Tanggungjawab kerajaan dalam konservasi tersebut dizahirkan melalui Dasar Kepelbagaian Biodiversiti Negara selaras dengan komitmen negara pada peringkat antarabangsa menerusi Convention on Biological Diversity (CBD), Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perdagangan Spesies Liar Flora dan Fauna Terancam (CITES) dan Kesatuan Antarabangsa Mengenai Pemuliharaan Alam Semula jadi (IUCN).

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Dr. Abdul Kadir Abu Hashim berkata, bagi tujuan itu, beberapa pelan jangka panjang dan tindakan dilaksanakan oleh kerajaan untuk mencapai misi tersebut.

Antaranya kata beliau, adalah memperkukuh perundangan berkaitan konservasi atau pemuliharaan hidupan liar melalui Penguatkuasaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam Flora dan Fauna 2008.

“Ini bagi memastikan semua hidupan yang terancam dan dilindungi daripada dieksploitasi secara tidak terkawal dan mencegah daripada penyeludupan,” ujarnya.

Langkah lain adalah berusaha mempertingkat perlindungan habitat dan spesies secara berterusan melalui perundangan yang ketat bagi menghalang perburuan dan pencerobohan.

Katanya lagi, pelbagai pendekatan pelaksanaan akta seperti menjalankan aktiviti rondaan, operasi jerat, risikan, pemeriksaan di premis dan kawalan di pintu masuk utama negara.

“Jabatan (Perhilitan) juga memperkasa aktiviti penguatkuasaan dengan menubuhkan Unit Jenayah Hiodupan Liar (WCU) di ibu pejabat dan negeri, di samping unit-unit penguatkuasaan sedia ada,” katanya.

Menurut Abdul Kadir lagi, pihaknya juga menggunakan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) iaitu bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan operasi Rangkaian Operasi Penguatkuasaan Biodiversiti 1Malaysia (1MBEON).

Program rondaan bersama antara agensi dijalankan untuk melindungi habitat asal hidupan liar tersebut.

Dalam aspek mempergiat kajian penilaian status populasi terkini, Abdul Kadir berkata, data daripada kajian berkaitan hidupan liar dan habitatnya juga dapat dikongsi melalui platform kerjasama.

Katanya, pelbagai pihak dari universiti dan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam kerja-kerja pengumpulan data ini dapat berkongsi maklumat terkini.

“Ini penting untuk membantu agensi pelaksana seperti Jabatan Perhilitan untuk mengurus hidupan liar dan habitatnya dengan berkesan.

“Ini juga dapat menjadi asas untuk pembentukan dasar dan pembuat keputusan kerajaan ke arah pengurusan lestari sumber biodiversiti negara,” jelasnya.

Buku mengenai mamalia dilancar 

Bagi membantu mengurus spesies terancam, Perhilitan menyediakan dua pelan pengurusan hidupan liar bagi spesies tersebut.

Pelan pertama adalah Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan (NECAP) iaitu bagi tempoh antara 2013 hingga 2022.

NECAP diwujudkan bagi menangani ancaman terhadap gajah iaitu fragmentasi hutan, penurunan kualiti dan atau kehilangan habitat, pemburuan haram dan pembunuhan gajah oleh orang awam apabila berlakunya konflik dengan manusia, serta masalah genetik dan demografi disebabkan saiz populasi yang kecil.

Sasaran utama NECAP adalah mewujudkan keseimbangan antara kelestarian populasi gajah dan aktiviti pembangunan semasa di Semenanjung Malaysia.

Pelan kedua adalah Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (PTPHK) bagi menjamin masa depan harimau Malaya dan habitatnya di Semenanjung Malaysia.

Dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) sejumlah RM18.7 juta diperuntuk bagi menjalankan Survei (Bancian) Harimau Kebangsaan Pertama di seluruh hutan utama iaitu Central Forest Spine (CFS), untuk mendapatkan populasi harimau Malaya secara saintifik dan lebih tepat.

Bancian tersebut dijalankan dengan kerjasama antara Perhilitan serta pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan.

Pelaksanaan PTPHK terbahagi kepada empat objektif iaitu:

1.Meningkatkan perlindungan habitat harimau Malaya

2.Memberikan perlindungan jangka panjang kepada populasi harimau Malaya dan mangsanya

3.Mengurangkan konflik antara manusia dan harimau Malaya

4.Menjalankan kajian populasi dan ekologi harimau Malaya

Usaha Perhilitan dalam hal pengurusan spesies terancam juga diperkukuh dengan pelancaran buku Red List of Mammals for Peninsular Malaysia Ver. 2.0 pada 21 November lalu.

Pelancaran tersebut diadakan sempena Seminar Biodiversiti 2017 anjuran Perhilitan dan disokong oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP).

Menurut Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, senarai Red List of Mammals for Peninsular Malaysia yang mengandungi status konservasi spesies mamalia di Semenanjung Malaysia dikeluarkan pada tahun 2010 dan dinilai semula mulai tahun 2016.

“Inisiatitif ini adalah menerusi usaha Perhilitan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuklah antaranya pakar dari universiti, penyelidik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),’’ ujarnya.

Beliau berkata, penilaian status pemuliharaan mamalia tersebut dijalankan berdasarkan standard antarabangsa iaitu Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Alam Semula jadi (IUCN) dengan pelbagai kriteria digunakan untuk menilai status konservasi flora dan fauna termasuk ancaman seperti pengurangan habitat dan tahap eksploitasi serta faktor-faktor lain seperti saiz populasi dan taburan.

Proses tersebut katanya menggunakan data sedia ada yang diperoleh menerusi inventori, survei dan kajian oleh Perhilitan, universiti dan NGO untuk menilai dan meramalkan pola perkembangan populasi serta taburan spesies pada masa akan datang.

Satu lagi langkah adalah mewujudkan rangkaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) menerusi pelan induk Central Forest Spine (CFS) yang dinyatakan dalam Dasar Rancangan Fizikal Negara ke-19.

CFS ialah usaha sama antara Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) dengan pelbagai agensi kerajaan yang bertujuan untuk mewujudkan kesinambungan habitat biodiversiti negara termasuk hidupan liar.

Satu lagi pendekatan jangka panjang yang boleh membantu program pemuliharaan adalah menjalankan program kesedaran awam secara berterusan.

Langkah tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dan mendapatkan sokongan orang ramai terhadap konservasi biodiversiti terutama hidupan liar.

Beliau berkata, pelbagai program dijalankan seperti program pendidikan biodiversiti, pameran, ceramah dan program bersama masyarakat setempat. Kumpulan sasaran bagi program ini adalah pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi dan orang awam.

“Kesedaran belum mencapai tahap memuaskan,” ujarnya.