Oleh itu, usaha di pelbagai peringkat seperti badan antarabangsa, kerajaan, pembuat dasar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), korporat dan sektor awam perlu bertindak bersama-sama untuk memelihara dan memulihara hutan sebelum terlambat.

Sejak awal 1990-an, beberapa inisiatif antarabangsa telah diambil bagi memastikan hutan hujan tropika terpelihara dan menyedarkan orang ramai mengenai nilai-nilai alam semula jadi.

Sebagai sebuah badan tidak berkepentingan, berasaskan sains dan bukan organisasi politik, Yayasan Pulau Banding (PBF) telah ditubuhkan pada 2007 dengan matlamat untuk membangunkan ekosistem hutan hujan Belum di Malaysia.

PBF juga turut menjalankan pelbagai penyelidikan bagi mengumpul dana untuk membiayai program penyelidikan serta kajian berkaitan kepelbagaian aspek ekosistem hutan hujan tropika dengan memberi penekanan khusus pada Kompleks Hutan Royal Belum-Temengor.

Terbaharu, PBF dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Kerajaan Negeri Perak, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Majlis Perkayuan Malaysia (MTC), Persatuan Pencinta Alam Sekitar (MNS) dan Konservasi Belum Malaysia akan mengadakan Persidangan Antarabangsa Konservasi dan Kestabilan Hutan Hujan Tropika (BrainS2016).

Ketua Pegawai Eksekutif PBF, Datuk Dr. Abdul Rashid Ab. Malik berkata, persidangan tersebut mendapat sokongan daripada Kesatuan Antarabangsa Pertubuhan Penyelidikan Hutan (IUFRO) di Vienna, Austria.

“Persidangan ini merupakan satu platform buat pihak yang berkepentingan atau negara-negara yang mempunyai hutan hujan tropika di dunia termasuk Brazil dan negara-negara di benua Afrika untuk berkongsi serta bertukar pendapat mengenai isu hutan hujan tropika,’’ katanya ketika ditemui di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Katanya, objektif persidangan itu juga adalah untuk mempamerkan pengalaman PBF sendiri dalam pengurusan biodiversiti hutan tropika selain mengenengahkan hutan hujan tropika sebagai sebuah destinasi pelancongan alam sekitar.

“Kita juga mahu menggalakkan penyelidik dan pihak berkepentingan dalam negara Hutan Hujan Tropika di dunia untuk berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik mereka berkaitan perhutanan.

“Dalam masa yang sama, kita juga mahu membangunkan rangkaian jangka masa panjang terutama dari segi perkongsian pengalaman di antara negara hutan hujan tropika,” katanya.

Pihaknya turut bercadang mewujudkan satu pelan polisi pengurusan hutan bagi menyokong Deklarasi Perubahan Iklim Rio 1992.

Kata Abdul Rashid, kira-kira 200 peserta dijangka menghadiri persidangan itu dan kira-kira 50 peratus daripada mereka berasal dari kawasan tropika.

“Kumpulan penyelidik ini juga akan mendedahkan kepada masyarakat dengan pelbagai kajian dalam menjaga hutan semula jadi demi generasi akan datang.

“Justeru, diharapkan persidangan ini dapat menjadi titik permulaan yang dapat menekankan pembangunan lestari dalam hutan selain memberi pendedahan mengenai kepentingan hutan menerusi pendidikan, pemulihan, pemuliharaan dan kajian,” ujarnya.