Pertunjukkan bunga api sudah diiktiraf antarabangsa semasa sambutan kebanyakan budaya dan agama.

Di samping kemeriahan dan keindahan pesta bunga api, ia juga mempunyai risiko tersendiri dan mesti sentiasa mengikuti panduan yang diberikan dan selalunya di tulis di kotak bunga api.

Antara risiko yang boleh dihadapi ialah bising, pencemaran udara, asap, kecederaan, cahaya yang terang dan masalah kesihatan. Walaupun belum ada satu panduan atau penanda aras tentang kesan keracunan kepada manusia dan haiwan serta alam sekeliling yang lengkap, namun kefahaman asas tentang kandungan kimia bunga api, prosesnya dan kesannya kepada manusia dan alam sekitar patut diberikan perhatian.

Pencemaran yang disebabkan oleh bunga api sudah pun disedari dunia dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang ditubuhkan pada 7 April 1948 sebagai agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertugas menjalankan penyelidikan dan mengambil tindakan-tindakan tertentu bagi menjamin kesihatan penduduk sedunia telah memberikan perhatian terhadap pesta bunga api yang dijalankan.

Pencemaran oleh bunga api diukur berdasarkan jumlah partikel di udara yang disedut semasa bernafas.

Namun begitu dalam kes-kes tertentu jumlah partikel akibat bunga api pernah melebihi 400 mikrogram di Beijing dan 600 mikrogram di Shijiazhuang. Dengan kes ini pada tahun 2014 kerajaan China telah mengambil inisiatif mengurangkan pencemaran udara dan cuba menutup kilang-kilang menggunakan batu arang dan menghadkan bilangan kenderaan atas jalan raya pada masa tertentu.

Menurut The Guardian Oktober 2017, pesta cahaya di India telah membakar berpuluh ribu bunga api dan mercun yang memaksa sekolah, stesen janakuasa dan tapak pembangunan ditutup.

Pencemaran udara juga meningkat sebanyak 29 kali daripada had yang dibenarkan WHO. Ekoran itu mahkamah India menghalang penggunaan bunga api ketika menyambut Diwali bagi mengatasi isu pencemaran udara ketika rakyatnya bercuti dan bergembira menyambut Diwali.

Arahan mahkamah itu kemudiannya dicabar oleh pembuat bunga api. Pada Oktober 2016 juga The Guardian melaporkan di Delhi pernah ditutupi asap beracun selepas beratus ribu manusia meletupkan bunga api bagi menyambut Diwali.

Paras pencemaran pada masa itu meningkat 42 kali daripada paras selamat malah melebihi paras normal bahaya pencemaran udara akibat pergerakan kenderaan di bandar. Secara tradisi Diwali disambut dengan cahaya daripada minyak tetapi selepas pembukaan kilang serbuk api pertama di India pada tahun 1940 pesta cahaya mula menggunakan bunga api.

Di Filipina juga pernah dilaporkan hampir 200 orang cedera akibat terkena letupan bunga api ketika sambutan ambang tahun baharu 2018. Di Amerika antara 8 Jun hingga 18 Julai 2016, Consumer Products Safety Commission and its National Electronic Injury Surveillance System melaporkan 11,000 orang terlibat dalam kemalangan berkaitan bunga api telah dirawat di bahagian kecemasan hospital.

Di Britain juga pernah dilaporkan selepas aktiviti bunga api, pada keesokannya ramai orang dimasukkan ke hospital kerana asma dan masalah pernafasan. Bunga api mencemar udara dengan logam berat beracun seperti plumbum, raksa, aluminium, cadmium, radioaktif barium dan lain-lain. Logam yang digunakan juga mengeluarkan warna bunga api yang nampak cantik, menarik dan menghiburkan. Asap daripada bunga api terdiri daripada debu-debu halus beracun yang boleh masuk ke dalam paru-paru, salur permakanan dan memberi kesan kepada kulit yang sensitif. Oleh kerana minat, permintaan dan penggunaan bunga api semakin meningkat maka kajian untuk mengurangkan bahaya bunga api keatas kesihatan manusia dan alam sekitar perlu dilakukan.

Bunga api ganggu burung waktu malam

Selain manusia, bunga api juga boleh mengganggu burung pada waktu malam. Burung boleh tergejut, terbang hilang arah dalam kegelapan dan boleh melanggar objek lain.

Kejadian di Arkansas pada 2010 menyaksikan 5000 burung jatuh dari udara dan mati. Menurut ornitologis Arkansas burung hitam sayap merah (Agelaius phoeniceus) mempunyai penglihatan yang kurang pada waktu malam dan melanggar dinding bangunan atau objek lain. Kajian menunjukkan burung mati akibat patah leher dan kecederaan kepala.

Asap daripada bunga api yang mengandungi sebatian sulfur-arang batu, logam berat dan gas toksik lain seperti sulfur dioksida dan nitrik oksida mungkin antara sebab kematian burung.

Walaupun tiada kajian mendalam tentang kejadian di Arkansas 2010 itu, kesan keatas manusia seperti menyebabkan masalah pernafasan dan kardiovaskular mungkin boleh dikaitkan. Manusia yang berada jauh di bawah asap di udara pun boleh mendapat kesan, tambah lagi burung yang lebih aktif beterbangan di udara selama 45 minit.

Walaupun gas beracun bukan satu-satunya penyebab kematian burung kesan jangka panjang kepada haiwan dan manusia akibat bahan kimia yang dihasilkan oleh bunga api perlu diberikan perhatian.

Bunga api sudah diketahui sebagai salah satu sumber pencemaran partikel logam di udara. Setakat ini tiada kawalan pencemaran yang disebabkan oleh bunga api seperti kawalan berkala ke atas kenderaan dan kilang-kilang. Mungkin sudah ada langkah-langkah mengurangkan kadar pencemaran seperti tidak melakukan pembakaran bunga api dalam kawasan tertutup dan mempunyai had tertentu mengikut jenis upacara. Pemantauan pencemaran kawasan pertunjukan bunga api perlu dilakukan semasa pertunjukan bunga api berlangsung dan selepas untuk tempoh masa tertentu dan mengambil kira arah angin.

Dalam pesta bunga api, masing-masing pasukan menunjukkan teknologi, kreativiti dan kemahiran mempamerkan keindahan percikan bunga api di udara. Masyarakat bergembira menjerit menyambut letupan bunga api tanpa mengindahkan pencemaran udara yang sedang berlaku. Perhatian umum tentang pencemaran oleh bunga api ini mungkin mencabar ahli sains untuk memikirkan kaedah lain yang boleh memberikan impak yang sama tanpa mencemarkan udara dalam meraikan keseronokan sambutan sesuatu pesta.