Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Perak lindungi harimau

GAMBAR fail menunjukkan ketua Pusat Konservasi Harimau, Ahmad Azhar Mohammed memberi makanan kepada 5
GAMBAR fail menunjukkan ketua Pusat Konservasi Harimau, Ahmad Azhar Mohammed memberi makanan kepada seekor harimau di Sungkai, Perak.

Perak menyasarkan status sifar perburuan haram terhadap Harimau Malaya menjelang 2020. Hasrat itu amatlah baik sekali dalam keadaan kesedaran dan keprihatinan rakyat Malaysia tentang perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar negara termasuk harimau.

Ancaman terbesar dan paling mendesak untuk spesies itu adalah perburuan dan perdagangan hidupan liar secara haram yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kompleks Hutan Belum-Temenggor adalah kawasan penting untuk program pemuliharaan Harimau Malaya di habitat semula jadi di Perak.

Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) adalah subspesies yang mendiami hutan selatan dan tengah Semenanjung Malaysia yang dikelaskan sebagai amat terancam oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN) pada tahun 2015 dengan anggaran populasi pada tahun 2013 sebanyak antara 250 hingga 340 ekor sahaja.

Pada tahun 1968, Harimau Malaya dikenal sebagai Panthera tigris corbetti manakala pada tahun 2004 dikenali sebagai subspesies baharu Panthera tigris jacksoni apabila analisis genetik mendapati jujukan mitokondria asid deoksiribonukleik (DNA) dan satelit mikro berbeza daripada harimau di utara Indochina. walaupun tiada perbezaan dari segi morfologi mereka.

Pada tahun ini harimau di tanah besar Asia dimasukkan dalam kumpulan Panthera tigris tigris. Panthera tigris corbetti dan Panthera tigris jacksoni berbeza mungkin kerana hutan yang tidak bersambung di selatan Segenting Kra Thailand dengan Semenanjung Malaysia dalam tempoh yang lama. Pakar IUCN masih mengkaji tentang status ini.

Dalam pada itu, Kompleks Hutan Belum-Temenggor adalah antara hutan penting untuk program pemuliharaan Harimau Malaya dan merupakan hutan yang paling luas di Semenanjung Malaysia.

Hutan yang berusia 130 juta tahun ini lebih tua berbanding hutan Amazon di Amerika Selatan dan Congo di Afrika, bersempadan dengan Thailand dan berkeluasan 320,000 hektar (ha). Kawasan tersebut terdiri daripada kawasan hutan diptrokarp tanah rendah dan berbukit yang merangkumi Taman Negeri Royal Belum, Temenggor, Banding dan Hutan Simpan Gerik.

Kawasan hutan Tasik Temenggor dan Hutan Simpan Aman Jaya ini dikelaskan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) kelas 1 di bawah Rancangan Fizikal Negara (RFN) dan juga diiktiraf oleh Birdlife International sebagai Important Bird Area (IBA).

Hutan tersebut merupakan kawasan tadahan air penting dan sebahagian daripada Central Forest Spine (CFS). Kewujudan CFS adalah bagi menangani fragmentasi hutan yang dikenal pasti sebagai satu daripada ancaman kepada pemuliharaan khazanah biodiversiti negara dan menyumbang kepada peningkatan konflik antara manusia dan hidupan liar.

Cadangan CFS diharapkan dapat menyambung Kompleks Hutan Belum-Temengor di utara dengan Taman Negara di tengah dan Kompleks Endau Rompin di selatan. Koridor tersebut membolehkan harimau bergerak lebih jauh dalam hutan berkenaan dan mengurangkan konflik dengan manusia serta mengekalkan biodiversiti negara. Sekiranya terdapat pembinaan jalan raya merentasi hutan ini maka laluan khas hidupanliar melintas perlu disediakan.

Usaha meningkatkan aktiviti Pemuliharaan Harimau Malaya di Kompleks Hutan Belum-Temenggor adalah suatu yang terbaik kerana hutan ini sangat penting dalam program pemuliharaan hidupan liar secara amnya dan menjadikan sumber utama dalam eko pelancongan negara. Hutan hujan tropika Royal Belum yang berumur 130 juta tahun ini menyediakan habitat semula jadi yang sangat sesuai untuk Harimau Malaya.

