Bahkan, statistik mencatatkan bilangan pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang meningkat dengan lebih daripada 7,500 pesakit direkodkan setiap tahun.

Namun, kajian menunjukkan 99 peratus pesakit kegagalan buah pinggang cenderung untuk melakukan rawatan haemodialisis yang secara tidak langsung telah mengurangkan kualiti hidup mereka.

Hal ini demikian kerana, rawatan haemodialisis memerlukan komitmen yang tinggi apabila pesakit perlu berulang-alik ke pusat rawatan dengan purata tiga kali seminggu yang memakan masa selama tiga hingga lima jam bagi satu sesi rawatan.

Menurut Pakar Nefrologi (Ginjal) Pusat Pakar Perubatan Universiti Teknologi Mara (PPUiTM), Dr. Muhammad Iqbal Abdul Hafidz, selain haemodialisis, terdapat kaedah perubatan yang lebih ampuh untuk dijalani oleh pesakit untuk merawat penyakit buah pinggang.

Rawatan tersebut adalah pembedahan pemindahan buah pinggang atau transplan yang merupakan proses menggantikan buah pinggang yang rosak kepada yang baharu.

Namun, kadar pemindahan buah pinggang di negara ini menunjukkan penurunan iaitu dari 64 pembedahan yang dijalankan pada tahun 2015 merosot kepada hanya 27 pemindahan pada tahun 2016.

Penurunan tersebut berlaku kerana pesakit menganggap rawatan yang terbaik untuk memulihkan buah pinggang adalah dengan melakukan rawatan haemodialisis yang lebih mudah dan murah berbanding melakukan pembedahan transplan.

Walau bagaimanapun, katanya, pesakit kegagalan buah pinggang yang menjalani pembedahan menggantikan ginjal atau transplan akan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik berbanding pesakit yang menjalani rawatan dialisis dalam jangka masa panjang.

“ Ini kerana pembedahan atau transplan ini perlu dijalankan sekali sahaja untuk menggantikan buah pinggang pesakit dengan yang baharu berbanding rawatan dialisis yang perlu dijalani pesakit secara berterusan.

“Dari segi kos juga menunjukkan rawatan pemindahan buah pinggang lebih berbaloi kerana perlu dibayar sekali sahaja iaitu kira-kira RM50,000 (harga rawatan di PPUiTM), tetapi bagi rawatan dialisis memerlukan belanja kira-kira RM200 bagi satu sesi tidak termasuk ubat-ubatan ,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di PPUiTM, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Selain itu, beliau yang juga Pensyarah Fakulti Perubatan UiTM menjelaskan, golongan yang paling tinggi menghidap penyakit buah pinggang adalah mereka yang berumur antara 40 hingga 60 tahun iaitu golongan optimum yang masih bekerja.

Oleh itu, tegasnya, selain kualiti hidup, produktiviti dan prestasi kerja pesakit juga akan terganggu sekiranya mereka membuat keputusan untuk menjalani rawatan haemodialisis untuk kelangsungan hidup.

Katanya, komitmen terhadap rawatan dialisis yang perlu dilakukan dengan kerap akan membuatkan pesakit menjadi semakin tidak bermaya selain kulit akan kelihatan lebih gelap selepas menjalani rawatan.

“Proses rawatan haemodialisis agak membebankan kerana pesakit terpaksa berulang alik ke pusat haemodialisis.

“Jika pesakit melakukan transplan, dia hanya perlu makan ubat antipenolakan buah pinggang baharu sahaja dan boleh meneruskan kehidupan normal seperti orang lain,” jelasnya.

Justeru, beliau berkata, kesedaran orang ramai mengenai kepentingan melakukan pembedahan pemindahan buah pinggang terutama bagi pesakit yang muda sangat perlu untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.

Pesakit harus membuka mata dan melihat pelbagai sudut untuk mencari alternatif terbaik untuk merawat penyakit selain bergantung terhadap satu kaedah sahaja iaitu dialisis.

Tiada risiko jika menderma buah pinggang

Dalam pada itu, Dr. Muhammad Iqbal berkata, satu kempen kesedaran perlu diadakan untuk memberitahu kepada umum mengenai kepentingan pesakit buah pinggang menjalani pembedahan pemindahan ginjal.

Hal ini kerana katanya, ada beberapa kekangan dan halangan yang menyebabkan pemindahan ginjal tidak dapat diperkasa di negara ini.

Antaranya ialah pemahaman orang ramai mengenai risiko sekiranya ingin menjadi penderma buah pinggang.

Katanya, ramai yang prejudis kerana beranggapan pemindahan buah pinggang akan memberikan kemudaratan kepada penderma.

“Sebenarnya tidak, tiada risiko jika sesiapa saja ingin menjadi perderma kerana manusia boleh hidup dengan satu buah pinggang, tetapi harus mengamalkan gaya hidup dan pemakanan yang sihat.

“Dengan amalan gaya hidup sihat, penderma boleh menjalani kehidupan macam biasa dan boleh kekal aktif juga,” jelasnya.

Selain itu, katanya, pemindahan buah pinggang boleh dilakukan dengan dua cara iaitu pemindahan antara penderma yang masih hidup dengan penerima atau penderma yang telah meninggal dunia dan mendaftar sebagai penderma organ sebelumnya.

Menurut beliau, terdapat situasi keluarga penderma organ yang telah meninggal dunia tidak membenarkan proses itu dijalankan bagi menghormati jenazah. Hal ini telah menyebabkan buah pinggang itu tidak dapat diberikan kepada pesakit yang memerlukan, sekali gus menyebabkan bekalan ginjal menjadi semakin terhad.

“Pendermaan organ dari segi hukum diharuskan dalam masyarakat Islam dan ada fatwa mengesahkan hal itu, tetapi masyarakat masih lagi tidak memahami dan kurang pengetahuan mengenai perkara ini.

“Oleh itu, hanya 1.3 peratus daripada seluruh rakyat Malaysia yang berikrar untuk menjadi penderma organ,” ujarnya.