Seperti yang termaktub dalam Dasar Agromakanan Negara (2011-2020), jumlah permintaan ikan dijangka meningkat dari 1.3 juta tan metrik pada 2010 kepada 1.9 juta tan metrik pada 2020. Pengeluaran akuakultur diunjur meningkat 790,000 tan metrik atau 41 peratus daripada jumlah permintaan ikan negara.

Pada 2020 juga penggunaan perkapita ikan pula dijangka sebanyak 55 kilogram (kg).

Walau bagaimanapun adakah kita bersedia menghasilkan bekalan ikan bagi memenuhi permintaan? Untuk tujuan itu, bekalan benih ikan perlu dipertingkat dari 4.7 bilion kepada 13.6 bilion ekor pada 2020.

Apa yang menjadi permasalahan ketika ini adalah cabaran menghasilkan benih yang baik kerana berdepan dengan isu penyakit.

Jika tidak ditangani, masalah penyakit ikan ini akan menyebabkan industri perikanan khususnya akuakultur akan terjejas dan semua matlamat yang digariskan dalam dasar tersebut tidak akan tercapai.

Penyakit ikan mudah merebak melalui air dan dihidapi penyakit baharu atau dikenali sebagai emerging disease. Ikan sentiasa bergerak, sama ada bagi tujuan perdagangan jualan dan lain-lain.

Pergerakan tersebut membawa bersama air sebagai media yang boleh membawa patogen atau agen penyebab penyakit.

Patogen ini sangat mudah merebak terutama di premis yang tidak mengamalkan amalan biosekuriti.

Pengarah Kanan Bahagian Biosekuriti Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata, isu biosekuriti bukan isu baharu. Elemen biosekuriti telah ada dalam Malaysia Standard dan dibincangkan pada peringkat antarabangsa melalui Pertubuhan Dunia Mengenai Kesihatan Haiwan (OIE) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Katanya, penternak yang membekalkan ikan kepada pengeksport lebih maklum mengenai keperluan biosekuriti bagi memastikan ikan tersebut boleh dijual seterusnya dieksport.

“Penternak yang menjalankan menjual ikan hidup dalam negara juga sudah mula faham keperluan biosekuriti untuk mengelak kehadiran penyakit berbahaya,” ujarnya.

Penternak, pengimport dan pengeksport yang berdaftar bawah program biosekuriti adalah sebanyak 1,461 dan daripada jumlah itu, sebanyak 414 pengusaha dipersijil dengan Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP).

Mengenai sasaran program tersebut, Adnan berkata, sesiapa sahaja yang terlibat dengan pengendalian dan aktiviti ternakan ikan dalam apa-apa jenis sistem ternakan sama ada ladang dan pusat penetasan terlibat dalam program tersebut.

Setakat ini, sambutan yang diterima daripada penternak sangat positif dan mereka mengamalkan amalan biosekuriti di kawasan ternakan.

Di negeri-negeri terdapat peraturan yang mewajibkan amalan biosekuriti termasuk di Wilayah Persekutuan melalui pewartaan Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan 2017.

Justeru beliau berharap agar pengusaha menerima biosekurit demi keuntungan pada masa akan datang.

Biosekuriti mungkin memerlukan sedikit peruntukan namun ia berbaloi dalam memastikan ternakan yang dihasilkan adalah bebas penyakit dan berkualiti untuk dijual.

“Jabatan dan pengusaha perlu berganding bahu agar biosekuriti mampu menghasilkan produk yang boleh diterima sehingga ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Program persampelan ladang akuakultur

SANITASI dan Fitosanitasi (SPS) akuakultur merupakan satu lagi program yang memantau ikan dan hasilan ikan dari sektor akuakultur.

Bermula pada 2011, program mula memfokuskan kepada pemantauan ladang akuakultur yang tidak terlibat dalam program Pelan Pemantauan Sisa Akuakultur (ARMP) tetapi mengeksport ke negara-nengara lain selain Kesatuan Eropah (EC) juga dipantau menerusi program persampelan ke atas ladang dilakukan setiap dua kali setahun.

Pada tahun lalu, sebanyak 36 buah ladang terlibat dan dibahagikan kepada ternakan ikan seperti siakap, tilapia dan keli dan ternakan udang melibatkan udang harimau, udang putih dan udang galah.

Sebuah lagi program yang diperkenal adalah persampelan ARMP yang wajib bagi negara-negara yang ingin mengeksport ikan dan hasilan ikan ke EU.

Ia bertujuan memantau dan mengurangkan pencemaran residue drug veterinar (RDV) dan memberi jaminan rasmi kepada negara pengimport terhadap keselamatan dan kualiti produk akuakultur di negara ini.

Pelan ARMP tahunan mesti dihantar ke Suruhanjaya EU sebelum 31 Mac setiap tahun. Program tersebut terbahagi kepada dua iaitu persampelan ARMP bagi udang seperti udang putih, dan harimau serta persampelan untuk ikan seperti kerapu, tilapia, ikan merah, jenahak dan patin.

Sampel yang terlibat adalah udang dari kolam ikan payau serta ikan bersirip dari kolam atau sangkar air payau dan air masin.

Persampulan yang dilakukan melibatkan ladang akuakultur yang mempunyai Sijil Kualiti Ikan (FQC) Sijil MyGAP dan ladang yang berdaftar dengan Bahagian Biosekuriti Perikanan.

Dalam pada itu, sebanyak 27 buah ladang terlibat dalam persampelan ARMP bagi ladang udang. Sasaran bagi tahun lalu ialah sebanyak 666 sampel akan diambil melibatkan 11 parameter.

Bagi ladang ikan pula, sebanyak 32 ladang ikan terlibat dalam persampelan ARMP pada tahun lalu dan sebanyak 1,179 sampel diambil melibatkan 13 parameter yang akan dianalisis.

22 langkah ke arah amalan biosekuriti

Jabatan Perikanan mempunyai pegawai yang terlatih mengenai amalan biosekuriti di semua negeri. Jabatan tersebut juga mendapatkan kepakaran dari Pertubuhan Dunia Mengenai Kesihatan Haiwan (OIE) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (FAO) untuk meningkatkan pengetahuan pegawai.

Program Kerjasama Teknikal (TCP) FAO yang telah diadakan pada tahun 2016 merupakan contoh usaha pengingkatan keupayaan dalam kalangan pegawai-pegawai jabatan.

Dari segi keupayaan dalam menjalankan analisis yang melibatkan program-program pemantauan bawah kesihatan awam dan kesihatan ikan.

Bahagian Biosekuriti Perikanan mempunyai fasiliti untuk menjalankan analisis yang melibatkan makmal-makmal biosekuriti perikanan di Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kuantan, Gelang Patah (Johor) dan Bintawa (Sarawak).

Kesemua makmal ini mempunyai sijil akreditasi ISO 17025 bagi 13 parameter analisis.

Jabatan Perikanan memperkenal 22 langkah ke arah amalan biosekuriti terdiri daripada amalan dan penyediaan kemudahan fizikal yang boleh dimuat turun daripada laman web Jabatan Perikanan .

Antara langkah-langkah ini adalah mendapatkan bekalan ikan dari ladang bebas penyakit dan menggunakan bekalan air terawat.

Langkah seterusnya adalah membuat rawatan sebelum pelepasan air ternakan, pelupusan ikan mati, makluman kejadian penyakit di ladang dan lain-lain.