Banyak aktiviti manusia yang menyumbang pemanasan global antaranya produk pakai buang yang semakin popular di seluruh dunia.

Produk pakai buang biasanya dihasilkan daripada bahan kimia yang didapati daripada bahan api fosil yang merupakan salah satu penyumbang kemusnahan alam sekitar.

Bahan berkenaan biasanya diperbuat daripada bahan bukan biodegradasi (boleh urai) dan tidak boleh mereput.

Ini akan memusnahkan ekosistem melalui beberapa aspek termasuk pembebasan gas CO2 semasa proses penguraian.

Justeru sebuah syarikat tempatan, Return 2 Green Sdn. Bhd. menjalankan kajian menggunakan sisa pertanian bagi menghasilkan bahan pakai buang terutamanya bagi tujuan pembungkusan makanan.

Segalanya bermula apabila pengasasnya, Ramaness Parasuraman telah menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi membangunkan formula biomas menggunakan bioteknologi.

Naib Presiden Kanan Return 2 Earth, Mohd. Fozae Samad berkata, sehingga kini pihaknya telah berjaya mencipta beberapa bahan pakai buang menggunakan proses enzimatik.

Bagi menjadikan Bumi selamat, Return 2 Earth telah menghasilkan produk pembungkusan 100 peratus biodegradasi dan mudah mereput.

"Pada peringkat permulaan, kami berjaya menggunakan hampas tebu dan pada masa akan datang kami bercadang menggunakan hampas padi, batang ubi kayu serta sisa pertanian lain," katanya ketika ditemui semasa pameran BioMalaysia 2009 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tidak seperti beg plastik yang digunakan sekarang, ekoplastik bioteknologi akan mereput dalam masa 45 hingga 180 hari.

"Dan selepas itu bahan ini akan menjadi baja organik yang akan membantu menyuburkan tanah.

"Bahan yang dibuang tadi akan mereput dan membebaskan karbon dioksida, metana, air dan bahan bukan organik yang bertindakbalas dengan mikroorganisma menggunakan enzim," katanya.

Ujian yang dilakukan mendapati dalam masa 180 hari, produk pakai buang organik akan mereput secara biologi menjadi baja organik sehingga kurang daripada dua mikron.

Bagi ujian toksiksiti (keracunan) produk akan berubah menjadi CO2 dan air dalam masa 180 hari.

Mementingkan kualiti, kilang Return 2 Nature yang terletak di Pulau Pinang menepati Sistem Kualiti Antarabangsa bagi memastikan proses dan produk yang dihasilkan terbaik di dunia.

Ini termasuk mendapat FDA, HACCP, CODEX Alimentarius, piawaian ISO 9001, ISO 14001, OHSA 18001, LCA dan GMP.