“Pendekatan yang diambil oleh Taman-Taman Sabah (TTS) dalam mengurus tadbir TTM, iaitu taman terbesar meliputi perairan seluas 898,762.76 hektar berbeza dengan taman-taman lain yang diurus oleh TTS.

​“Sebagai contoh di Taman Kinabalu​, kawasannya adalah dilarang masuk, tetapi di TTM, pengurusan perlu mengambil kira hakikat bahawa penduduk tempatan perlu juga mencari rezeki antaranya adalah nelayan dan sebagainya ​.​

“Jadi, salah satu cara untuk menjadikan taman ini mampan adalah dengan mengambil kira aspek sosioekonomi masyarakat setempat ​iaitu nelayan masih dibenarkan untuk menangkap ikan dan melakukan aktiviti-aktiviti lain,” ujarnya.

Tambah Chee Kang, antara kaedah terbaik untuk memulihara kehidupan marin adalah mengadakan sistem penggiliran lokasi menangkap ikan bagi memberi peluang hidupan marin tersebut membiak tanpa diganggu.

​Jelasnya lagi, TTM juga merupakan lokasi segi tiga emas ​yang mempunyai kepelbagaian kehidupan marin yang bakal menarik pelancong terutama pencinta alam sekitar (environmentalist) dari dalam dan luar negara.

“Saya positif dan optimis pada masa depan penduduk di dalam kawasan TTM akan mendapat lebih banyak peluang pekerjaan terutama dalam sektor pelancongan,” ​katanya selepas ​majlis perasmian Sambutan Ulang Tahun Pertama TTM di Kudat baru- baru ini.

TTM telah diisytiharkan sebagai taman bawah Enakmen Taman-Taman Sabah 1984 (Pindaan 2007) oleh ​Yang Dipertua Negeri Sabah pada 19 Mei 2016 meliputi kawasan laut seluas 898,762.76 hektar dalam tiga buah daerah, iaitu Kudat, Kota Marudu dan Pitas.

Ini menjadikan TTM taman semula jadi yang terbesar di Malaysia.

Pelbagai strategi dan rancangan telah dilaksanakan oleh TTS sepanjang tahun lepas antaranya penubuhan pasukan bertindak khas untuk melaksanakan Rancangan 100 Hari, Penganjuran Program Renjer Kehormat, persediaan kerjasama dengan Dana Sedunia Alam Semula Jadi - Malaysia (WWF-Malaysia) dalam pengurusan TTM.

Rancangan lain adalah operasi pemantauan di lapangan sambil menyebarkan maklumat kepada nelayan, pembangunan sumber manusia serta mengenal pasti lokasi-lokasi tapak pembinaan substesen serta pos kawalan dan penyediaan pelan jelajah pulau-pulau dan kampung dalam kawasan TTM bagi meningkatkan kesedaran dan sokongan komuniti.

Dalam majlis yang sama, Chee Kang yang juga ​Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor turut merasmikan pejabat Taman-Taman Sabah Daerah Kudat dan Penutupan Ekspedisi Saintifik Taman Tun Mustapha yang telah dilaksanakan sejak 40 ​ ​ hari lalu.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Setiausaha Tetap, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datu Rosmadi Datu Sulai; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Tengku Datuk Seri Dr. Zainal Adlin Tengku Mahamood; dan Pengarah TTS, Dr Jamili Nais.