan kelulut yang mempunyai ilmu dan kemahiran tinggi bagi memastikan kualiti produk berasaskan kelulut dapat ditingkatkan.

Peserta yang dipilih menyertai program kelulutpreneur ini merupakan pelajar tahun dua program ijazah sarjana muda dan telah melalui dua peringkat temu duga bagi melayakkan mereka menyertai program intensif selama satu tahun ini.