Merancang

Merancang dalam kerja-kerja penyelenggaraan landskap bermaksud mengenal pasti dan mengatur langkah-langkah yang perlu dilaksanakan dalam kerja-kerja penyelenggaraan. Ini termasuklah mengenal pasti jumlah tenaga pekerja serta jumlah pengagihan tugas untuk setiap kakitangan yang terlibat. Perancangan juga bermaksud melihat kawasan penyelenggaraan secara keseluruhan.

Sekiranya kawasan yang perlu diselenggara agak luas, maka pengecilan kawasan dengan membahagikannya kepada beberapa zon yang lebih kecil akan membantu kerja-kerja penyelenggaraan menjadi lebih fokus dan sistematik. Dalam keadaan yang tertentu, perancangan akan melibatkan penentuan hierarki sesebuah zon atau kawasan yang diselenggara sama ada bersifat utama, kurang utama dan sebagainya.

Merancang kerja-kerja penyelenggaraan turut melibatkan pengumpulan maklumat mengenai penambahbaikan dan pembangunan pada masa akan datang. Maklumat dan cadangan pembangunan akan mengubah strategi guna tenaga dan guna ruang bagi satu-satu kawasan yang telah ditentukan.

Perancangan turut membabitkan pemilihan spesies tanaman. Penanaman satu-satu pokok pula perlu mengambil kira ruang yang diperlukan untuk pokok itu membesar. Sekiranya saiz pokok yang ditanam perlu dihadkan sama ada dari segi kelebaran silara dan ketinggian pokok, maka persediaan ruang kerja bagi mengurus pokok berkenaan perlu diambil kira. Mana-mana pokok yang ditanam mestilah berada dalam keadaan sihat, selamat untuk pengguna serta menarik untuk dilihat.

 

Merekod

Perancangan juga merangkumi penyediaan jadual-jadual aktiviti sama ada untuk jangka masa pendek atau panjang. Perancangan yang baik akan lebih sempurna sekiranya direkod.

Merekod aktiviti penyelenggaraan akan memudahkan kita mengetahui jumlah penggunaan tenaga kerja, jumlah dan jenis peralatan yang diperlukan termasuk juga kos operasi yang bakal terlibat. Ada keadaannya dengan kekangan dari segi jumlah tenaga kerja, kemahiran, pengalaman, keperluan peralatan dan jentera menyebabkan sebahagian daripada tugasan menyelenggara pokok ini perlu menggunakan khidmat pihak perunding atau pihak-pihak yang menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan pokok.

Bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan pokok dilaksanakan mengikut amalan arborikultur maka penglibatan arboris kini menjadi satu keperluan. Arborikultur merupakan bidang khusus dalam penjagaan, pengurusan pokok terutama dalam kawasan bandar.

Bahkan penglibatan ini sebaiknya berlaku pada peringkat perancangan lagi bagi membantu memberikan input yang diperlukan terutama yang berkaitan dengan pengurusan pokok pada peringkat awal pembangunan satu-satu kawasan.

Merekod tidaklah terhad kepada agihan dan penggunaan tenaga kerja sahaja, ia sebaiknya turut membabitkan kerja-kerja inventori bagi mengetahui status kesuburan dan kesihatan pokok, potensi risiko yang boleh berlaku berdasarkan status integriti strukturnya.

Selain itu, jumlah pokok yang ditebang serta punca atau pun sebab ia ditebang ada baiknya direkod bagi memudahkan analisis dan melihat corak sebab dan keperluan penebangan dari semasa ke semasa.

Cabaran mempunyai rekod inventori untuk keseluruhan kawasan seliaan sememangnya merupakan cabaran yang besar. Kekangan kakitangan yang terhad serta keperluan terhadap tugas-tugas lain juga akan menyebabkan proses mengumpul maklumat ini akan memakan sedikit masa.

Namun secara berperingkat-peringkat dan menggunakan sistem yang teratur, rekod mengenai pokok yang diselenggara boleh terkumpul dan tersedia dengan baik untuk pelbagai kegunaan untuk masa hadapan. Jenis -jenis kerja penyelenggaraan pokok yang bakal ditawarkan serta bilangan pokok yang terbabit kebiasaannya diambil kira daripada rekod inventori yang diperoleh. Rekod yang terkumpul perlu disimpan dan dikawal selia oleh mereka yang dedikasi, terlatih dan pada masa yang sama rekod ini perlu mudah pula untuk dirujuk.

Memeriksa

Antara perkara yang paling perlu bagi memastikan kejayaan penanaman adalah melakukan pemeriksaan berulang terhadap pokok yang telah ditanam.

Hampiri pokok yang baru ditanam dan perhatikan keadaan mereka. Perhatikan juga persekitaran. Perhatikan keadaan daun yang segah atau layu yang memberikan petunjuk kemungkinan pokok berkenaan mengalami kekurangan air atau mungkin ditenggelami air berharian! Periksa ikatan yang ada pada pokok, periksa juga balutan pada badan atau pun batang pokok.

Perhatikan tahap kesuburan dan perkembangan pertumbuhannya dari semasa ke semasa. Pokok juga perlu diperiksa akan intergriti atau pun kekuatan strukturnya. Perincian mengenai pemeriksaan dan pemerhatian ini bakal dikongsi melalui langkah-langkah penyelenggaraan berikutnya pada siri-siri akan datang.