Salah satu strategi yang telah dijalankan oleh kementerian dan agensi berkaitan tenaga di negara ini adalah melancarkan langkah mempromosi kecekapan penggunaan dalam kalangan pengguna, sama ada sektor industri, perniagaan komersial, atau pengguna domestik.

Walaupun Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau, dan Air (KeTTHA) telah mewujudkan pelbagai polisi dan pelan tindakan strategik bagi meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga, masih terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi.

Cabaran yang timbul ialah pelaksanaan secara menyeluruh terhadap kesemua pengguna tenaga, terutama pengguna domestik yang merupakan 20 peratus daripada pecahan keseluruhan penggunaan tenaga di Malaysia. Adalah dianggarkan pecahan penggunaan tenaga di rumah kediaman adalah hampir 45 peratus untuk tujuan kegunaan pendingin hawa, hampir 20 peratus untuk keperluan asas seperti pencahayaan dan memasak, dan selebihnya untuk kegunaan pemanasan atau penyejukan.

Selari dengan menjayakan aspirasi pencapaian kecekapan tenaga ini, sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencipta peranti mudah alih yang mampu menghasilkan kecekapan penggunaan tenaga secara mikro.

Peranti yang dinamakan Pengawal Mikro Tenaga Automatik (PMTA) dicipta dengan menggabungkan kepakaran dalam operasi sistem kuasa, pengaturcaraan, dan aplikasi sistem berasaskan penderia dan capaian Internet, atau Internet of Things (IoT).

Penyelidik USM, Mohamad Nazir Abdullah berkata, pengawalan penggunaan tenaga elektrik dibuat menerusi pengaturcaraan pada cip mikro pengawal yang mengawal litar PMTA yang dipasang pada litar masuk utama ruang atau bilik yang ingin dikawal penggunaan elektriknya. Binaan PMTA adalah ringkas, dan mudah dipasang dan diselenggara oleh pengguna.

“Litar PMTA menerima masukan daripada dua jenis penderia yang akan membuat imbasan isyarat inframerah, dan tahap gas karbon dioksida di ruang udara. Masukkan daripada kedua-dua penderia itu akan melalui algoritma pengoptimum yang telah diatur cara ke dalam pengawal cip mikro, dan litar PMTA akan menentukan sama ada tenaga elektrik perlu dibekalkan atau tidak ke ruang atau bilik tersebut.

“Secara langsung, peranti tersebut membenarkan bekalan elektrik secara automatik, hanya apabila terdapatnya manusia yang dikesan berada di ruang yang dilengkapi PMTA ini,’’ ujarnya.

Penyelidik Unimap yang terlibat dalam penyelidikan tersebut, Dr. Muhammad Mokhzaini Azizan berkata, walaupun secara ringkasnya peranti PMTA ini boleh dilihat sebagai pemutus bekalan elektrik automatik sahaja, namun dengan kelebihan pengumpulan data daripada penderia yang digunakan oleh cip mikro yang digunakan.

“Ini membolehkan proses analisis data dilakukan dalam masa hadapan. Kelebihan ini akan menjadikan peranti PMTA ini lebih ‘bijak’ dan mampu memberikan penjimatan yang optimum berdasarkan penggunaan elektrik dalam masa sebenar (real-time),” katanya.

Menurutnya lagi, sebuah aplikasi sedang dibangunkan bagi membenarkan pengguna mendapatkan data penggunaan elektrik secara langsung daripada sesebuah peranti PMTA, dan juga untuk mengawalnya secara langsung. Pemantauan peranti dan perkongsian data dari peranti dapat dilakukan dengan mudah dengan menggunakan telefon mudah alih, dan secara tidak langsung membantu pengguna menjimatkan penggunaan tenaga elektrik dalam jangka masa panjang.

Peranti PMTA yang hanya menelan kos RM250 seunit ini sedang menjalani fasa percubaan, dan kini sudah dipasang di premis guna sama seperti pondok rehat pelajar di Unimap dan USM. Ujian percubaan dan pemasangan permulaan ini telah menunjukkan keputusan yang memberangsangkan di mana kecekapan penggunaan tenaga telah diterjemah kepada penjimatan penggunaan tenaga yang tinggi, iaitu sekitar 20 peratus penurunan, berbanding penggunaan sebelum adanya PMTA. Usaha sedang dijalankan bagi memasarkan PMTA secara meluas melalui permohonan dana pengkomersialan penyelidikan dari agensi berkaitan.

Maklumat lanjut mengenai peranti PMTA ini boleh didapati menerusi Dr. Muhammad Mokhzaini Azizan di [email protected]

Dana: geran penyelidikan dalaman USM

Mula: Februari 2016

Akhir:

April 2016

Kebaikan inovasi:

Mengurangkan penggunaan tenaga elektrik bagi sesuatu ruang yang dilengkapi PMTA

Menggunakan penderia inframerah dan karbon dioksida bagi menentukan sama ada terdapatnya manusia di ruang yang dilengkapi PMTA