Bagaimana bulan atau bintang tercipta? Persoalannya ini pastinya pernah bermain-main dalam pemikiran kita terutamanya ketika kecil,

Namun pada ketika itu kita tidak menemukan rahsianya sehingga mempelajari ilmu sains semasa di alam persekolahan.

Jadi, pastinya tidak mustahil jika ada dalam kalangan anak-anak kita menunjukkan minat untuk mengkaji rahsia kewujudan cakerawala tersebut sehingga memasang cita-cita untuk menjadi pakar astronomi pada satu hari nanti.

Peredaran masa dan kemajuan teknologi membuka lebih banyak peluang untuk orang ramai melihat sendiri keindahan langit yang terbentang luas serta mencungkil rahsia dan misteri di sebalik pelbagai fenomena yang berlaku.

Malah, dengan berbekalkan peralatan bertaraf antarabangsa menambahkan kepelbagaian teknik mempelajari ilmu itu selain lebih banyak maklumat berkaitan ilmu astronomi atau sains angkasa boleh didapati dengan mudah.

Namun, masih ramai ibu bapa atau guru tidak menyedari persekitaran pembelajaran yang kondusif merupakan salah satu keperluan dalam memastikan kecemerlangan pencapaian dalam semua bidang tersebut.

Ini kerana, ilmu berkaitan sains dan angkasa lepas tidak hanya boleh dipelajari di dalam bilik darjah sebaliknya pelajar perlu terdedah dengan suasana sebenar bagi memberi lebih pemahaman tentang astronomi.

Sebut sahaja bidang angkasa lepas, sudah pasti kamu terbayangkan Planetarium Negara yang dibuka sejak Februari 1994 menjadi lokasi terbaik untuk mendapat pendedahan berkaitan astronomi.

Menurut Ketua Unit Penyelidikan dan Pendidikan Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Mhd. Fairos Asillam, usaha memupuk minat pelajar sekolah mendalami bidang astronomi dianggap mustahil kerana istilah yang digunakan dalam subjek tersebut agak rumit untuk difahami.

Namun, bagi mengatasi masalah tersebut Planetarium Negara mengambil inisiatif menganjurkan program astronomi bagi meningkatkan pemahaman mereka sekali gus memupuk minat dalam subjek sains.

Justeru, pelbagai program telah dirangka oleh agensi tersebut yang membabitkan guru, pelajar dan sekolah bagi membuka lebaran baharu teknik mempelajari ilmu sains melalui cara lebih santai dan menggunakan teknologi sedia ada.

Melalui cara atau pendedahan tersebut, pelajar akan lebih memahami tentang ilmu sains kerana mereka bukan sahaja mempelajarinya secara teori malah boleh merasai sendiri pengalaman seperti ketika di angkasa lepas.

Bahkan, mereka juga turut didedahkan kepada fasiliti yang kebiasaannya digunakan oleh ahli astronomi. Secara tidak langsung, mereka akan memahami manfaat bidang ini dalam kehidupan seharian.

Di Planetarium Negara, sebanyak enam pertunjukan berkaitan angkasa lepas ditawarkan kepada pengunjung. Menerusi segmen tersebut, pelajar bukan lagi setakat membayangkan suasana di ruang angkasa yang terbentang luas itu malah merasai sendiri seperti seolah-olah berada di ruang tersebut.

“Kami juga ada menyediakan pameran fotografi berdasarkan alam semester yang akan sentiasa bertukar mengikut tema.

“Pameran yang mendapat sambutan daripada jurugambar profesional dan amatur itu juga menarik minat orang ramai mahupun golongan profesional itu untuk turut sama mendalami rahsia sains,” katanya.

Dalam pada itu, Mhd. Fairos memberitahu, Angkasa turut menghasilkan modul pendidikan dengan kerjasama institusi perguruan bagi menyebarluaskan ilmu astronomi supaya dapat melahirkan generasi celik astronomi.

Namun, kekangan tetap wujud apabila universiti atau kolej swasta tidak menawarkan bidang khusus khas bidang astronomi bagi yang berminat menceburi bidang itu. Pun begitu, tiada apa yang mustahil bagi mereka menceburi bidang tersebut.

Menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk guru sekolah rendah memainkan peranan penting untuk memupuk minat murid dalam subjek sains sekali gus mendorong mereka memilih aliran berkenaan apabila berada di sekolah menengah.

Ibu bapa dan pelajar juga perlu sedar bahawa aliran sains sebenarnya membuka peluang pekerjaan yang luas kepada pelajar, bukan sekadar menjadi ahli astronomi semata-mata.

Guru dan sekolah perlu memberi lebih banyak penekanan kepada pengajaran sains. Sekiranya minat dipupuk sejak kecil lagi, maka mereka dengan sendirinya akan memilih aliran itu apabila berada di sekolah menengah.

Realitinya, Malaysia memerlukan pelajar sains yang lebih ramai untuk mencapai Wawasan 2020. Usaha untuk menambah pelajar mengikuti aliran ini telah dimulakan sejak dahulu lagi dan Angkasa sentiasa menambah baik kaedah dan alat pengajaran untuk subjek tersebut.

Menyedari hakikat itu juga, berlandaskan sistem pembelajaran moden dan terkini, Angkasa mengorak langkah mewujudkan Portal Pendidikan Sains Angkasa, www.astronomi.angkasa.gov.my yang disediakan dalam bahasa Melayu sepenuhnya.

Portal itu merupakan salah satu medium untuk menyebarkan maklumat berkaitan perkembangan bidang sains angkasa di Malaysia yang bersesuaian untuk semua peringkat umur.