Komitmen kerajaan negeri amat penting kerana penyediaan dan perlindungan habitat adalah faktor utama bagi pemuliharaan. Usaha melindungi kompleks hutan tropika Belum-Temenggor ini sudah lama dibincangkan.

Sebagai contoh pada tahun 2009, Raja Dr. Nazrin Shah yang merupakan Raja Muda Perak ketika itu bertitah tentang kekurangan kewangan, kelonggaran undang-undang dan penguatkuasaan sambil lewa adalah punca utama hutan diceroboh termasuk perburuan haram dan pembalakan haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Baginda juga mencadangkan supaya penglibatan Orang Asli yang merupakan sebahagian komponen penting dalam persekitaran Belum-Temenggor dan bergantung kepada hutan boleh dilibatkan secara langsung dalam perlindungan dan pemuliharaan Harimau Malaya.

Orang Asli sepatutnya lebih fokus dalam peranan yang positif dan bukannya peranan buruk iaitu terlibat sama dalam pemburuan haram seperti yang dititah oleh sultan.

Program penguatkuasaan bersepadu dan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) telah menambah baik program juga menurunkan kes-kes kesalahan berasaskan hutan.

NBOS melibatkan agensi seperti Pejabat Daerah dan Tanah Gerik, Perbadanan Taman Negeri Perak, polis, tentera dan Jabatan Sukarelawan Malaysia, Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Agensi Remote Sensing Malaysia dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Mangsa buruan

Permintaan bahagian daripada harimau seperti daging, kulit, tulang dan tonik makin meningkat. Bahagian harimau daripada 1,425 ekor telah dirampas antara 2000-2013. Analisis menunjukkan Malaysia menyumbang sebanyak 94 ekor menjadikan perburuan haram, penyeludupan dan perdagangan harimau mengancam pemuliharaan harimau.

Tiga kawasan utama dalam Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) 2008 iaitu Hutan Belum, Taman Negara dan Endau Rompin adalah tidak selamat daripada perburuan haram.

Pengurangan populasi juga tidak dapat dikembalikan sekiranya makanan mereka seperti rusa sambar dan babi hutan terancam. Kajian juga menunjukkan populasi harimau kurang daripada 0.60 dewasa bagi setiap 100 km persegi.

Pertukaran hutan kepada kawasan pertanian, pembalakan dan perumahan adalah tekanan utama kepada kehilangan habitat harimau. Kes harimau menyerang haiwan peliharaan kerana manusia tinggal rapat dengan hutan habitat harimau adalah antara cabaran yang besar. Hampir 90 peratus habitat yang sesuai untuk harimau berada di Pahang, Perak, Kelantan dan Terengganu. Negeri-negeri kecil lain seperti Perlis, Melaka dan Wilayah Persekutuan tiada lagi habitat untuk harimau.

Menurut Dana Sedunia Alam Semula Jadi (WWF) Malaysia, komitmen bersama perlu diwujudkan bagi menambah jumlah haiwan tersebut sebanyak sekali ganda menjelang 2022. Pengurangan harimau berterusan melalui perburuan haram, konflik dengan manusia dan kemalangan jalan raya perlu diatasi segera.

Sumbangan pihak swasta juga diperlukan dalam pemuliharaan harimau.

Kerjasama antara WWF Malaysia dan Yayasan Maybank yang dilancarkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 21 Mac tahun lalu bolehlah dicontohi. Banyak lagi agensi perladangan, misalnya yang bersempadan dengan hutan berkaitan boleh menyumbang sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka terutama dari segi pemantauan populasi harimau dan konflik dengan manusia.

Komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam pemuliharaan hidupan liar sangat tinggi dan bukan sahaja terhad kepada Harimau Malaya di Hutan Belum-Temenggor.

Pengurusan hutan simpan bakau di Matang, Pusat Pengurusan Penyu Segari di Lumut dan Pusat Ternakan Tuntung Bota Kanan, Pusat Konservasi Hidupan Liar di Sungkai menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri Perak dalam perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar untuk generasi akan datang.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain