Selepas kekalahan Jepun dan British kembali, usaha penanaman pokok hutan diteruskan semula sehingga dirian hutan ini mencapai tahap kestabilan selari dengan tempoh penubuhan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pada tahun 1985.

Namun, hari ini FRIM melihat kepentingan pembangunan hutan tersebut lebih daripada sekadar pemuliharan dan pengekalan biodiversiti.

Malah, FRIM juga menjadi bank baka iaitu sumber genetik tumbuhan hutan dan habitat kepada pelbagai flora dan fauna yang unik mahu pun yang terancam.

Hutan tersebut pada asalnya, adalah bekas lombong bijih timah dan kebun sayur masyarakat setempat yang dibangunkan sejak zaman sebelum Perang Dunia Kedua lagi.

Melihat kepada peri pentingnya dan uniknya hutan buatan manusia terbesar di dunia ini maka ada kewajaran bagi menjadikannya Tapak Warisan Dunia (WHS)meskipun bukan kategori alam sekitar.

Usaha tersebut dimulakan pada Februari tahun ini, iaitu satu dokumen senarai tentatif dikemukakan kepada World Heritage Centre (WHC) di Paris, Perancis.

Kini, tapak hutan warisan ini berjaya tersenarai secara rasmi dalam Tentative List WHS-Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) pada 7 Julai lalu semasa Mesyuarat ke-41 WHC di Krakow, Poland.

Menurut ketua sekretariatnya, Noorsiha Ayop, dokumen pencalonan (dossier) dan pelan pengurusan konservasi (CMP) perlu dikemukakan kepada WHC di Paris sebelum Februari 2019 diikuti misi peniliaian, laporan maklum balas Majlis Antarabangsa Bagi Tapak dan Monumen (ICOMOS), program sokongan, pembentangan akhir tapak FRIM dan keputusan akhir pada mesyuarat WHC pada tahun 2020.

“Peringkat paling kritikal melibatkan keputusan akhir Jawatankuasa Warisan Dunia,” ujarnya.

ICOMOS merupakan badan penasihat yang dilantik bagi menjalankan misi penilaian ke atas tapak di bawah kategori kebudayaan.

Menurut Noorsiha, proses penyediaan dokumen pencalonan (dossier) dan CMP hingga fasa misi penilaian amat rumit kerana pihaknya perlu menyiapkan pelbagai fakta, laporan, pelan pengurusan tapak sebelum misi penilaian dijalankan oleh badan penasihat ICOMOS.

“Memang proses amat rumit terutama penyediaan dokumen tapak warisan dunia.”

Dalam masa sama, selain FRIM dua lagi tapak baru yang tercalon dari Malaysia untuk mendapat pengiktirafan sebagai tapak warisan dunia ialah Hutan Royal Belum dan Tapak Permatang Kuarza Gombak, Selangor.

Tapak Warisan FRIM seluas 544.3 hektar yang terbentuk hari ini, adalah sejajar dengan peranan utamanya sebagai pusat kecemerlangan dan peneraju di peringkat antarabangsa dalam penyelidikan perhutanan, pemuliharaan biodiversiti dan perladangan hutan tropika.

Hutan FRIM itu kini mencapai usia hampir 100 tahun, merupakan sebuah ekosistem buatan manusia yang menyimpan pelbagai komposisi biodiversiti hutan tropika seperti flora, fauna, serangga dan fungi.

Hutan ini turut bertindak sebagai sebuah bank bagi penyimpanan pelbagai bahan baka terbaik spesies balak tropika yang amat bernilai. 
– LAUPA JUNUS

Tiga asas kukuh bantu pencalonan

Keperluan pencalonan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) menuntut tiga asas penting yang digariskan oleh WHS-Unesco di bawah fakta nilai keunggulan sejagat (OUV). Keperluan pertama adalah mematuhi sekurang-kurangnya satu daripada enam kriteria kebudayaan atau empat kriteria semula jadi. Di bawah kriteria No.5 (kebudayaan), hutan buatan manusia terbesar dan tertua FRIM ini, jelas mempaparkan satu-satunya bukti terbaik di peringkat dunia. Ia melihat kepada aspek interaksi dan hubungan antara manusia dan alam dalam konteks pembentukan sebuah hutan tropika, yang kini sangat berhadapan dengan impak perubahan.

Fakta kedua adalah memenuhi keperluan mengekalkan keaslian serta integriti tapak dan ketiga, memenuhi keperluan pelindungan dan pengurusan tapak.

Perlindungan bagi aspek cabaran semasa tapak turut diambil kira seperti tekanan aktiviti pembangunan sekitaran, impak aktiviti rekreasi dan ekopelancongan serta kesan ancaman panahan petir ke atas pokok-pokok.

Antara cabaran utama yang digalas oleh Sekretariat Pengurusan Tapak Warisan FRIM adalah memperkasa usaha pemuliharaan kampus bersejarah tersebut sebagai calon tapak warisan dunia. Usaha murni diperkukuhkan lagi sehingga tahun 2020 di bawah projek dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

Antara usaha yang dirancang adalah membangunkan satu sistem pangkalan data bersepadu dikenali sebagai myWarisan, melaksana pelbagai aspek kajian biotik dan abiotik, mewujudkan jaringan kerjasama rakan strategik dan pemegang taruh (stakeholders).

Usaha lain adalah mewujudkan program inventori pokok warisan dan pemetaan hutan digital, kawalan dan pemantauan persempadanan, mentakrif nilai keseluruhan ekonomi tapak, penganjuran pelbagai forum saintifik dan pembangunan modal insan, mewujudkan model komuniti hijau, penerbitan, hebahan, publisiti dan mengemukakan dokumen WHS-Unesco serta menjalankan misi penilaian tapak dan mendapatkan sokongan peringkat antarabangsa.

Faktor kekuatan hutan FRIM sebagai model hutan legasi dan lokasi rujukan di peringkat dunia dalam konteks pembentukan hutan tropika buatan manusia, diukur secara saintifik dalam pelbagai bidang antaranya termasuklah ekologi hutan.

Ini termasuklah fasa kitaran pembungaan dan pembuahan, pembiakbakaan tanaman, aspek genetik hutan, sejarah penanaman dan amalan pengurusan hutan, aspek tanah, kandungan stok karbon, iklim mikro dan ekonomi hutan.

Hutan FRIM juga merupakan lokasi terbaik dunia bagi usaha kelestarian sains terutama dalam menyumbang ke arah pertumbuhan dan pembangunan pengetahuan berkaitan hutan tropika secara global.

Ini termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), penerbitan dan rujukan visual, plot ekologi jangka panjang, fasiliti penyelidikan dan pusat rujukan pelbagai koleksi yang diawet serta arboretum yang menyimpan berbagai sumber genetik hutan tropika.

FRIM kini giat mempelbagaikan produk eko-pelancongan berasaskan aset perhutanan warisan menerusi pembangunan pelbagai komponen infrastruktur hijau yang turut melengkapi usaha penjenamaan kampus FRIM tersebut sebagai tapak warisan dunia Unesco. Pembangunan denai menerusi pelantar pejalan kaki merentasi kawasan hutan warisan, naik taraf seni bina warisan tradisional, infrastruktur buluh yang mempamerkan kegunaan hasil hutan tropika serta turut dihiasi dengan pelbagai taman landskap hutan.

Usaha ini dijangka turut mengukuhkan penjanaan pendapatan FRIM dan negara menerusi aspek bioekonomi. Pelbagai produk ekopelancongan baru berteraskan tapak warisan di bawah Program Heart of Heritage FRIM dibangunkan seiring dengan konsep pembentukan kampus hijau warisan yang mampu menggamit kedatangan pelancong dalam dan luar negara tatkala diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco kelak.