Namun di sesetengah tempat, belangkas amat popular sebagai makanan dan sudah ada kajian mengenainya terutama bahagian darah belangkas yang mempunyai nilai perubatan.

Ketika ini ribuan belangkas ditangkap nelayan tempatan dan di sesetengah tempat ia dimasak dan telur yang berwarna kekuningan dimakan. Di Malaysia pula, belangkas betina lebih digemari kerana telurnya.

Belangkas dikenali sebagai haiwan fosil yang masih hidup.

Terdapat empat spesies belangkas di dunia itu Carcinoscorpus rotundicauda, Tachypleus gigas, Tachypleus tridetotus dan Limulus polyphemus. Tiga spesies terdapat di Asia. Carcinoscorpus rotundicauda boleh dijumpai di kawasan paya, manakala Tachypleus gigas di kawasan pinggiran pantai.

Kehadiran belangkas di Sedili Johor mula-mula ditemukan di Sungai Tong Seh (Tuan Seh) pada 1970. Belangkas banyak ditemukan di pesisir pantai Sedili Kecil.

Ketika itu, ia tidak dikomersialkan dan tiada nilai di pasaran kecuali individu yang makan belangkas harganya ketika itu 15 sen seekor.

Selain itu, kajian mengenai belangkas turut dijalankan iaitu darah belangkas digunakan sebagai endotoksin. Lisat amoebosit daripada darah belangkas dikenal pasti mampu mengesan kehadiran bakteria gram negatif dalam kuantiti yang sangat kecil.

Justeru, penghasilan produk sebegini akan membantu industri hiliran termasuk industri makanan dalam proses mengurangkan pencemaran bakteria sebelum dipasarkan.

Memandangkan belangkas mendapat permintaan tinggi di pasaran sama ada dalam industri makanan atau farmaseutikal menyebabkan populasinya kini menurun.

Berdasarkan kajian yang dijalankan sepanjang perairan perkampungan nelayan di Semenanjung Malaysia dan Sabah pada 2004 hingga 2006, populasinya mengalami penurunan dengan cepat.

Oleh itu, bagi memastikan populasi belangkas tidak pupus, pemeliharaan dan pemuliharaan belangkas secara mampan perlu dipertingkat.

Satu daripada usaha pemuliharaan dijalankan di Sedili Kecil Johor sejak lebih tiga dekad lepas.

Pusat ternakan dan penetasan belangkas mula itu dibina dan diusahakan oleh Ahmad Mustafa dan keluarganya pada tahun 1984. Pusat tersebut menerusi beberapa siri naik taraf menggunakan peruntukan individu, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sedili dan terbaharu menggunakan peruntukan yang disalurkan menerusi kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara beberapa jabatan dan agensi seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), PNK Sedili dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sedili.

Menurut anak Ahmad, Khairul Idham Ahmad, dia merupakan generasi ketiga yang menyambung projek ternakan tersebut berdasarkan pengalaman membantu keluarga.

“Kita buat pembenihan bermula 2006 dan selepas tujuh bulan akan lepaskan ke laut untuk kemudahan generasi akan datang khususnya bagi membantu golongan nelayan sebagai sumber rezeikinya,’’ ujarnya sambil memberitahu kemungkinan projek berkenaan tidak nampak hasilnya dalam jangka masa pendek.

Kharul Idham menyatakan demikian ketika ditemui pada majlis penutupan Hari Inovasi LKIM 2017 dan sambutan 46 tahun penubuhannya yang disempurnakan oleh ketua pengarahnya, Datuk M Saedon Ab. Majid. Yang turut hadir kedua-dua Timbalan Ketua Pengarah LKIM, Untong Keri dan N. Hashim Ab. Rahman.

Menurutnya lagi, keluasan kawasan kini setengah ekar dan pihaknya juga merancang untuk meluaskan projek berkenaan pada masa akan datang.

Ketika ini sumber belangkas adalah daripada nelayan diperoleh dari sekitar Johor Pahang dan Sabah, dengan harga RM3 hingga RM5 seekor. Hanya belangkas betina dipilih kerana telur terdapat di dalam badan belangkas betina.

Nilai tahunan jualan belangkas RM2,921,280 dengan belian sebanyak 25,777 setahun.

Projek belangkas jadi tumpuan

Pengurus Besar PNK Sedili, Kaismail Kadir berkata, projek tersebut kini menjadi tumpuan di Asia Tenggara.

Sebagai contoh delegasi dari Thailand dan Indonesia baru-baru ini melawat projek tersebut bagi mendapat tunjuk ajar mengenai aspek pembenihan.

“Justeru projek ini berjaya mendapat perhatian pelancong dan mereka ingin mendapat tunjuk ajar cara-cara menternak benih belangkas,” ujarnya.

Kerana tidak ramai rakyat negara ini yang makan belangkas, kebanyakannya dieksport ke Thailand memandangkan ia mendapat pasaran di negara berkenaan.

Namun katanya, bagi memastikan spesies berkenan terus terpelihara, sebahagian lagi belangkas dilepaskan ke laut selepas mencapai usia tujuh bulan, apatah lagi, ia lambat matang iaitu apabila mencapai usia 10 tahun dan ke atas.

“Selain itu, pengusaha-pengusaha terpaksa buat (projek belangkas ini) dengan kemampuan dan peruntukan sendiri, manakala benih diperoleh daripada nelayan,’’ ujarnya.

Kejayaan projek tersebut membawa kepada penganugerahan Pingat Emas Pelancongan Marin kepada PNK Sedili yang diterima daripada Majlis Pelancongan Malaysia (MTC).

Pingat tersebut disampaikan oleh Ketua Pengarah LKIM, Datuk M Saedon Ab Majid.

Selain anugerah tersebut, LKIM juga menyampaikan anugerah kepada kakitangannya yang terlibat dalam pelbagai pertandingan pada Hari Inovasi LKIM 2017 dan Sambutan 46 tahun agensi berkenaan.