Penggunaan tanah yang semakin mendesak untuk keperluan sosioekonomi merupakan cabaran utama untuk mengekalkan kawasan litupan hijau sedia ada.

Selain itu, pengusahahasilan (exploitation) balak sebagai salah satu sumber ekonomi negara juga tidak dapat ditolak namun amat perlu untuk diuruskan secara mampan dan berkekalan.

Untuk pengetahuan, kerajaan menyatakan komitmennya untuk memastikan litupan hujan yang ada di seluruh negara perlu dikekalkan sebanyak 50 peratus.

Namun, bagaimana komitmen tersebut dapat dikekalkan di sebalik cabaran dan isu yang sering melanda? Untuk itu Majlis Persijilan Kayu Malaysia (MTCC) tampil dengan Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) bagi membantu usaha tersebut berjaya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MTCC, Yong Teng Koon, pensijilan MTCS merupakan skim pensijilan secara sukarela yang menyediakan proses pengauditan amalan pengurusan hutan secara bebas.

Jelasnya, proses audit dilakukan bagi memastikan pengurusan hutan semula jadi dan hutan perladangan dapat dilakukan secara lestari, sekali gus menepati pensijilan produk perkayuan negara.

“MTCS diperkenal dari awal rantaian iaitu dari peringkat pengurusan kawasan hutan sehinggalah kepada penjualan produk akhir kayu balak itu sendiri” katanya.

Jelasnya, pensijilan MTCS memberikan pelbagai manfaat bukan sahaja kepada pengusaha produk berasaskan balak malah hutan yang diuruskan itu sendiri.

MTCS disokong oleh skim PEFC (Program Pengesahan Persijilan Hutan) yang merupakan program pensijilan hutan terbesar iaitu sekitar 200 juta hektar (ha) di seluruh dunia dan merupakan skim pensijilan kayu balak tropika pertama di Asia Pasifik.

Bawah Pengurusan Hutan Lestari (SFM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) mengamalkan pengurusan hutan secara SMS (Sistem Pengurusan Terpilih) yang memastikan pelbagai perkara perlu dipatuhi.

Antaranya adalah memastikan konservasi sumber hutan sentiasa terjamin, kemampanan sumber hutan utama yang produktif serta mengurangkan kerosakan terhadap dirian yang akan datang.

Seterusnya mengurangkan kos kerja-kerja rehabilitasi hutan dan terakhir memastikan kestabilan serta kualiti alam sekitar yang lebih baik.

Pengurusan hutan bawah SMS menerusi SFM perlu melalui beberapa aktiviti iaitu sebelum penuaian menerusi pelaksanaan aktiviti Inventori Pratebangan (Pre-Felling/Pre-F Iventory) untuk mengetahui isi kandungan hutan (balak) yang ada mengikut spesies dan saiz.

Setiap daripada pokok balak yang hendak ditebang, akan ditanda dan dibukukan bagi memastikan hasil yang dikeluarkan dapat dikesan semula serta dipantau secara rapi serta penentuan premium yang perlu dibayar.

Proses Inventori Pre-F turut melibat beberapa aktiviti lain iaitu penandaan arah tebangan, persempadanan dan pembinaan jalan hutan.

Setelah aktiviti penuaian dilaksanakan, proses Inventori Pascatebangan (Post-Felling/Post-F Inventory) dilakukan bagi menentukan rawatan yang bersesuaian untuk memastikan kawasan hutan tersebut kembali pulih seperti sediakala.

Apabila dikenal pasti, proses rawatan silvikultur akan dilaksanakan bermula tiga hingga lima tahun selepas aktiviti pembalakan.

Selepas 10 tahun, rawatan susulan pula akan dilaksanakan bawah proses Inventori Post-F untuk mengetahui status regenerasi atau dirian hutan yang ada di kawasan tersebut.

Pada peringkat akhir, kawasan hutan tersebut akan dibiarkan pulih seperti sediakala selama 10 hingga 30 tahun sebelum Inventori Pre-F dan tuaian dilakukan semula.

SMS merupakan amalan pengurusan hutan yang digunakan dan berjaya menjamin konservasi sumber hutan namun tanpa proses audit daripada pihak luar, kecacatan dan kelancaran amalan tersebut boleh dipertikai.

“Oleh demikian, MTCC tampil bersama pensijilan MTCS bagi memastikan amalan tersebut sentiasa berjalan lancar biarpun ia dilaksanakan secara sukarela.

“Kini, biar pun pensijilan MTCS diperkenal oleh MTCC sejak 1998 untuk tujuan pengurusan hutan yang mampan, namun masih tidak ramai yang mempraktikkannya,” ujarnya lagi.

Pensijilan SFM juga memberikan manfaat antara lain kepada pengesanan ruang yang tertinggal dalam peyelidikan dan pembangunan (R&D), memperbaiki implementasi akta dan penguatkuasaan serta mengukuhkan usaha perlindungan dan konservasi alam sekitar sekitar 495 juta ha hutan yang ada di seluruh dunia yang disijilkan dan daripada jumlah tersebut, hanya 13.7 peratus hutan tropika yang memiliki pensijilan MTCS.

Jumlah tersebut hanyalah 0.8 peratus daripada keseluruhan hutan dunia yang telah disijilkan.

