Sebagai komoditi sayuran utama negara dan kebanyakan hasil dieksport ke Singapura, ternyata tanaman yang sangat sesuai ditanaman di kawasan berhawa sederhana ini mempunyai nilai komersialnya tersendiri.

Namun begitu, akibat daripada pengurangan kawasan penanaman seperti di Cameron Highland, ia telah memberi kesan terhadap pengeluaran kubis bulat dan menyebabkan negara terpaksa mengimport sayuran itu dari China serta Indonesia.

Justeru, bagi menjamin bekalan yang mencukupi, pelbagai usaha melalui pembangunan teknologi dan inovasi telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani

Menerusi agensinya, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), sekumpulan penyelidiknya telah berjaya menemukan benih hibrid kubis bulat yang boleh ditanaman di kawasan tanah rendah dan bercuaca panas.

Timbalan Pengarah (Pembaikbakaan), Pusat Penyelidikan Hortikulktur MARDI, Dr. Rozlaily Zainol berkata, kumpulan penyelidiknya telah menjalankan kajian seperti pemilihan varieti terbaik dan kesesuaian untuk ditanam sama ada di dalam struktur pelindung atau secara terbuka yang dapat memberikan hasil optimum.

“Bukan itu sahaja, kajian yang dijalankan turut melibatkan penyelidkan pengurusan nutrien serta pengurusan perosak dan penyakit.

“Penyelidikan nutrien untuk tanaman kubis tanah rendah telah dijalankan di beberapa lokasi seperti di kawasan tanah mineral dan tanah bermasalah gambut serta berpasir (bris),” katanya ketika ditemui di MARDI, Klang baru-baru ini.

Jelasnya, penyelidikan yang dijalankan adalah bertujuan untuk menentukan potensi tanaman kubis bulat di kawasan tanah rendah di pelbagai lokasi dengan keperluan nutrien yang secukupnya untuk mendapatkan pengeluaran yang optimum.

Tambahnya, penyelidikan tersebut telah menggunakan formulasi baja MARDI seperti baja organik iaitu Bio-Richar dan baja Organo-Mineral dengan kadar yang sesuai bagi pengeluaran hasil kubis yang produktif serta berkualiti.

“Baja Organo-Mineral adalah salah satu baja hijau yang diformulasi khas menggunakan bahan organik dan mineral, serta sesuai untuk penggunaan di tanah yang bermasalah seperti gambut dan berpasir selain dapat memberi hasil pengeluaran kubis yang memuaskan.

“Kadar keperluan nutrien dan kesesuaian masa aplikasi baja tanaman kubis juga merupakan komponen kajian utama di kawasan tanah yang bermasalah ini,” katanya.

Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa kekangan bagi penanaman kubis tanah rendah, antaranya ialah kebergantungan kepada bekalan biji benih yang diimport, pengurusan serangga perosak dan penyakit yang lebih kritikal.

Katanya, kos juga akan menjadi sedikit tinggi dari segi input dan tenaga kerja kerana tempoh tanaman akan menjadi lebih panjang iaitu selama tiga bulan jika hendak dibandingkan dengan sayuran berdaun yang lain.

“Kubis bulat juga tidak sesuai ditanam pada musim hujan terutama ketika pembentukan kepala kubis kerana risiko serangan serangga perosak dan penyakit menjadi lebih tinggi.

“Selain itu, terdapat juga masalah infrastruktur seperti kemudahan penyimpanan hasil bagi mengurangkan terjadinya masalah kehilangan lepas tuai,” ujarnya.

Justeru, bagi mengatasi masalah tersebut, kumpulan penyelidik ini juga giat mencari kaedah dan alternatif yang lebih sesuai terutama dari segi pengurusan serangga perosak bagi memastikan hasil yang memuaskan dapat diperoleh.

“Sebagaimana yang termaktub dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), kajian berskala besar bagi penanaman kubis bulat tanah rendah sedang giat dijalankan.

“Selain penanaman kubis bulat secara organik, pengurusan serangga perosak dan penyakit secara bersepadu menggunakan teknologi racun perosak berasaskan bio (biopesticide) serta pendekatan kejuruteraan bio iaitu penanaman tanaman regu turut dijalankan,” jelasnya.

Selain khasiat dan penggunaannya di dalam pelbagai jenis masakan, kubis bulat juga menjadi antara sayuran yang cukup popular dalam kalangan penduduk di negara ini dan sudah pasti sayuran istimewa ini mempunyai potensi yang cukup besar.

“Bukan itu sahaja, jika pengeluaran berterusan dan konsisten selain kerosakan daripada serangan perosak dan penyakit dapat diminimumkan, ditambah lagi harga yang terjamin dan setara dengan harga kubis bulat tanah tinggi, sayuran ini sememangnya mempunyai potensi yang cukup besar untuk ditanam di tanah rendah di Malaysia,” katanya.