Dalam Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan misalnya jelas menerangkan pelan tindakan bagi menjayakan dasar berkaitan.

Sasaran pertama dalam memastikan semua pihak terlibat dalam pemuliharaan kepelbagaian biologi negara misalnya dengan memastikan rakyat Malaysia sedar tentang nilai kepelbagaian biologi dan langkah-langkah untuk mereka teribat dalam pemuliharaan dan kelestarian sumber alam.

Sasaran kementerian mendapatkan 500,000 remaja dan kanak-kanak terlibat dalam aktiviti berdasarkan alam semula jadi menjelang 2025 jelas menerusi program khas komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) yang diadakan.

Pelbagai kempen diadakan bagi memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang kepelbagaian biologi dan perkhidmatan ekosistem serta menghubungkan mereka kepada alam semula jadi.

Di samping itu, peluang menjalankan penyelidikan tentang kepelbagaian biologi juga disediakan.

Kerajaan juga menganjurkan, menyertai dan menyokong sambutan hari berkaitan alam semula jadi termasuk Hari Bumi, Hari Alam Sekitar Sedunia, Hari Biodiversiti Antarabangsa, Hari Tapir, Hari Harimau, Hari Gajah, Hari Penyu, Hari Perhutanan, Hari air, Hari Tanah Lembab dan banyak lagi hari-hari berkaitan kepelbagaian biologi dan habitatnya.

Bagi semua aktiviti, CEPA diberi perhatian dan melibatkan pelajar dan universiti.

Program pendidikan dan kesedaran alam sekitar sangat penting dalam memastikan kelestarian alam sekitar di Malaysia. Pendidikan alam sekitar sudah lama dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan yang dilaksanakan dengan menerapkan dalam kurikulum, merentas kurikulum dan aktiviti kokurikulum.

Dalam menjayakan pendidikan alam sekitar di sekolah, pengetahuan dan kreativiti guru serta modul yang seragam mestilah diperkasa.

Aktiviti luar bilik darjah bersama agensi lain seperti Wira Alam, Rakan Alam Sekitar (RAS) dan aktiviti perkhemahan perlu diaktifkan dan diberikan penjenamaan baharu yang lebih menarik sesuai dengan abad ke-21.

Baru-baru ini Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan bahawa silibus berkaitan alam sekitar akan diperkenal di sekolah bermula tahun hadapan. Penyediaan silibus berkaitan akan melibatkan Kementerian Pendidikan, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, dan agensi seperti Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (Nahrim).

Kurikulum baharu yang dicadangkan itu akan meliputi hutan, tanah, laut dan udara serta merangkumi keselamatan biologi dan perubahan iklim.

Cadangan tersebut sudah disuarakan sejak tahun lepas lagi iaitu pelajar dan universiti akan belajar tentang alam sekitar.

Malah, kanak-kanak prasekolah juga perlu diberikan pendedahan tentang alam sekitar. Masalah pencemaran alam sekitar kebanyakannya bermula daripada masyarakat.

Masyarakat perlu diberikan pendidikan tentang alam sekitar bermula dari peringkat kanak-kanak secara formal dan tidak formal berterusan hingga ke universiti.

Ini adalah satu cadangan yang baik memandangkan masyarakat Malaysia masih lagi kurang sedar tentang kebersihan alam sekitar dan pemuliharaan kepelbagaian biologi negara.

Malah, cadangan tersebut juga adalah sejajar dengan Bab 36 dalam Agenda 21 yang menekankan peri penting pendidikan alam sekitar terutama dalam mempromosikan pembangunan lestari.

Agenda 21 merupakan perjanjian atau panduan yang digubal pada Persidangan Alam Sekitar dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCED) sewaktu Sidang Kemuncak Bumi pada 1992 di Rio de Janeiro, Brazil. Sebagai sebuah negara yang mendukung Agenda 21 pelbagai usaha mesti dilakukan bersama-sama bagi memantapkan pendidikan alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

Pelaksanaan merentas kementerian dan penglibatan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penyertaan pihak swasta akan memberikan impak yang lebih dalam aktiviti CEPA. Bagi NGO dan pihak korporat yang memang aktif dalam aktiviti CEPA perlu diberikan pengiktirafan.

Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) misalnya yang sudah mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui BirdLife International, sebuah rakan pertubuhan global dalam pemuliharaan yang terkemuka, sebagai tumpuan (focal point) bagi aktiviti CEPA patut diberikan pengiktirafan sewajarnya oleh pihak kerajaan dan korporat.

Pendidikan formal belum berkesan?

Cadangan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan masalah berkaitan dengannya yang terus berlaku menunjukkan pendidikan secara formal masih tidak berkesan untuk mengubah fikiran masyarakat terhadap alam sekitar.

Sekiranya kita masih bermasalah dengan pengurusan sisa pepejal, tapak pelupusan sampah dan teknologi pelupusan sampah, maka pendekatan pendidikan baharu perlu diperkenal.

Pelbagai kaedah cuba dilakukan bagi mempromosi program kitar semula dan meningkatkan kefahaman dan kesedaran dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Pengenalan kursus khas di sekolah dan universiti mungkin suatu lagi kaedah tetapi sekiranya sikap masyarakat hanya sekadar untuk lulus peperiksaan, kadar pencemaran alam sekitar akan berterusan. Kos pengurusan alam sekitar akan terus meningkat dan membebankan rakyat.

Oleh demikian, pendidikan alam sekitar sangat penting bukan sekadar pendidikan formal tetapi pendidikan tidak formal yang mengarah kepada penghayatan dan amalan. Banyak aktiviti tidak formal diadakan menerusi Jabatan Alam Sekitar bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta.

Penglibatan lebih 400 Kelab Pencinta Alam MNS di sekolah dan pusat pendidikan alam sekitar MNS juga aktif dengan aktiviti komunikasi, pendidikan dan kesedaraan awam CEPA. Kelab yang aktif di seluruh negara boleh membantu kerajaan mencapai cita-cita masyarakat yang prihatin dengan alam sekitar.

Kewibawaan MNS sebagai tumpuan aktiviti CEPA telah menarik minat agensi tempatan dan antarabangsa melibat sama dalam membentuk masyarakat Malaysia yang berpengetahuan dan prihatin tentang alam semula jadi. Malaysia sebagai sebuah negara 12 teratas dalam kepelbagaian biologi dunia semestinya mempunyai rakyat yang memahami nilai alam semula jadi yang tinggi.

Dalam masa sama, modul khas guru dan pelajar diberikan latihan praktikal dilapangan untuk diamalkan di sekolah.