MTCS memulakan operasinya sejak 2001 dan antara yang giat melaksanakan audit seperti audit Pensijilan Pengurusan Hutan, audit rantaian penghasilan produk kayu serta kilang yang menghasilkannya.

Antara negara yang menerima pensijilan MTCS adalah United Kingdom, New Zealand, Jerman, Jepun dan beberapa negara lagi dan jumlah keseluruhan eksport porduk kayu yang disijilkan adalah sekitar 190,405 meter padu untuk tahun 2016 sahaja.

MTCS yang disokong oleh PEFC bermula pada Mei 2009 dan disokong semula pada Julai 2014 untuk lima tahun lagi sehingga 2019. Terdapat pelbagai impak daripada proses pensijilan MTCS antaranya adalah mudah untuk menembusi pasaran antarabangsa selain memenuhi permintaan pengguna yang mahukan produk kayu-kayan yang melalui proses penuaian yang sah sahaja.

Seterusnya memudahkan pengesanan asal usul produk kayu tersebut selain melancarkan pengurusan risiko dan memastikan lestarian dan kemampanan hutan itu sendiri.

MTCC sehingga kini sentiasa komited untuk mempromosi pengurusan hutan secara berkekalan menerusi pensijilan hutan dan untuk tujuan tersebut mereka percaya amalan pengurusan tersebut perlulah berdaya saing dari segi ekonomi, diterima oleh masyarakat dan mesra alam.

Untuk menjayakannya, semua pihak yang terdiri daripada agensi kerajaan, industri, organisasi bukan kerajaan termasuk pengguna dalam rantaian teratas perlu memastikan pengurusan sumber hutan yang lebih baik.

Pentingkah pensijilan MTCS?

Kepentingan pensijilan hutan menerusi Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang dipromosi Majlis Persijilan Kayu Malaysia (MTCC) turut memberikan kesan yang positif terhadap terhadap pengurusan hutan itu sendiri.

Perkara tersebut diakui Timbalan Pengarah (Pembangunan), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Samsu Anuar Nawi yang berkata, pensijilan MTCS banyak membantu jabatan memastikan kawasan litupan hijau di negeri itu dilindungi.

Jelasnya, salah satu komponen dalam memastikan pensijilan MTCS terus diperoleh agensi tersebut adalah dengan memastikan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) tidak ditukar statusnya melebihi lima peratus.

“Keadaan ini membolehkan kawasan HSK dikekalkan seperti sediakala, sekali gus menyokong komitmen kerajaan dalam usaha mengekalkan kawasan litupan hijau sebanyak 50 peratus.

“Selain itu, proses pengauditan yang dilakukan oleh MTCC menerusi pensijilan MTCS juga memastikan segala proses pengurusan hutan dilakukan dengan telus dan lebih lancar oleh jabatan,” ujarnya.

Sehingga kini proses penukaran status HSK masih berjalan, namun antara amalan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pahang setiap hektar kawasan HSK yang ditukar status akan diganti dengan mewartakan kawasan lain sebagai HSK dalam jumlah yang sama.

Di Pahang, JPNP masih mengekalkan sebanyak 43 peratus kawasan HSK dan sejumlah 11 peratus daripadanya adalah merupakan kawasan Taman Negara.

Tambah Samsu Anuar, kawasan HSK di Pahang itu pula dibahagikan kepada dua jenis hutan, iaitu Hutan Pengeluaran sebanyak 60 peratus dan Hutan Perlindungan sebanyak 40 peratus.

Hutan Pengeluaran adalah hutan yang mengeluarkan hasil balak manakala Hutan Perlindungan adalah untuk melindungi kawasan tadahan air, pendidikan, masyarakat, hutan dara serta hutan untuk perlindungan hidupan liar.

Selain memberikan kesan yang positif terhadap pengurusan hutan, pensijilan bawah MTCS juga turut memberi manfaat kepada pengusaha produk kayu-kayan dalam negara.

Jelas Pengurus Kawalan Kualiti, Mentakab Veneer and Plywood Sdn. Bhd., K. Sunugalan, penganugerahan pengesahan dan pensijilan MTCS bawah PEFC (Program Pengesahan Persijilan Hutan atau Program for the Endrosement of Forest Certification) memberikan pelbagai manfaat.

“Antaranya menerusi pensijilan ini produk kami lebih mudah diterima di pasaran antarabangsa terutama negara-negara yang sensitif terhadap kemusnahan alam sekitar seperti di Eropah. Selain itu, pihak syarikat juga menerima insentif atau bayaran yang lebih tinggi iaitu sekitar RM200 (AS$50) bagi setiap meter padu produk yang dieksport ke negara-negara berkenaan,” katanya.

Sunugalan turut menegaskan pihaknya hanya membeli kayu balak yang dituai daripada HSK dengan pengurusan yang mematuhi pensijilan MTCS sahaja untuk menghasilkan papan lapis berkualiti tinggi serta memudahkan ia dipasarkan.

Syarikat Mentakab Veneer & Plywood yang telah beroperasi sejak tahun 1986 itu menerima pelbagai lagi kelebihan lain hasil daripada pensijilan MTCS.

Pun begitu, kesedaran untuk menerima pakai pensijilan MTCS dalam kalangan kumpulan pengurusan hutan dan juga pihak industri masih sedikit kerana ia bersifat sukarela.