Kelulut tidak ditemukan di negara-negara bersuhu sederhana dan sejuk iaitu temperat empat musim.

Terdapat lebih kurang 14 genus dan 74 spesies kelulut jenis ini yang kebanyakannya boleh didapati di Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia, Kemboja, Myanmar, India dan Laos.

Kepelbagaian spesies kelulut ini menarik minat penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk mengkaji lebih lanjut kerana kajian berkaitannya amat kurang. Kelulut di negara seperti Brazil, Australia dan Afrika amat berbeza sekali dengan kelulut Indo-Malaya.

Kumpulan Penyelidik Lebah dan Kelulut UMT yang diketuai Prof. Madya Dr. Shamsul Bahri Abd. Razak telah mengadakan siri Kembara Kelulut Nusantara bagi membuat pemetaan kelulut Indo-Malaya.

Negara yang terlibat setakat ini adalah Malaysia termasuk Semenanjung Malaysia, Borneo dan di Selatan Thailand.

Siri Kembara kelulut di Borneo bermula dari 3 hingga 8 April 2016.

Tujuan kembara ini diadakan adalah untuk membuat pemetaan spesis kelulut Indo-Malaya yang tidak ditemui di Semenanjung Malaysia. Spesies kelulut emas yang sebelum ini hanya ditemui di Thailand telah ditemui dengan nama saintifiknya Tetragonula sirindhornae di Kuching, Sarawak.

Penemuan terbaharu dalam Siri Kembara Borneo turut membuktikan spesies itu sebenarnya turut wujud di negara ini.

Lebih menarik, penemuan spesimen hidup turut membuktikan kelulut emas yang pertama kali ditemui di Thailand pada 2003, wujud di negara ini dan dirakam secara semula jadi oleh jurugambar UMT, Mokhtar Ishak yang turut serta dalam kembara tersebut.

Selain spesies tersebut, lima lagi spesies jarang ditemui adalah Tetragonula melanocephalan, Homotrigona lutea, Odontotrigona haemanoptera, Tetragonila rufibasalis dan Geniotrigona lactefasciata. Mereka menemui spesies kelulut yang terbukti adalah kelulut emas, yang sebelum ini hanya diketahui terdapat di Thailand.

“Penyelidik dapat mengenal pasti spesies ini menerusi abdomen yang berwarna emas dan saiz badan.

“Namun kita harap mampu mengkaji secara menyeluruh mengenai spesies ini, terutama melibatkan habitat,” jelas Dr. Shamsul Bahri.

Kata beliau lagi, kebanyakan kajian mengenai kelulut emas dilakukan sebelum ini juga hanya melibatkan penyelidik dari Eropah, namun pihaknya percaya penemuan terbaharu itu akan menjadi tarikan kepada penyelidik tempatan.

Dr. Shamsul Bahri berharap, kumpulannya akan menemui lebih banyak spesies kelulut memandangkan industri kelulut dilihat mampu menjana pendapatan lumayan kepada masyarakat.

Salah satu perbezaan cara ternakan kelulut yang agak ketara dipraktikkan oleh sebahagian penternak ialah menggunakan buluh sebagai sarang yang dikenali sebagai tantadan daripada spesies Tetragonula fuscobalteata, Tetragonula minor diternak menggunakan cara tersebut.

Madu daripada kelulut jenis itu amat manis dan sedap rasanya. Ini kerana kelulut jenis itu lebih kecil berbanding kelulut lain dan mampu mengambil nektar daripada lebih banyak bunga termasuk bunga bersaiz kecil.

Di Sabah, propolis kelulut telah digunakan sebagai bahan untuk penutup bekas mayat (tempayan). Ini adalah amalan tradisional sesetengah kaum di negeri tersebut.

Kembara kelulut jelajah Segenting Kra 

Kumpulan Penyelidik Lebah dan Kelulut UMT telah mengadakan lawatan ke ladang-ladang kelulut sekitar Kota Bharu dan juga Selatan Thailand pada Julai tahun lalu.

Lawatan tersebut yang diketuai Prof. Madya Dr. Shamsul Bahri Abd. Razak turut disertai pegawai dari Pusat Apiari Nasional Parit Botak Zaakbah Mian; penyelidik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Abd Jamil Zakaria; dan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Krian; dan pengusaha kelulut Kelantan.

Lawatan tersebut diadakan bertujuan untuk menyiasat dan memperoleh maklumat terkini susulan kejadian serangan besar-besaran perosak yang memusnahkan beribu-ribu koloni kelulut baru-baru ini.

Lawatan ke Selatan Thailand iaitu ke Takbai, Narathiwat dan Pattani adalah jemputan daripada kelulut Thailand yang ingin mendapat maklumat dan khidmat nasihat tentang penternakan kelulut.

Mereka juga turut mengambil cakna dengan kejadian serangan serangga perosak yang telah merugikan ramai penternak kelulut di negara ini.

UMT sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang menjalankan penyelidikan kelulut berasa berbesar hati dan atas rasa tanggungjawab terhadap permasalahan yang melanda industri tersebut telah mengambil langkah proaktif melakukan penyiasatan serta pemerhatian yang mendalam bagi mencari punca seterusnya jalan penyelesaian bagi meredakan serangan perosak yang berpotensi menjatuhkan industri kelulut secara menyeluruh.

Menurut Dr. Shamsul Bahri, senario perusahaan kelulut di Pattani mempunyai perbezaan yang ketara berbanding Malaysia.

“Perusahaan kelulut di Pattani dilihat kurang memberangsangkan berbanding di Malaysia yang mendapat sokongan daripada agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan komuniti,’’ ujarnya.

Kata beliau, pengusaha di Pattani lebih menumpukan kepada penghasilan madu sahaja manakala pengusaha kelulut di Malaysia sudah mula beralih kepada inovasi produk hiliran berasaskan kelulut seperti sabun madu, losyen pelembap muka dan krim luka.

Kata beliau, kesinambungan daripada perkara tersebut mendorong pengusaha kelulut di Pattani menekankan aspek pengurusan ladang yang efektif.

Ia termasuklah antaranya menyediakan ladang transit yang bertujuan menjalankan proses pemotongan bongkah lebihan pokok dan pemasangan topping sebelum dihantar ke ladang ternakan bagi tujuan penghasilan madu.

Ini berbeza dengan pengusaha kelulut tempatan yang menjadikan ladang ternakan sebagai tempat pemprosesan koloni kelulut. Oleh itu, kebersihan kawasan ternakan terpelihara daripada tumpahan madu, serpihan roti lebah, dan hampas habuk kayu yang dikhuatiri berpotensi menjadi kawasan pembiakan yang kondusif bagi serangga perosak kelulut.

Setengah spesies seperti Heterotrigona itama dan Geniotrigona thoracica hanya boleh ditemui sehingga Suratthani sahaja. Selepas sempadan itu, kedua spesies yang popular diternak ini tidak boleh ditemukan. Ini mungkin disebabkan oleh perubahan cuaca atau sumber makanan yang berubah.

Menurut beliau lagi, beberapa siri kembara dan jelajah kelulut akan diadakan lagi pada masa akan datang. Hasil daripada siri kembara itu akan dijadikan siri buku yang akan diterbitkan tidak lama lagi.