Meskipun spesies penyu sangat terancam, penyelidikan konservasi di negara ini telah berkembang dengan baik dan banyak penyelidikan dijalankan beberapa pihak antaranya Unit Penyelidikan Penyu Laut (Seatru) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Jabatan Perikanan.

Seatru misalnya antara pihak menjadikan penyelidikan penyu sebagai teras aktiviti dan untuk tujuan itu, UMT mempunyai stesen penyelidikan di Chagar Hutang, Pulau Redang, Terengganu. Penyelidikan dan konservasi mengenainya diadakan sejak tahun 1993 lagi.

Menurut bekas ketua unitnya Dr. Juanita Joseph, Seatru memulakan usaha penyelidikan penyu di Stesen Chagar Hutang pada 1993.

“Usaha konservasi penyu di UMT sebenarnya bermula pada 1984, ketika itu dikenali sebagai UPM cawangan Terengganu.

“Penyelidikan tersebut melibatkan penyu belimbing kerana populasinya di Rantau Abang menurun dengan drastik walaupun kerajaan Terengganu telah membuat projek pemuliharaan penyu belimbing sejak tahun 1960-an lagi,” ujarnya.

Menurut beliau, penyelidikan penyu tersebut yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara.

“Ini kerana berdasarkan sejarah, pemuliharaan penyu di Malaysia bermula pada tahun 1950-an di Sarawak, tapi ini hanya projek untuk mengeram dan melindungi penyu tanpa sebarang aktiviti penyelidikan dijalankan,’’ ujarnya.

Katanya, menerusi penyelidikan itu, UMT mendapati semua telur penyu belimbing yang dieram di pusat penetasan menghasilkan 100 peratus betina. Satu pusat penetasan terbuka dan terlindung perlu diwujudkan dan suhu mempengaruhi jantina anak penyu.

Kata beliau, antara masalahnya adalah kebanyakan telur penyu belimbing tidak menetas.

Justeru langkah-langkah 
 perlu diambil sepatutnya adalah pengendalian telur penyu perlu diperbaiki dan telur yang dikutip perlu dieram dengan segera dan tidak boleh melebihi dua jam.

Didapati, hanya 10 peratus saja telur penyu belimbing dieram pada masa tersebut dan yang lain dijual di Pasar Payang.

Oleh kerana kadar penetasan agak rendah, maka anak penyu yang dilepaskan ke laut, kadar kemandirianya agak rendah iaitu dalam 1,000 hanya seekor akan mencapai tahap dewasa.

Katanya lagi, semua cadangan ini telah dimajukan kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Pada 1987, penjualan telur penyu belimbing di Terengganu diharamkan. Sebanyak 100 peratus pengeraman telur dibuat. Pengendalian telur dan tempoh menanam telur penyu belimbing diperbaiki.

“Pusat penetasan ditambah baik. Akan tetapi semua ini telah terlambat. Semua telur penyu belimbing yang dieram sejak tahun 2000 tidak menetas, kemungkinan tiada penyu jantan,’’ ujarnya.

Kata beliau, rekod terakhir persarangan penyu belimbing di Rantau Abang adalah pada tahun 2010, tetapi semua telur tidak menetas.

Sejak itu tiada penetasan direkod dan penyu belimbing telah pupus di Rantau Abang, Terengganu .

Kata Juanita lagi, penyu mempunyai sifat akan kembali ke tempat ia ditetaskan. Ini bermakna apabila pupus di suatu kawasan, penyu akan pupus selama-lamanya.

Sejak itu, UMT telah mengorak langkah untuk menyelamatkan penyu di Pulau Redang dan pada 1993, program pemuliharaan dan penyelidikan penyu di Pulau Redang telah bermula.

Dr. Juanita berkata, penyu belimbing (leatherback turtle) telah pupus dan tidak boleh diselamatkan.

Penyu lipas (olive ridley) pula di ambang kepupusan.Kemungkinan spesies tersebut juga pupus. Ketika ini penyu lipas hanya ada di Pulau Pinang, dengan jumlah persarangan kurang 10 setahun, manakala populasi penyu agar atau hijau (green turtle) berjaya ditingkatkan.

Pada tahun 2016, pendaratan penyu agar di Terengganu telah meningkat dan hampir mencapai 10,000 persarangan. Dijangka pada tahun depan, persarangan akan bertambah lagi. Penyu mempunyai sifat untuk tidak datang bertelur setiap tahun, tapi hanya sekali antara tingga lima tahun.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, antara teknologi yang pernah gunakan dalam pemuliharaan penyu adalah teknik asid deoksiribonukleik (DNA) bertujuan untuk mengetahui genetik populasi penyu. Ini bermakna genetik tinggi, resistan kepada penyakit juga menunjukkan populasi tinggi, dan boleh mengetahui dari mana asal penyu di kawasan pemakanan serta siasatan forensik bangkai penyu.

“Kita juga menggunakan teknik bio-logging (telemetri satelit dan telemeteri radio) dengan kerjasama Universiti Kyoto, Teknik bio-logging juga boleh digunakan bagi program penandaan penyu menggunakan kod bar.

“Dunia sedang menghadapi kepupusan penyu. Masalah terkini yang saintis risau, bila suhu dunia meningkat maka lebih banyak penyu betina akan dihasilkan dan ini akan membuat penyu lagi pupus,’’ ujarnya.