Wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, NOOR INTAN SUHANA CHE OMAR dan LAUPA JUNUS berkongsi pandangan pihak berkuasa yang mengurus sampah di negara ini.

DR. MOHD. PAUZE MOHAMAD TAHA
DR. MOHD. PAUZE MOHAMAD TAHA 

Malaysia sebagai negara sedang membangun tidak dapat mengelak daripada berdepan masalah peningkatan janaan sisa pepejal antaranya disebabkan oleh pertambahan penduduk.

Isu itu sekiranya tidak ditangani secara baik boleh menjejaskan imej Malaysia di mata dunia.

Walaupun sejak 1 September 2015 kerajaan mewajibkan pengasingan sisa pepejal isi rumah secara berperingkat, namun dapat diperhatikan rakyat Malaysia masih belum menghayati, menghargai dan bertanggungjawab terhadap amalan ini. Sampah masih dibuang merata-rata selain amalan 3R iaitu kurangkan, kitar semula dan guna semula tidak dilakukan dalam kehidupan harian.

Pelaksanaan amalan ini di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah.

Pun begitu, orang ramai dilihat masih membuang sampah tidak mengikut warna tong yang disediakan.

Justeru, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) ditubuhkan sebagai pelengkap bagi menjayakan Dasar Pengurusan Sisa Pepejal Negara.

Secara amnya, dasar ini bertujuan mewujudkan sistem pengurusan sisa pepejal yang menyeluruh, bersepadu, kos efektif dan lestari seperti dikehendaki oleh masyarakat yang mementingkan pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan awam.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) SWCorp, Dr. Mohd. Pauze Mohamad Taha berkata, sikap rakyat Malaysia yang tidak cakna dan kurang penghayatan sivik menjadi punca utama penduduk masih gagal membuang sampah dengan betul ke fasiliti yang disediakan.

Katanya, sisa pepejal bermaksud apa-apa bahan sekerap atau benda lebihan lain yang tidak dikehendaki atau keluaran yang ditolak daripada penggunaan apa-apa proses atau benda yang dikehendaki dilupuskan kerana pecah, lusuh, tercemar atau rosak.

“Ia termasuk apa-apa bahan lain yang mengikut akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang dikehendaki pihak berkuasa supaya dilupuskan. Tetapi ini tidak termasuk buangan terjadual seperti dinyatakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), kumbahan seperti yang ditakrifkan dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) atau sisa radioaktif seperti ditakrifkan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (AKta 304),” katanya.

Tambah Mohd. Pauze, janaan sisa pepejal isi rumah bagi 2017 dan serupa dengannya dianggarkan 37,500 tan sehari bersamaan 13.6 juta tan setahun.

Jumlah tersebut adalah 1.3 peratus lebih tinggi berbanding anggaran janaan sisa pepejal negara pada 2016 iaitu sebanyak 37,000 tan sehari.

“Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan pada 14 Julai 2017, populasi Malaysia adalah 32 juta orang dengan janaan sisa bagi setiap penduduk 1.17 kilogram (kg) sehari,” ujarnya.

Jelas berdasarkan jumlah tersebut, mentaliti rakyat perlu berubah ke arah amalan pengurusan sisa pepejal secara mapan sekali gus penerapan amalan Reuse Recycle dan Reduce (3R) menjadi penyelesaian terbaik dan lebih efektif. Katanya lagi, terdapat enam proses pengurusan sisa pepejal iaitu penjanaan, penstoran, pengangkutan, kutipan, perawatan dan pelupusan.

Peringkat janaan adalah kali pertama sisa pepejal dihasilkan seperti di rumah, industri dan pusat komersial.

Berdasarkan Laporan Survey on Solid Waste Composition, Characteristic and Existing Practice of Solid Waste Recycling in Malaysia pada 2013, kadar janaan sisa pepejal bagi penduduk di Semenanjung adalah 1.23 kg seorang sehari manakala bagi keseluruhan Malaysia 1.17 perkapita sehari.

“Di peringkat proses penstoran pula, sisa yang telah dijana itu disimpan untuk tempoh masa tertentu sebelum dikutip. Contoh kemudahan bagi menyimpan sisa yang dijana adalah seperti rumah sampah dan Mobile Garbage Bin (MGB).

“Di peringkat kutipan pula, sisa pepejal akan dikutip oleh pekerja untuk diletakkan ke dalam kenderaan kutipan seperti lori kompaktor,” ujarnya.

Tambahnya, peringkat pengangkutan adalah ketika kenderaan kutipan sisa pepejal yang bersesuaian digunakan untuk mengangkut sisa pepejal ke lokasi perawatan atau tapak pelupusan menggunakan lori kompaktor, open tipper dan arm roll.

Kemudian sisa pepejal itu akan melalui proses perawatan. Sisa pepejal yang boleh dirawat akan dikumpulkan bagi tujuan digunakan dan dikitar semula atau pemerolehan semula sumber seperti tenaga elektrik, biogas, bahan api pepejal dan lain-lain.

Contoh teknologi perawatan sisa pepejal sedia ada di Malaysia seperti Material Recovery Facility (MRF) untuk tujuan pengasingan sisa boleh dikitar semula, mesin pengkomposan dan anaerbic digester (AD) untuk merawat sisa makanan serta insinerator.

“Peringkat terakhir pula adalah alternatif bagi melupuskan sisa pepejal yang tidak dapat dirawat,” ujarnya lagi.

Justeru kata Mohd. Pauze, rakyat perlu memainkan peranan bagi memastikan usaha membuang stigma bahawa Malaysia dipenuhi dengan sampah dapat dilakukan.

“Kami akan terus menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan saya percaya imej Malaysia akan kekal baik jika semua pihak memainkan peranan.

``Kami amat menggalakkan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk dalam menyebarkan kesedaran penjagaan kebersihan dan amalan 3R.

“Selain itu, kerajaan juga menjalankan program pendidikan dan promosi bersifat tahunan kepada masyarakat dan program pendidikan sepanjang hayat yang bersifat community-driven,” katanya lagi.