Justeru itu, usaha pemuliharaan penyu perlu sentiasa diteruskan bagi memastikan haiwan ini tidak pupus.

Ramai telah menyedari penyu sentiasa diancam kepupusan kerana pelbagai sebab antaranya masaah pencemaran atau gangguan habitat, serta telur yang diambil oleh manusia selain pemangsa.

Sebenarnya sejak sekian lama, pelbagai pihak melakukan apa yang dipanggil sebagai usaha pemuliharaan penyu sama ada oleh agensi kerajaan, swasta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penyelidik.

Spesies penyu sangat penting kerana menyumbang kepada kestabilan ekosistem marin.

Jabatan Perikanan misalnya terlibat dalam usaha pemuliharaan penyu di beberapa kawasan yang dikenal pasti mempunyai masalah kepupusan.

Sebagai contoh, Pusat Pemuliharaan Penyu Geliga, Kemaman telah menjalankan usaha pemuliharaan yang dilaksanakan di kawasan sepanjang 2.5 kilometer melibatkan Pantai Mak Nik (2.07 kilometer (km), Teluk Derdap (0.25km), Teluk Nyior (0.11km) dan Teluk Lipat (0.07km).

Terengganu merupakan negeri utama di Semenanjung Malaysia yang menjadi tempat pendaratan penyu untuk bertelur. Negeri berkenaan menyumbangkan pendaratan penyu terbesar di Semenanjung Malaysia kerana mempunyai banyak kawasan pantai berpasir.

Penyu yang mendarat di negeri itu melibatkan spesies penyu agar atau green turtle (Chelonia mydas), tuntung laut atau painted Teraapin (Callagur borneoensis).

Pada tahun 2000, Kerajaan Negeri Terengganu telah mengeluarkan pantai Geliga daripada pajakan dan telah menyerahkannya kepada Jabatan Perikanan untuk menyelia dan menguruskan program pemuliharaan penyu.

Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, program yang dilaksanakan itu dikendalikan secara bersistem dan ia lebih teratur kerana melibatkan mereka yang berminat melakukannya.

“Penyu merupakan spesies dua alam, maka ia melibatkan dua pihak yang terlibat dalam pemuliharaan agensi kerajaan negeri dan pusat (Jabatan Perikanan),” ujarnya.

Beliau ditemui ketika program MyDOF Kembara Media Perikanan 2016 di Kemaman baru-baru ini.

Program tersebut merupakan lokasi ke -13 daripada keseluruhan 23 lokasi yang dilawati wakil media tempatan anjuran Jabatan Perikanan.

Selain itu, Yayasan Bank Rakyat juga terlibat dengan menjadikan penyu sebagai anak angkat kepada penyu yang dipulihara itu.

Usaha tersebut, katanya juga dibantu oleh renjer yang bertanggungjawab mengutip telur dan dijual kepada Jabatan Perikanan bagi tujuan perlindungan.

Dalam pada itu beberapa usaha sampingan turut dilaksanakan bagi mengelakkan masalah gangguan kepada spesies berkenaan. Ini kerana beberapa masalah seperti pembangunan tidak terancang, pencemaran, perubahan iklim, perburuan untuk makanan menjadi cabaran utama kepada usaha pemuliharaan.

Pada tahun 2016, pendaratan penyu yang dicatatkan adalah 4,397 ekor dan dan terdapat 200,000 telur.

Kerajaan Negeri Terengganu juga membeli balik telur penyu daripada pelbagai pihak.